Saturday, June 21, 2008

Implikasi Cadangan Undi Tidak Percaya

WAKIL SAPP HANYA BERDUA
KONON MENURUT ARAHAN KETUA
DATUK YONG TECK LEE PUNYA ANGKARA
MENYOKONG USUL UNDI TIDAK PERCAYA

ENTAH DIMANA ASALNYA PUNCA
BOLEH KECOH SATU NEGARA
SEMUA BERCAKAP SEMUA BERSUARA
MEMBERI PENDAPAT BERMACAM RUPA

BPR SIASAT EMPUNYA DIRI
BILA MENENTANG TAK BOLEH NAK LARI
BANYAK SALAH DAN SILAP DICARI
SIAPLAH TANGAN HENDAK DIGARI

KALAU RAJIN BAWALAH MEMBACA
BANYAK RAMALAN MENJADI BERITA
BANYAK TUDUHAN CACI DAN CERCA
SERONOKLAH MEREKA MENGUMPAT MENGATA

137 Ahli Parlimen BN ikrar tolak usul

KUALA LUMPUR 21 Jun – Seramai 137 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berikrar akan menolak usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya ia dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin ini.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) juga telah mengarahkan ahli-ahlinya supaya bersiap sedia dengan fakta-fakta kukuh bagi mempertahankan Perdana Menteri sekiranya usul tersebut diluluskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai pembentangan usul tersebut.

‘‘Persidangan pada Isnin ini juga akan berjalan dengan aman dan tiada keadaan luar biasa akan berlaku,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri dikemukakan di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bersidang selama 14 hari.

Ketika ditanya mengenai sokongan dua ahli Parlimen BN yang mewakili SAPP, Bung Moktar berkata, beliau tidak tahu mengenai pendirian kedua-dua wakil rakyat itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon Bui.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin usul itu tidak akan mendapat sokongan sekiranya ia dibentangkan.

‘‘Tiada sokongan. Kalau ada hanya dua orang sahaja.

‘‘Tindakan SAPP sudah keterlaluan. Tamak dan bersifat kepentingan peribadi,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhd. Muhammad Taib berkata, beliau turut yakin wakil rakyat BN akan terus mempertahankan Abdullah selaku Pengerusi BN. Tambahnya, lagipun kesemua parti komponen BN tidak menyokong tindakan SAPP itu kerana ia bercanggah dengan semangat setiakawan parti.

‘‘Kita perlu mempertahankan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan terus membantunya,’’ ujarnya yang juga Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, beliau cukup yakin para penyokong kerajaan akan bersatu mematahkan usaha-usaha untuk melemahkan kepimpinan Perdana Menteri.

‘‘Rakyat telah memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan. Sebagai wakil rakyat kerajaan, kita perlu mempertahankan keputusan rakyat itu,’’ ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor.

BUKAN KEHENDAK MAJORITI..?

UMNO Bahagian Batu Pahat mendesak supaya pelan peralihan kuasa dibuat sebelum Disember 2008.
Ia diputuskan di Mesyuarat Perwakilan Khas yang diadakan di Dewan Jubli Intan baru-baru ini.
Pengumuman dibuat oleh Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Dr. Mohd Puad Zarkashi ekoran desakan ahli akar umbi yang mahukan Presiden UMNO bertanggungjawab atas kemerosotan sokongan terhadap parti.


Pengumuman tersebut bagaimanapun disanggah oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat yang juga Setiausaha Politik Menteri Penerangan Dr. Junaidi Abdul Wahab yang mendakwa bahawa Mesyuarat Perwakilan Khas hanya dihadiri oleh 300 perwakilan berbanding 600 pada mesyuarat biasa. Maka keputusan tidak diputuskan oleh majoriti perwakilan. Tambahan lagi, dakwa beliau, perwakilan hanya diserahkan usul berkaitan (perkara yang akan dibincangkan) sebelum bermulanya mesyuarat. Mengulas perkara yang sama, Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata bahawa keputusan berkenaan tidak mewakili pendirian yang dipegang oleh 26 Bahagian UMNO Negeri Johor..

Fasal 8.5: (Perlembagaan UMNO)

Perhimpunan Agung Khas hendaklah diadakan apabila dikehendaki oleh salah satu daripada tiga permintaan yang berikut:-

8.5.1 Dengan kehendak Presiