Monday, July 21, 2008

ILMU DAN AMALAN NIK AZIZ

Apa yang janggalnya kenyataan Nik Aziz ini?

Uncle petik berita yang tersiar di dua akhbar berbeza kerana ingin membuat perbandingan.

Uncle tidak perlu memberi ulasan berkaitan perkara ini tetapi memaparkan petikan berita ini untuk dinilai oleh forumer sekelian.

Niat dan yang tersimpan sekian lama dilubuk hati Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS dapat kita selami melalui kedua-dua berita ini.Terpulanglah kepada semua menterjemahkan niat dan hasrat Tuan Guru itu.

Uncle memberikan ‘highlight’ kepada beberapa perkataan dan potongan ayat-ayat untuk diberikan perhatian.

Mursyidul Am tidak mahu sejarah hitam berulang kembali

KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) -

PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini. PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua.

Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

Itu perangkap namanya,? katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim petang ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan muzakarah bersama PAS sudah tiga kali diadakan bagi membincangkan beberapa isu berkaitan agama dan orang Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini menegaskan muzakarah yang dicadangkan perlu bersyarat di mana Umno perlu meminta maaf secara terbuka kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, PAS tidak akan menerima nasib buruk diperangkap Umno kali kedua, cukup hanya sekali.

Umno sekarang sudah lemas dan dia nak minta tolong PAS, sedangkan PAS sendiri bekerja keras untuk melemaskan Umno, tetapi apabila Umno lemas sekarang kita nak angkat dia balik, itu bukan kerja kita.

Biar lemaslah dia, dah 50 tahun kita lawan Umno, bila dia lemas kita lanyak dia.. sepatutnya begitu,? ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan meminta anggota parti menyoal diri masing-masing sama ada mereka ingin menjaga parti atau Islam. Katanya, sekiranya hanya untuk menjaga parti, ia bukan hala tuju perjuangan parti yang sebenarnya.

Kita nak jaga Islam, jaga Umno apa yang akan kita dapat. Umno ni sebenarnya parti yang melonggarkan iman, orang Melayu selama ini longgar kerana Umno. Tetapi kalau PAS nak jaga Islam, bukan caranya untuk PAS bekerja sama dengan Umno, sebab parti itu parti sekular yang hanya memperjuangkan dasar untuk dunia semata-mata,? ujarnya

Katanya, soal bangkit dari kubur dan akhirat tidak pernah menjadi hala tuju dan perbincangan di kalangan pemimpin Umno.

Ditanya isu muzakarah sengaja diperbesarkan media, beliau berkata, ia sudah menjadi agenda media untuk melariskan jualan. Itu kerja orang surat khabar, dia akan berbuat sesuatu untuk melariskan akhbar masing-masing, itu jelas.

Jadi untuk melebarkan perjuangan PAS hanya melalui ceramah dan internet. Apa yang menjadi isu di media sekarang kerana mereka mempunyai agenda sendiri, sebab semua suratkhabar harian proUmno belaka,? ujarnya.

Beliau juga turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu muzakarah. Katanya kewujudan berbezaan pandangan tidak bererti parti itu mengalami masalah kepemimpinan.

Sehingga hari ini ia tidak menjadi masalah, sebab kita hidup tidak boleh senyap, banyak mana yang kita nak luah, kita luahkan, kemudian kita dengar balik. Sekarang masing-masing sudah meluahkan pandangan, jadi terpulang kepada penyokong untuk membuat penilaian,? ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun sudah ada pertemuan pemimpin PAS dengan Presiden Umno, ia tidak bererti sudah ada persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Umno beliau berkata, tidak juga.

Benda atas dunia ni begitulah, masalah perkara biasa berlaku seperti dalam rumah tangga antara suami isteri, kesilapan dilakukan suami adakalanya tidak disedari.

Saya setuju benar biar Umno jadi pembangkang bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh negara termasuk di peringkat pusat,?ujarnya.

Beliau juga meminta ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat bertenang dalam menghadapi situasi sekarang serta tidak mudah termakan taktik yang dimainkan musuh. Mursyidul Am juga berharap perwakilan membahaskan isu tersebut di Muktamar PAS di Ipoh Ogos depan.

Harakahdaily: 21 Julai 2008

Muzakarah atas dasar peribadi'

KOTA BHARU:

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin kanan parti, yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno, hanya melakukannya atas dasar peribadi dan bukannya membabitkan isu politik kedua-dua parti. Menteri Besar Kelantan itu menyatakan kesediaannya bertemu dengan pemimpin Umno untuk membincangkan isu agama atas kapasiti peribadi tetapi tidak atas nama parti.

Nik Abdul Aziz menyatakan pendiriannya bahawa beliau hanya boleh menerima jika pemimpin Pas bertemu dengan pemimpin Umno atas urusan peribadi seperti menyentuh isu agama yang memberi manfaat dalam membaiki sahsiah diri. Beliau menolak sebarang tindakan pemimpin Pas untuk mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan isu parti.

"Kalau nak jumpa jangan jumpa dengan parti. Bagi saya mengadakan pertemuan antara individu dan individu, saya setuju," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam, bahawa pertemuan bersama Pas sudah diadakan sebanyak tiga kali dengan membincangkan beberapa isu yang berkait rapat dengan keagamaan.

Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak tahu mengenai pertemuan tiga kali itu, namun beliau pernah dimaklumkan sememangnya wujud pertemuan antara Umno dan Pas, tetapi lebih kepada isu agama dan peribadi.

Beliau berkata, pertemuan antara parti dengan parti atau antara Umno dan Pas tidak perlu kerana sudah terbukti dengan perjanjian yang dibuat pada tahun 1970-an, ketika era Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, Pas ditendang daripada parti gabungan itu.

Berita Harian 21 Julai 2008

Tuesday, July 8, 2008

Madah Berhelah

Saranan dari Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin dalam laporan liwat Anwar Ibrahim menjadi satu isu yang baru. Pandangan dari Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria dan Bekas Mufti Wilayah pula bertentangan dengan pandangan Mufti Perlis.

Apabila Uncle menyatakan bahawa alim ulamak tidak perlu terlibat dalam hal-hal sebegini ada pula pihak yang mengatakan Uncle telah memperlekehkan ulamak. Ada juga yang hairan dengan kenyataan Uncle.

Uncle tidak ambil peduli perkataan sedemikian. Apa yang Uncle maksudkan adalah Ulamak seharusnya tidak masuk campur secara bersendirian dalam hal-hal sebegini. Mufti-mufti sepatutnya membawa perkara ini dalam satu perjumpaan untuk dibincangkan, bukan memberi pandangan secara peribadi. Ini melibatkan isu nasional dan isu nasional ini bukan saja diperkatakan didalam negeri malah menjadi perhatian dunia luar. Lihat saja reaksi Amerika dalam perkara ini. Isu ini isu politik… betul atau tidak?

Apa kaedah yang dapat digunakankan oleh Ulamak untuk menangani campurtangan Tom Casey (Amerika) kepada Kerajaan Malaysia?

Jika pihak-pihak yang menyanggah Uncle kononnya memperlekehkan Ulamak, maka apakah kesannya jika Ulamak berbuat sesuatu yang boleh merendahkan martabat dan kedudukan mereka sendiri dengan berbalah pendapat dalam perkara-perkara sedemikian?

Bukan saja rakyat jadi keliru malah dunia Islam seluruhnya akan mempersoalkan kebijaksanaan Ulamak di Malaysia menangani masalah ini. Tak malukah Mufti dan Ulamak berkait pertentangan pendapat ini?

Ekoran dari saranan Mufti Perlis tersebut kita renungi pula reaksi balas dari orang yang dilaporkan (Anwar). Baca laporan yang Uncle petik dari Harakahdaily dan baca juga kata-kata Mursyidul Am PAS berkaitan perkara “sumpah (mubahalah) " yang dipetik dari laporan Harakahdaily dan Utusan:

Bersumpah...saya akan lakukan" - Anwar "

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Hrkh) - "Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan,"demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan oleh Malaysiakini sewaktu berceramah di hadapan lebih 30,000 orang di Stadium MPPJ, Kelana Jaya malam tadi.

Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan dibicarakan di mahkamah syariah terhadap tuduhan liwat terhadapnya, dengan syarat ia mengikut undang-undang syariah sepenuhnya.

"Saya mencabar mereka memberikan bukti-bukti sebelum menuduh dan mengaitkan saya.

"Saya sedia menerima apa sahaja hukuman jika dibuat mengikut undang-undang yang adil.

"Saya akan tunduk jika mereka boleh memberikan bukti tuduhan terhadap saya.

"Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan," tegasnya diikuti tepukan gemuruh para hadirin.

Malaysia mesti diselamatkan

Ucapan beliau malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan rakyat membantah kenaikan harga minyak semalam.

Menurut Anwar lagi, pada 1998, katanya, beliau dituduh dengan kes yang hampir sama.

"Saya telah bertanya kepada ulama-ulama, mereka melarang saya bersumpah.

"Tetapi saya tetap bersumpah, namun saya dipukul dan dipenjarakan.

"Mengapa kes ini dibangkitkan sekarang? Kerana kita maju ke depan. Kamu main drama 'Sivaji The Boss', kita main drama 'Sivaji The Boss'.

"Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan," ulang Anwar sambil disambut temukan gemuruh dan laungan reformasi.

Pada 28 Jun lalu, pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, beberapa kali sekitar bulan Jun lalu.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Manakala, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta mufti Perlis itu tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Dan semalam, Dr Mohd Asri mencadangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Saiful untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

Saya akan bongkar habis-habisan

Dalam ceramahnya juga, Anwar mendakwa beliau tidak mahu isu tuduhan liwat ini menjadi isu peribadi beliau.

"Tetapi (ia) diulang dengan jahat dan (dengan) fitnah yang kejam. Kita tidak terima ini.

"Saya akan bongkar habis-habisan. Siasatan polis tidak seteruk tahun 1998-1999 tetapi akan beri kerjasama penuh untuk siasatan," kata Anwar lagi.

Anwar berkata, jika beliau dipukul, ditangkap dan dipenjarakan lagi, ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Kes Anwar mesti diadili secara telus - Nik Aziz

KOTA BHARU, 8 Julai (Hrkh) - Nampaknya isu dakwaan fitnah dijadikan agenda utama kepada media massa dalam perkembangan muktahir di negara ini.

Sebelum ini Dato' Seri Mohd Najib Razak dikatakan ada kaitan dengan Altantuya. Dan selepas itu pula Datuk Seri Anwar Ibrahim dilibatkan dengan tuduhan liwat oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Malang pula bagi isu Najib terhenti sekerat jalan apabila penyiasat persendirian
Balasubramaniam yang membuat akuan bersumpah tiba-tiba menarik balik.
Ekoran itu timbul pelbagai cadangan yang dianggap sebagai jalan penyelesaian kes tersebut antaranya bersumpah menggunakan al Quran bagi kes Anwar dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dicadang sebagai orang tengah.


Lihatlah bagaimana pandangan dan saranan-saranan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak diperalatkan oleh Anwar.

Apabila Mufti mula menggunakan peraturan syariah, Anwar mahukan undang-undang syariah yang adil tetapi yang anehnya berlawanan dengan kehendak Nik Aziz yang mahukan perundangan sedia ada (undang-undang sekular – seperti dakwaan PAS selama ini) yang dikendalikan oleh mahkamah di Malaysia digunakan terlebih dahulu.

Mahkamah mana yang sesuai? Undang-undang mana yang hendak diterimapakai?

Ikut cakap Nik Aziz atau turuti kehendak Anwar?

Sebagai seorang Politikus Anwar amat licik memainkan peranan dan strateginya tetapi sebagai Ulamak dan Politikus sebijak mana pula Tuan Guru Nik Aziz menangani kes ini?

Friday, June 27, 2008

Negara masyarakat majmuk, papantanda pun berkecamuk

Mentang-mentang negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum maka telah ada ura-ura untuk menggunakan tanda-tanda kewujudan masyarakat itu di papan-papan tanda di negara ini. Selama ini papan tanda hanya menggunakan Bahasa Melayu dan ini agaknya menyukarkan masyarakat terutama yang terdiri dari bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini.

Cadangan yang dikemukakan oleh ahli Majlis MPSP (Seberang Perai) hanya timbul apabila kerajaan campuran Pakatan Rakyat memerintah negeri Pulau Pinang. Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional diterajui Parti Gerakan memimpin barisan kerajaan Pulau Pinang dan tidak pernah timbul gesaan seperti ini.

Mungkin kerana kehendak rakyat yang mahukan penggunaan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di papan tanda punca kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional pada PRU12 tempohari?.

Begitulah tebalnya sentimen yang dibangkitkan oleh ahli Majlis MPSP berkaitan usaha tersebut.

Barangkali di Melaka kelak akan ada permintaan untuk menggunakan Bahasa Portugis sekiranya ada wakil rakyat dari kalangan mereka menduduki kerusi Dewan Undangan. Mungkin ia akan jadi isu hebat sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Negeri Melaka. Apakah kesannya kepada kedaulatan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Mungkin perlembagaan perlu diubah apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Persekutuan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh Penasihat PKR yang akan bermula 16 September berkaitan perkara-perkara seperti ini?

Ahli Majlis MPSP berkenaan agak keterlaluan ketika membuat saranan sehingga menolak kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Akan luputlah perjuangan mendaulatkan bahasa Kebangsaan seperti yang diperuntukkan. Selama berpuluh tahun negara ini merdeka kerajaan telah memberikan perkara-perkara yang terlalu istimewa kepada bangsa-bangsa pendatang ini dan semua itu masih tidak memuaskan hati mereka malah masih tidak mencukupi kerana mereka masih lagi tidak mengiktiraf penerimaan orang-orang Melayu terhadap mereka sebagai Bangsa Malaysia.

Apakah dengan kaedah menukar papan tanda menggunakan beberapa bahasa akan menambah jumlah bilangan pelancong dari luar negara? Nampaknya Ahli Majlis berkenaan amat prihatin kepada pelancong-pelancong khususnya dari negeri China.berbanding kehendak dan perasaan majoriti rakyat Malaysia terutamanya Bangsa Melayu. Apalagi agaknya syor dan cadangan yang bakal mengutamakan KIBLAT mereka tersebut? Tidak mustahil sekiranya banyak lagi tuntutan berkepentingan seperti itu akan diajukan atas agenda yang tidak kita ketahui.

Syor papan tanda turut guna bahasa Mandarin, Tamil

BUKIT MERTAJAM 27 Jun - Seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi hari ini mencadangkan supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di negeri ini menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.

Ketika mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat penuh MPSP di sini hari ini, beliau berkata, perubahan itu perlu dibuat bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini.

"Papan-papan tanda menggunakan bahasa Mandarin ini juga penting untuk memudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina terutamanya di Bukit Mertajam,"

Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudiannya menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Artikel 152 Perlembagaan dengan jelas menyatakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, saya fikir dalam konteks (papan tanda) ini adalah selaras dengan peruntukan itu," jelasnya.

Seang Hooi yang juga bekas guru Bahasa Melayu kemudiannya mencelah dengan menegaskan, perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa penggunaan bahasa-bahasa lain juga digalakkan sejajar dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, cadangan itu bukan sesuatu yang ganjil untuk dilaksanakan memandangkan ia sudah dilakukan di sebuah bandar di Sarawak.

Mendengar kenyataan Seang Hooi itu, Farizan berkata, pihaknya akan mengajukan cadangan itu kepada kerajaan negeri terlebih dahulu untuk perbincangan lanjut.

Ketika ini, seorang lagi Ahli Majlis MPSP, Oon Neow Soon yang menyatakan persetujuan dengan cadangan tersebut, bangkit dan meminta Farizan menjelaskan secara terperinci bila perkara itu akan diajukan kepada kerajaan negeri.

Farizan kemudiannya memberi jaminan bahawa cadangan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bulan depan.

Farizan sebagai Yang Dipertua MPSP sudah pasti berasa tertekan dengan kehendak Ahli-ahli Majlis MPSP berkenaan kerana amat pasti permintaan itu akan menjadi perhatian utama kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP.

Sama-samalah kita mengunggu dan melihat respon daripada Lim Guan Eng dalam menangani permintaan itu.

Wednesday, June 25, 2008

AMARAN PAS, APA TINDAKAN UMNO DAN BN?

Assalamualaikum....

Selagi Uncle mengaku Melayu...Uncle tidak akan menolak sebarang usaha untuk memperjuangkan kedudukan bangsa oleh sesiapa juga yang berbangsa dan baragama Islam seperti Uncle. Baik mereka itu datang dari PAS, PKR, UMNO waima jika seorang Melayu atau Islam itu datang dari DAP pun Uncle akan terima hasrat mereka untuk memperjuangkan kedudukan Melayu. Uncle bukan racist tetapi terlalu ingin untuk melihat bangsa Melayu bersatu kembali dan menghentikan percakaran dalam menegakkan ideologi yang berbeza.

Uncle ingin melihat Melayu mencapai kata sepakat demi kepentingan dan kelangsungan masa depan Melayu. Perbalahan dan pertentangan ideologi serta fahaman menyebabkan majoriti bangsa Melayu tertinggal amat jauh kebelakang dalam pelbagai bidang. Tidak siapa pun yang dapat menolak dan menafikan hakikat bahawa tahap ekonomi, pendidikan, sosial bangsa Melayu tidak setara dengan bangsa pendatang yang lain.

Jika masih berkeadaan seperti yang ada hari ini Melayu tidak akan kemana. Usah disebut Melayu Glokal…(memetik kata Dato Seri Najib satu ketika dahulu)… usah dicanang Negara Islam (nada perjuangan PAS sejak berdekad). Ketuanan Melayu semakin terhakis dek keangkuhan PKR dan DAP di bumi yang pemilik asalnya adalah orang Melayu.

Uncle merenung kepada laungan YB Husam Musa yang berhasrat untuk mengungguli kepemimpinan dikalangan bangsa Melayu. Uncle kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Husam dan terang-terang menyentuh kredibiliti pejuang-pejuang dariUMNO sendiri. UMNO yang sinonim dengan perjuangan memperkasakan bangsa Melayu.

Jika kedua-dua elemen dari dua Parti terbesar orang Melayu ini digabungkan berjayakah Melayu mencapai hasrat berkenaan? Dapatkah Melayu bersaing dipentas yang lebih besar dan mencabar?

Melihat kepada kata-kata dan perlakuan orang UMNO sendiri yang membelakangkan semangat "Melayu" maka wajar Husam diberi ruang dan peluang untuk memperjuangkan bangsa. Mengepalai gerakan perubahan untuk bangsa Melayu.

Tetapi jika bersandarkan politik Islam PAS yang dibawa oleh Husam, Uncle tidak nampak ianya bakal berlaku.

Sebilangan besar rakyat masih belum boleh melupakan perbuatan kafir mengkafir oleh orang PAS terhadap orang UMNO. Terpahat kemas diingatan rakyat, keceluparan mulut Nik Aziz menyebut perkara-perkara negatif tentang Allah. Tidak semua rakyat faham akan kiasan dan bidalan yang dilafazkan oleh Nik Aziz.

Maka jika umat Melayu hendak digabungkan, perkara-perkara ini akan menjadi penghalang sehingga hasrat untuk bersatu diketepikan. Inilah isu-isu yang perlu ditangani terlebih dahulu oleh Husam dan Nik Aziz serta tidak ketinggalan oleh Hadi Awang sendiri.

Husam menyebut bahawa PAS ingin menggantikan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa, namun disebalik kenyataan itu kita perlu merenung juga kepada luahan hati Nik Aziz. Begitu juga dengan beberapa kenyataan oleh pemimpin PAS yang lain.

Kerjasama dengan Umno boleh menimbulkan masalah.

Mengadakan pakatan PAS dan Umno akan mewujudkan parti seperti Berjasa dan Bebas pada tahun 1970-an. Kalau berunding dengan Umno, Muktamar PAS Ogos depan akan menjadi medan amuk penyokong.

Kenyataan Nik Aziz semasa menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PAS menyebut bahawa tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan UMNO.

Menurutnya mesyuarat itu membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno. Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat dari kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu.

Pada masa yang sama didakwa bahawa tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak. Penyertaan ahli Umno bersama PAS sebenarnya bukan perbuatan melompat parti sebaliknya kembali pada ajaran Islam sebenar. Sokongan rakyat Kelantan di luar terhadap PAS mencerminkan keyakinan mereka terhadap perjuangan parti itu.

Bagaimanapun beliau tidak menolak dan tiada halangan bagi pertemuan individu di antara pemimpin PAS dan Umno dan ia terbuka bila-bila masa.

“Tanggungjawab PAS untuk ganti Umno” itu kata-kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dalam satu sesi temubual dengan beliau.

Kemenangan Pakatan Rakyat membawa harapan rakyat yang cukup tinggi sama ada kemenangan itu disebabkan manifesto yang dikemukakan atau kerana hasrat rakyat untuk berubah. Umno hanya pandai memainkan sentimen Melayu dengan membangkitkan isu rumah ibadat dan isu babi, tetapi kita melihat orang Melayu akan setia kepada kerajaan yang memerintah, Pakatan Rakyat. Orang Melayu akan setia dan sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat boleh bekerja lebih untuk menarik undi-undi terutama di kawasan 18 kerusi yang dimenangi Umno. Orang Melayu akan 'turn over' kepada Pakatan Rakyat dan mengharapkan orang Melayu yang setia dengan kerajaan dahulu, akan setia pada kerajaan hari ini. Orang India dan Cina pun 'fed up' dengan Umno sebab Umno membawa politik perkauman yang tebal. MCA merupakan 'budak suruhan' kepada Umno.

Pakatan boleh menandingi apa yang dilakukan Umno atau BN dengan memberi kesedaran agama kepada rakyat bagi mematangkan politik mereka. Jawatankuasa Pendidikan di bawah PAS diketuai Dr Halimah Ali banyak melakukan program pembinaan insan dan turun mendekati rakyat bertujuan mengubah masyarakat daripada segi agama, adat istiadat Melayu dan pendidikan.

'Interest' ialah untuk PAS menang kerusi Umno dan mempertahankan Pakatan Rakyat. Banyak perkara yang hendak dicadangkan agar dapat menumpukan gerak kerja kepada kerusi-kerusi Umno itu.

PAS yang boleh diterima semua peringkat wakil rakyat PAS yang menang melakukan 'engagement' dengan bangsa lain. Iskandar melihat ramai orang PAS, 'engagement' dengan orang bukan Islam semata-mata untuk mendapat undi. Pemimpin PAS perlu turun bersama bangsa lain sebagai PAS yang memimpin Malaysia. Dengan 'approach' PAS ia amat yakin diterima oleh semua parti.Ia bukan 'a new PAS with a new label' tetapi perlu menghadapi realiti, untuk menerima seluruh rakyat.

PAS akan menerima hakikat hidup di kalangan masyarakat bukan Islam. Berkaitan isu rumah ibadat, sebenarnya apakah menurut pandangan Islam mengenai rumah ibadat orang bukan Islam? Jika di Selangor kita ada had keluasan rumah ibadat. Umno buat undang-undang tersebut, tetapi dalam masa yang lain, Umno membiarkan orang Islam murtad, juga dengan judi serta maksiat.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Syapawi Abdul Rani pula mendakwa bahawa diketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memujuk rakyat dengan isu peralihan kuasa, pegawai dan kakitangan di Putrajaya pula tidak sabar-sabar lagi menunggu sebuah kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara yang ada sekarang. Bebanan kenaikan harga minyak menyebabkan pegawai dan kakitangan kerajaan persekutuan semakin hilang kepercayaan kepada kerajaan yang ada sekarang. Itu belum diambil kira dengan tarif elektrik yang akan dinaikkan kerajaan tidak lama lagi.

Pendapat kakitangan kerajaan di Putrajaya adalah peralihan kuasa di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyelesaikan masalah kerana dasar diamalkan tetap sama dan pemimpin bukan dari kelompok BN diperlukan bagi mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Perdana Menteri sejak kebelakangan ini sering membangkitkan isu peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan sentimen kemarahan ahli Umno dan rakyat ekoran kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum lalu diredakan.

Bagaimanapun penganalisis politik melihat pelan peralihan kuasa tersebut hanyalah mainan politik Abdullah bagi menyelamatkan keadaan malah ia tidak serius seperti pernah dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandaikan 16 September (tarikh tersebut dikira keramat) sebagai tarikh peralihan kuasa apabila 30 anggota parlimen BN melompat parti. Menurut Azman, proses pertukaran kerajaan di peringkat pusat akan menjadi lebih cepat lagi dengan masalah yang berlaku hari ini dan tidak sabar menunggu bulan September.

Kenyataan-kenyataan yang disampaikan oleh beberapa pemimpin PAS menggambarkan betapa seriusnya maksud kata-kata yang dilontarkan Husam. Ia bukan saja bermaksud untuk menggantikan UMNO sebagai pejuang bangsa Melayu dan memimpin Malaysia pada masa depan malah menguatkan lagi pandangan beberapa pihak bahawa PAS menyimpan dendam yang mendalam terhadap UMNO akibat dari perselisihan yang berlaku suatu masa dahulu.

Tidak kurang juga yang berpandangan bahawa selagi PAS tidak dapat menguasai politik Malaysia, selama itulah PAS akan mencari kaedah untuk menenggelamkan kekuatan UMNO dan akan melakukan apa sahaja cara untuk mencapai hasrat mereka.

Slogan untuk “Menegakkan Negara Islam dan perlaksanaan Undang-undang Syariah” akan diletakkan ketepi demi untuk mencapai cita-cita besar tersebut dan sanggup bekerjasama dengan parti-parti politik yang sudah jelas bertentangan dengan kehendak ahli sejak berdekad lamanya.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang kini amat sibuk berpolitik didalam parti tidak harus leka dan wajar mengambil perhatian. Tindakan yang salah dan terlalu lewat memperkemaskan diri akan menjadikan UMNO lemah dan dan tidak mungkin relevan dalam perjuangan untuk bangsa Melayu sepertimana yang telah dilakukan sebelum ini.

Peralihan kuasa yang dijanjikan Perdana Menteri hendaklah menjadi realiti secepat mungkin dan mulalah beralih kearah menentang usaha pengambilalihan peranan tersebut oleh PAS.

Mendirikan benteng yang lemah akan mempercepatkan kemaraan Pakatan Rakyat untuk menguasai tampuk pemerintahan Negara.

Saturday, June 21, 2008

Implikasi Cadangan Undi Tidak Percaya

WAKIL SAPP HANYA BERDUA
KONON MENURUT ARAHAN KETUA
DATUK YONG TECK LEE PUNYA ANGKARA
MENYOKONG USUL UNDI TIDAK PERCAYA

ENTAH DIMANA ASALNYA PUNCA
BOLEH KECOH SATU NEGARA
SEMUA BERCAKAP SEMUA BERSUARA
MEMBERI PENDAPAT BERMACAM RUPA

BPR SIASAT EMPUNYA DIRI
BILA MENENTANG TAK BOLEH NAK LARI
BANYAK SALAH DAN SILAP DICARI
SIAPLAH TANGAN HENDAK DIGARI

KALAU RAJIN BAWALAH MEMBACA
BANYAK RAMALAN MENJADI BERITA
BANYAK TUDUHAN CACI DAN CERCA
SERONOKLAH MEREKA MENGUMPAT MENGATA

137 Ahli Parlimen BN ikrar tolak usul

KUALA LUMPUR 21 Jun – Seramai 137 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berikrar akan menolak usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya ia dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin ini.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) juga telah mengarahkan ahli-ahlinya supaya bersiap sedia dengan fakta-fakta kukuh bagi mempertahankan Perdana Menteri sekiranya usul tersebut diluluskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai pembentangan usul tersebut.

‘‘Persidangan pada Isnin ini juga akan berjalan dengan aman dan tiada keadaan luar biasa akan berlaku,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri dikemukakan di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bersidang selama 14 hari.

Ketika ditanya mengenai sokongan dua ahli Parlimen BN yang mewakili SAPP, Bung Moktar berkata, beliau tidak tahu mengenai pendirian kedua-dua wakil rakyat itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon Bui.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin usul itu tidak akan mendapat sokongan sekiranya ia dibentangkan.

‘‘Tiada sokongan. Kalau ada hanya dua orang sahaja.

‘‘Tindakan SAPP sudah keterlaluan. Tamak dan bersifat kepentingan peribadi,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhd. Muhammad Taib berkata, beliau turut yakin wakil rakyat BN akan terus mempertahankan Abdullah selaku Pengerusi BN. Tambahnya, lagipun kesemua parti komponen BN tidak menyokong tindakan SAPP itu kerana ia bercanggah dengan semangat setiakawan parti.

‘‘Kita perlu mempertahankan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan terus membantunya,’’ ujarnya yang juga Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, beliau cukup yakin para penyokong kerajaan akan bersatu mematahkan usaha-usaha untuk melemahkan kepimpinan Perdana Menteri.

‘‘Rakyat telah memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan. Sebagai wakil rakyat kerajaan, kita perlu mempertahankan keputusan rakyat itu,’’ ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor.

BUKAN KEHENDAK MAJORITI..?

UMNO Bahagian Batu Pahat mendesak supaya pelan peralihan kuasa dibuat sebelum Disember 2008.
Ia diputuskan di Mesyuarat Perwakilan Khas yang diadakan di Dewan Jubli Intan baru-baru ini.
Pengumuman dibuat oleh Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Dr. Mohd Puad Zarkashi ekoran desakan ahli akar umbi yang mahukan Presiden UMNO bertanggungjawab atas kemerosotan sokongan terhadap parti.


Pengumuman tersebut bagaimanapun disanggah oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat yang juga Setiausaha Politik Menteri Penerangan Dr. Junaidi Abdul Wahab yang mendakwa bahawa Mesyuarat Perwakilan Khas hanya dihadiri oleh 300 perwakilan berbanding 600 pada mesyuarat biasa. Maka keputusan tidak diputuskan oleh majoriti perwakilan. Tambahan lagi, dakwa beliau, perwakilan hanya diserahkan usul berkaitan (perkara yang akan dibincangkan) sebelum bermulanya mesyuarat. Mengulas perkara yang sama, Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata bahawa keputusan berkenaan tidak mewakili pendirian yang dipegang oleh 26 Bahagian UMNO Negeri Johor..

Fasal 8.5: (Perlembagaan UMNO)

Perhimpunan Agung Khas hendaklah diadakan apabila dikehendaki oleh salah satu daripada tiga permintaan yang berikut:-

8.5.1 Dengan kehendak Presiden.
8.5.2 Dengan permintaan bertulis daripada dua pertiga Ahli-ahli Majlis Tertinggi
8.5.3 Dengan permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah semua

Bahagian-bahagian itu telah mengadakan mesyuarat Perwakilan Khas atas masalah yang sama..

Soalannya:

Pertama: Adakah Mesyuarat Perwakilan Khas berkenaan menepati keperluan dibawah peruntukan yang dinyatakan didalam Perlembagaan UMNO? Amat jelas peruntukan yang sama perlu digunapakai di semua UMNO Bahagian seluruh negara. Sila rujuk Fasal 8.5.3

Kedua: Sudahkah semua 26 UMNO Bahagian Johor mengadakan Mesyarat Perwakilan Khas yang membolehkan DS Khaled Nordin membuat kenyataan sedemikian? Seperti yang disebut UMNO Johor Baru dan UMNO Kulai mempunyai pendirian yang berbeza…apakah pendirian mereka? Adakah ia berbeza dengan pendirian UMNO Bahagian Pasir Gudang atau berbeza pendirian dengan UMNO Bahagian Batu Pahat?

Selagi tiada pengesahan dibuat oleh kesemua Ketua-Ketua Bahagian UMNO Negeri Johor, kenyataan oleh mana-mana individu tidak dapat diterima oleh ahli akar umbi. Berbanding inisiatif yang diambil oleh UMNO Bahagian Batu Pahat belum ada sebarang Mesyuarat Perwakilan Khas diadakan oleh lain-lain UMNO Bahagian Negeri Johor berhubung desakan peralihan kuasa atau usul menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti. Apa yang khalayak sedia maklum hanyalah perjumpaan Presiden UMNO dengan pemimpin UMNO Johor tempohari berkaitan usul yang sama yang dipersoalkan oleh banyak pihak.

DIMANA SIKAP KETERBUKAAN PRESIDEN UMNO..?

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan semua cawangan dan Bahagian menerima nasihat Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) . Saranan patut diterima dengan hati terbuka kerana Presiden UMNO telah mengaku faham dan menerima mesej yang hendak disampaikan oleh semua pihak.
Untuk kebaikan parti, ahli dan pemimpin semua peringkat adalah terbuka untuk menyampaikan pandangan. Masa yang ada kini perlu digunakan untuk membela nasib Melayu dan bangsa-bangsa lain.


Kelemahan yang ada pada PRU 12 telah dikenal pasti dan perlu segera diperbaiki.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula berkata EGM tidak membawa sebarang manfaat kerana akan membuatkan keadaan tidak menentu serta menakutkan orang khususnya pelabur.

Persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa EGM tidak boleh diadakan?

Siapakah sebenarnya yang dilanda ketakutan jika ia terus diadakan?

Setakat ini hanya 3 UMNO Bahagian yang mengadakan Mesyuarat Khas Perwakilan iaitu Cheras, Gua Musang dan Batu Pahat. Keputusan yang diambil hampir senada iaitu mahukan peralihan kuasa dilakukan secepat mungkin (sebelum Disember 2008).

Apakah keputusan ini yang menakutkan Presiden dan konco-konconya?

Presiden UMNO memberi nasihat supaya EGM tidak diadakan dengan alasan untuk menumpukan kepada kerja-kerja dan menunaikan janji-janji semasa pilihanraya sekaligus mengurangkan masa untuk kerja-kerja politik. Dapatkah alasan tersebut diterima?

Jika itulah alasan yang dinyatakan Presiden mengapa perkara ini berlaku?

Berlaku kemelut perlantikan Menteri Besar di 2 buah negeri dibawah kekuasaan BN, Perlis dan Terengganu? Ia sekaligus melewatkan proses pembentukan barisan kerajaan Negeri. Berlaku kelewatan membentuk barisan kabinet Persekutuan?

Persidangan yang menghimpunkan semua Ketua Penerangan UMNO seluruh negara?

Ramai pemimpin menjelajah negara berbanding melaksanakan tugas yang sedia menanti?

BUKANKAH SEMUA ITU KERJA POLITIK?

Apakah Presiden UMNO jujur ketika memberi nasihat itu?

Nampaknya kini Presiden UMNO amat fobia dengan perkataan Mesyuarat Agung Luarbiasa. Keputusan yang amat ditakuti Presiden adalah apabila ianya meminta peralihan kuasa dilakukan dan sekaligus memaksa Presiden mengundur diri.

Umum sedia maklum bahawa EGM boleh diadakan pada sebarang masa, tidak perlu bergantung kepada keputusan PRU tetapi keputusan PRU yang lepas menampakkan betapa perlunya EGM diadakan. Selagi ia menepati peruntukan Perlembagaan UMNO, ia tidak boleh dihalang. Seperti apa yang disuarakan oleh Tengku Razaliegh..biarlah demokrasi berkembang subur didalam parti.

MENGAPA PERLU TAKUT MENGHADAPI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS PERWAKILAN?

Apakah terlalu sukar untuk Presiden UMNO menerima keputusan-keputusan yang bakal dibuat Mesyuarat berkenaan?

Seharusnya, Presiden UMNO menyemarakkan proses demokrasi. Ahli dan pemimpin UMNO setiap Bahagian dan Cawangan patut digalakkan mengadakan EGM bagi mencerminkan pendirian yang jelas terhadap beliau. Terimalah dengan hati terbuka terhadap sebarang keputusan. Tidakkah janggal berjuta ahli diminta menerima dengan rela nasihat Presiden sedangkan Presiden sendiri bersikap sebaliknya? Mengapa perlu ada kekangan dalam politik UMNO? Kepentingan dan hak siapa yang mahu dipertahankan?

Setiap ahli dan pemimpin perlu sedar hak dan tanggungjawab mereka. Seperti yang dikatakan oleh YABhg Tun Dr Mahathir, mantan Presiden UMNO, pemimpin-pemimpin hanya ada satu pilihan untuk mengembalikan UMNO kepada matlamat sebenar. Tiada kepentingan peribadi demi untuk bangsa dan negara.

MENGAPA PERLU ADA SEKATAN?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah diminta tidak 'menyibukkan' diri sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memulihkan UMNO Kelantan. Senario sekarang tidak memerlukan pemimpin Kelantan itu berada di negeri lain terutamanya Johor kerana UMNO Johor tidak menghadapi sebarang masalah termasuk soal kepimpinan. UMNO Johor mempunyai tatacara sendiri untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara tanpa orang luar. Tengku Razaleigh jangan 'syok sendiri' dan tumpukan perhatian di Kelantan.

Demikianlah pandangan beberapa pemimpin UMNO Bahagian di negeri itu.Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali berpendapat khidmat Tengku Razaleigh lebih diperlukan di negeri kelahirannya itu berbanding di Johor ketika mengulas rungutan Tengku Razaleigh mengenai halangan terhadap ahli UMNO menghadiri ceramahnya di Batu Pahat dan Muar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Ali Mohamed meminta Tengku Razaleigh tidak menyalahkan pihak lain jika kedatangannya ke Johor tidak mendapat sambutan ahli-ahli UMNO. Walaupun terdapat cawangan UMNO di Johor menjemputnya tidak bermakna seluruh bahagian perlu menghadiri majlis tersebut. Kedatangannya Tengku Razaliegh tidak bersesuaian dengan masa kerana UMNO sedang giat mengukuhkan kekuatannya. Tindakan itu membuktikan beliau lebih mementingkan diri sendiri sedang berusaha meraih sokongan bagi bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Tengku Razaliegh didakwa tidak berusaha menyatukan semula serta memulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.

Begitulah nasib seorang veteran UMNO yang masih lagi memegang jawatan ketika ini. Lawatan dan ceramah yang dilakukan beliau tidak direstui oleh ahli-ahli pertubuhannya sendiri atas alasan yang rapuh.

Sekali lagi sikap keterbukaan pemimpin dan ahli-ahli UMNO boleh dipertikaikan. Menolak mentah-mentah sekaligus menyindir bekas Menteri Kewangan Persekutuan seolah-olah dijadikan budaya dan menerus menular di setiap pelusuk negara.

Sebelum ini Mantan Perdana Menteri YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed mengalami keadaan yang lebih kurang serupa apabila tidak diterima sebagai salah seorang perwakilan di Bahagian yang pernah beliau ketuai.

Dimanakah rasionalnya alasan yang diberikan sebahagian Ketua Bahagian UMNO Johor? Sebagai benteng kukuh UMNO di Malaysia maka tidak layak lagi orang luar berada di sana? Inilah keangkuhan yang bakal menghancurkan UMNO keseluruhannya. Keangkuhan selepas Pilihanraya 2004 menyebabkan kekalahan yang tidak diduga pada Pilihanraya 2008 kecuali di Johor.

Tidak mustahil barah ini akan menular di Johor dimasa akan datang jika sikap begini diteruskan.

Apapun tujuan dan matlamat Tengku Razaliegh, tidak sesiapapun dikalangan ahli UMNO berhak menghalang. Perdana Menteri sendiri membuka ruang yang amat luas kepada ahli yang menyatakan keinginan untuk menentang beliau didalam pemilihan pada Disember ini.

Apakah erti kenyataan Perdana Menteri difikiran kepemimpinan UMNO Johor?

PRU12 baru saja berlalu dan usaha mengukuhkan UMNO Kelantan kini mungkin menjadi agenda kedua Tengku Razaliegh. Kedudukan beliau yang agak selesa di Peringkat Kebangsaan mungkin memberi kekuatan yang lebih baik dalam usaha mengukuhkan UMNO Kelantan kelak..siapa tahu?

Logiknya… apa gunanya kekuatan UMNO Kelantan ketika ini sedangkan pada Pilihanraya yang lepas UMNO hampir ditolak sepenuhnya dan kekuatan lebih diperlukan apabila berdepan PRU13 kelak. Apa faedahnya kekuatan dalam tempoh lima tahun ini sedangkan Dewan Undangan telahpun dikuasai oleh PAS?

Jika benar Tengku Razaliegh inginkan jawatan Presiden UMNO dan mementingkan diri sendiri adakah dengan kukuhnya UMNO Kelantan sesuatu yang memadai untuk menduduki kerusi Presiden? Akan cukupkah kuota yang melayakkannya sebagai calon dalam pemilihan jika hanya Kelantan sahaja tempat beliau disarankan bergerak? Salahkah Tengku Razaliegh memperjelaskan matlamat dan wawasan beliau kepada seluruh ahli UMNO disetiap Bahagian?

Ahli-ahli UMNO seluruh negara dipohon supaya bersikap terbuka terhadap semua pemimpin tanpa sikap berpilih-pilih. Jika sikap demikian ingin diamalkan maka wajar juga Paklah dilarang berada di kesemua negeri kecuali Pulau Pinang.

Apakah kedudukan UMNO Pulau Pinang terlalu kukuh berbanding Kelantan? Kawasan Parlimen Permatang Pauh seharusnya dikuasai dan dimenangi. Ini bertujuan untuk menolak Presiden Parti Keadilan Rakyat daripada menduduki kerusi Dewan Rakyat, tetapi dapatkah perkara ini dilakukan dalam tempoh 5 tahun sebelum PRU13? Mustahil.

Memadaikah kekuatan UMNO Pulau Pinang bagi usaha tersebut?

Pengukuhan UMNO tidak terletak ditangan seorang dua individu atau satu dua buah negeri. Ia perlu menyeluruh. Rungutan ahli akar umbi perlu diambil kira dalam membuat sebarang kenyataan. Ruang untuk setiap ahli apatah lagi pemimpin hendaklah dibuka untuk menyuarakan pandangan dan pendapat. Tidak perlu ada sekatan dan halangan untuk sesiapa berada dimana, atas tujuan apa dan dari mana asalnya.

BIARKAN DEMOKRASI SUBUR BERCAMBAH DIDALAM PARTI

WAJARKAH KERJASAMA ITU..?

Susulan dari titah Sultan Perak, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham membuat kenyataan bahawa Sultan tidak berhak melantik semula pegawai kerajaan termasuk di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Pertukaran serta-merta diarahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury diarah supaya ditarik balik. Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).
Pemimpin-pemimpin UMNO Perak menyatakan kesal dengan perbuatan kedua-dua orang kuat DAP dan Mohammad Nizar selaku Menteri Besar didesak menyatakan pendirian sama ada bersetuju dengan kenyataan kedua-dua pemimpin DAP tersebut.


Sebelum kenyataan ini dibuat, Karpal Singh mendedahkan bahawa dirinya telah dihalalkan untuk dibunuh oleh seorang pemuda Islam kemudian bertindak melulu menghuru-harakan Dewan Rakyat berkaitan Peraturan Mesyuarat di Persidangan Parlimen.

Tatalaku oleh Pengerusi Dap sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Mungkin teruja dengan sokongan yang meningkat kepada Parti beliau dan tidak mustahil kerana ini adalah hasil kerjasama dengan beberapa parti yang membentuk Pakatan Rakyat. Keangkuhan Karpal agak ketara semenjak DAP menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan wakil rakyat DAP mendominasi barisan anggota Exco Negeri Perak. Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koh Ham turut mengikut jejak langkah Karpal dalam tindakannya.

Apakah pendirian Mohamad Nizar, Menteri Besar Perak terhadap isu ini? Nizar dilantik dan mendapat perkenan Istana hanya kerana status bangsa dan agamanya selari dengan perlembagaan Negeri Perak.
Meskipun parti MB Nizar mewakili memenangi jumlah kecil kerusi Dewan Undangan.

Apa pandangan Presiden dan Mursyidul Am PAS, apa ulasan Presiden PKR? Inikah bentuk kerjasama yang diidam-idamkan? Jangan lupa untuk merenung kembali kenyataan YB Fairus (PKR) di Pulau Pinang?
Kewajaran penubuhan Pakatan Rakyat selepas PRU12 sudah boleh dipertikaikan.


Apakah hanya untuk kuasa, memperjuangkan masa depan bangsa Melayu,, membawa angin perubahan kepada politik Malaysia atau memberi lebih peluang kepada bangsa lain merendahkan martabat Melayu?.

Telah tiba ketikanya pemimpin Melayu menilai kembali kerjasama didalam Pakatan Rakyat. Jangan hanya kerana ingin berkuasa dan mendapatkan kedudukan segala bentuk penghinaan terhadap kedudukan Bangsa Melayu ditelan bulat-bulat. Jangan terus terlena dengan kedudukan dan kuasa. Jangan terus menjadi bidak catur mereka yang agendanya semakin jelas didedahkan.

Kerajaan Pakatan Rakyat baru lebih kurang 2 bulan memerintah namun dalam tempoh berkenaan pelbagai perkara yang menyentuh maruah dan martabat Bangsa Melayu ditimbulkan.

Bolehkah Pakatan Rakyat diberi ruang untuk berkuasa di Parlimen seterusnya menerajui Kerajaan Malaysia?Apa akan berlaku jika pemimpin Melayu didalam Pakatan Rakyat terus terleka sehingga Pilihanraya Umum Ke 13?.

TIDAK MUSTAHIL KEKUASAAN MELAYU AKAN LEBUR DAN KEDUDUKAN RAJA-RAJA MELAYU AKAN TERUS DISANGGAH.

2009….KAMI BELUM MAMPU…..

Ini janji mereka.....PKR dan Pas menerusi manifesto PRU12 berjanji untuk memberi cuti bersalin 90 hari, membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, bantuan RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan prasekolah dan memberi RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Tetapi ketika ini Kerajaan Selangor mengumumkan bahawa Pelaksanaan Janji tertakluk kepada pembentangan Bajet 2009 akhir tahun ini.

Janji-janji bertujuan meraih undi rakyat yang memungkinkan parti-parti Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Negeri Selangor. Hasrat itu tercapai dan bermulalah kajian terhadap beberapa perkara dalam usaha untuk menunaikan janji. Yang menghairankan adalah bagaimana janji-janji berkenaan boleh ditabur sedangkan kemampuan untuk melaksanakannya tidak pernah diketahui dan dikaji?

Satu-satunya nikmat yang bakal diperolehi oleh rakyat Selangor adalah bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama yang bakal dilaksanakan pada 1 Jun 2008, terlewat dua bulan dari yang ditetapkan. Tiada kaedah jelas yang dapat dinyatakan bagaimana ia dapat dilakukan memandangkan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) bukan milik Kerajaan Negeri dan perundingan sedang berlangsung.

Perlaksanaaan pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial 10 peratus tidak dapat dibuat pada tahun ini kerana pembangunan ekonomi negeri belum mencapai tahap yang diinginkan.

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas perlu mengkaji semula janji menurunkan cukai itu .Tiada jaminan bila rakyat Selangor akan menikmatinya kerana ia bergantung kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan Bajet 2009. Kewangan Kerajaan Negeri tidak mencukupi kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan bajet besar untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Anggapan Tan Sri Abdul Khalid bahawa penduduk Selangor terbeban dengan cukai yang tinggi tidak tepat apabila dapat mengenalpasti bahawa nilai hartanah menjadi puncanya. Maka beban cukai yang ditanggung rakyat Selangor tahun ini berpatutan dan tidak perlu dikurangkan ..?Kajian Tan Sri Khalid menunjukkan nilai hartanah di Selangor dan Kuala Lumpur meningkat setiap hari (Harga tanah meningkat daripada RM50 sekaki kepada RM100 sekaki dalam tempoh 10 tahun) tetapi larangan pembangunan di beberapa kawasan (cerun kelas tiga dan empat, hutan simpan untuk takungan air dan kawasan hijau) dijangka dapat menurunkan harga hartanah di Selangor. Ini bermakna kemungkinan untuk mengurangkan cukai tetap ada. Sebagai seorang bekas CEO jangkaan Tan Sri Khalid hanya cakap-cakap dimulut bertujuan untuk memuaskan hati rakyat Selangor. Apakah penurunan nilai hartanah semudah mencetak manifesto pilihanraya…? Ceruk manakah di Malaysia ini yang menampakkan penurunan nilai hartanah…?

Jangan resah dan risau....rakyat Selangor masih berpeluang menikmati diskaun 70 peratus kepada denda cukai tertunggak bagi tunggakan hasil sebelum 31 Disember tahun lalu dan bagi cukai tertunggak mulai 1 Januari lalu, berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 Jun ini dan berharap rakyat dapat membentuk budaya membayar cukai pintu.

Maka rakyat seluruh Negeri Selangor perlulah menerapkan BUDAYA BARU iaitu MEMBAYAR SEGALA CUKAI kepada kerajaan dengan keistimewaan diskaun 70 Peratus. BUKAN 70 PERATUS DARIPADA TAKSIRAN CUKAI tetapi DISKAUN 70 PERATUS DARIPADA DENDA CUKAI TERTUNGGAK.

Rakyat Selangor sekali lagi diminta supaya menunaikan PERMINTAAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT sebelum KERAJAAN PAKATAN RAKYAT boleh MENUNAIKAN JANJI

PKR MENYOKONG WALAUPUN KARPAL ANGKUH..!

Apalagi yang dapat menutup mulut Karpal Singh ?

Kenyataan angkuh yang dibuat menunjukkan beliau tidak hairan dengan kecaman dan bantahan yang dibuat terhadapnya. Ini isu kedaulatan Raja-Raja Melayu dan maruah orang Melayu. Telinga bangsa Melayu sudah tidak betah bertahan terhadap sindiran sinis individu ini, namun apakan daya kuasa untuk membuat keputusan bukan ditangan Rakyat.

Laporan Polis yang dibuat dimerata tempat tidak dapat menyedarkan apalagi untuk menundukkan keegoan Peguam Tersohor ini.

Kuasa Raja-Raja telah terang dicabar oleh Karpal Singh. Maka sudah sampai masanya Raja-Raja membuktikan bahawa Institusi tersebut mempunyai kuasa terhadap salah seorang Rakyat yang engkar dan derhaka.

Dewan DiRaja Selangor telah bersuara. Institusi Raja di lain-lain Negeri perlu menyuarakan pandangan dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap Karpal Singh. Majlis Raja-Raja diharap dapat bertindak dan membuat keputusan memperlahankan rentak tari Karpal Singh. Mulutnya wajib ditutup.

"Walaupun 2,000 laporan polis, saya tak berganjak’

Itu ketegasan pendirian Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh. Walaupun 2,000 laporan polis dibuat terhadapnya, beliau akan terus berpegang kepada kenyataan bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

"Saya tidak mempersoalkan atau mencabar kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di Perak tetapi baginda tidak ada kuasa dalam hal untuk menarik balik pertukaran seseorang pegawai kerajaan," katanya.
"Jika Raja-Raja Melayu tidak boleh membuat keputusan (mengenai kedudukan pegawai jabatan agama Islam) bagaimana (baginda) hendak menjalankan fungsi tersebut"

Kata-kata itu keluar ketika membahaskan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat. Karpal mendakwa laporan-laporan polis terhadapnya yang kini mencecah 20 kes didalangi oleh UMNO dan pada ketika yang sama mempertikaikan kredibiliti Tengku Adnan Mansor yang membuat laporan polis terhadapnya.

"Saya tidak lakukan perbuatan melanggar undang-undang, tetapi ada 20 laporan polis mengenai isu Sultan Perak"

Beliau menyifatkan 20 laporan polis dibuat terhadapnya merupakan satu sejarah di Malaysia.
Karpal mempertikaikan mengapa beliau dituduh derhaka sedangkan para pemimpin UMNO pada tahun 1993 membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan mewujudkan mahkamah khas dan menjadikan sultan sama taraf dengan rakyat

"Mengapa ada double standard, mengapa saya menjadi mangsa?''

Beliau meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membuat keputusan yang adil dan tidak dipengaruhi oleh Perdana Menteri dalam menentukan bentuk tindakan susulan kepada laporan-laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Dalam hal yang berkaitan, Majlis Ahli Dewan Diraja Selangor membidas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang memberi gambaran Sultan Selangor 'campur tangan' dalam urusan eksekutif negeri tersebut.Kenyataan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab seumpamanya telah mendatangkan kebimbangan dan tidak senang kepada majlis.

Sultan Selangor berhak memberikan pandangan baginda, menasihati dan memberi peringatan kepada kerajaan negeri, berkenaan hal-hal kesejahteraan rakyat.

''Perkara itu telah termaktub di bawah Perlembagaan Negeri.

Kenyataan itu dibuat bagi menegur kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam laporan akhbar The Malay Mail pada 6 Mei lalu, yang mengatakan baginda Sultan Selangor telah mencampuri urusan para eksekutif negeri tersebut.

''Sultan Selangor tidak memihak mana-mana parti politik di negara ini,'' kata majlis tersebut

Sementara itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh melalui Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar dilapor menerima penjelasan Karpal selepas beliau mengeluarkan kenyataan mempertikaikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Kita telah berbincang dan menerima penjelasan Karpal Singh. Beliau tidak bermaksud menyinggung raja-raja Melayu"

Anwar berkata, hak dan kekuasaan Melayu atau Raja-raja di negara ini tidak terancam tetapi hanya diperbesar-besarkan oleh UMNO melalui media yang dikuasai mereka.

Politik CANGGIH Zaid Ibrahim

Tempoh 18 bulan PERTAPAAN Zaid Ibrahim dari kancah politik UMNO berjaya mengubah persepsi beliau terhadap politik semasa. Pertuduhan "Politik Wang" sewaktu pemilihan Ketua-Ketua Bahagian UMNO tidak memberi sebarang kesan terhadap kerjaya politiknya.

Satu dimensi baru wujud apabila Zaid dilantik menjadi senator dan seterusnya diberikan jawatan Menteri yang tidak kurang pentingnya didalam Barisan Kabinet Paklah. Kenyataan terbaru beliau di Tasik Titiwangsa menyerlahkan sifat taksub beliau terhadap Paklah sekaligus memberikan isyarat amat jelas kepada penentang dan pengkritik.

Pihak pertikai PM bersifat kuno

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan golongan yang mempertikaikan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berfikiran lama dan mengamalkan budaya politik lama yang tidak boleh menerima perubahan, katanya di Tasik Titiwangsa selepas merasmikan Festival Kelantan 2008.

Zaid amat setia dan terhutang budi kepada Abdullah kerana melantiknya menjadi senator dan menteri. Jadi dia menyerang ahli-ahli Parlimen BN yang dianggapnya sebagai menentang kerajaan yang atau lebih tepat menentang Abdullah.

Mereka ini adalah penentang Paklah yang berfikiran LAMA DAN KUNO mengikut tafsiran Zaid Ibrahim

Calon PAS dalam Pilihanraya 2008 Kerusi Kepala Batas - Subri Mat Arshad 12, 199 orang Pengundi yang memberikan undi kepada Subri

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed Isteri mantan Perdana Menteri Tun Dr Hasmah Mohd Ali

Anak-anak mantan Perdana Menteri Dato Mokhzani/ Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir

Tengku Razaliegh Hamzah yang menyuarakan hasrat untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada PAU Disember 2008 – bakal dicop KUNO oleh Zaid

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato' Ruhani Ahmad Exco Pemuda Umno Dato' Sazmi Miah Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Parit Sulong, Ketua UMNO Batu Pahat.

Mereka ini berfikiran lama dan kuno kerana telah atau akan menentang/ mengkritik Paklah, baik semasa pilihanraya mahupun ketika selepas berlangsungnya pilihanraya. Penyokong-penyokong MODEN DAN CANGGIH Paklah dimata Zaid Ibrahim .

Zaid Ibrahim (penyokong setia) yang digantung 18 bulan (tuduhan politik wang) dari aktiviti politik oleh UMNO kemudian dilantik menjadi menteri selepas diberikan status SENATOR oleh Paklah

Muhammad Muhd Taib yang berundur dari kerajaan Selangor (kerana kes penyeludupan wang di Australia) dilantik menjadi Senator dan Menteri oleh Paklah. Memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Ketua Perhubungan U&MNO Selangor ketika ini.

Zaid dan Mat Taib tidak hairan jika tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya kerana seorang calon yang menang belum tentu akan dipilih menganggotai kabinet Menteri. Apa yang penting adalah akur dengan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Paklah dan tidak perlu rasa malu duduk bersebelahan dengan Menteri-Menteri yang menang dalam pilihanraya. Tidak juga perlu rasa takut untuk berdepan dengan kritikan dari sesiapa terutama ahli-ahli UMNO yang menentang Paklah.

Shahrizat Jalil yang dilantik sebagai Penasihat dalam Kerajaan Paklah walaupun tewas ketika PRU12.

Ezam Md Nor yang dulunya menentang UMNO habis-habisan bersama AMK, kini diterima dengan senang hati oleh Paklah kerana ingin memerangi rasuah dalam kerajaan. Nampaknya Ezam memang senada dengan Zaid dalam isu rasuah ini walaupun Zaid sendiri terperangkap dengan rasuah (politik wang). Ada baiknya Ezam membongkar dulu kes rasuah Zaid ni sementara beliau baru hendak berkuku.

Para Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen yang bersuara memihak Paklah. Para pemimpin UMNO yang tidak langsung menyatakan pendirian (bisu) terhadap kemelut didalam UMNO.

Hadirin Majlis Makan Malam (Ahli Majlis Peguam dan Pemimpin-pemimpin Pembangkang) yang memberi ‘standing ovation’ kepada Paklah di majlis berkenaan.

Ketara sekali bahawa PESALAH DAN PENGALAH (jika boleh disebut sedemikian) mendapat tempat istimewa disisi Paklah. Budaya akur dan setia kepada pemimpin seperti saranan Zaid dan rakan seangkatan dengannya, mahu diterapkan didalam UMNO bertujuan menyatupadukan ahli-ahli dan mengukuhkan kedudukan parti sebagai usaha menenggelamkan isu kekalahan pada PRU 12 tempohari.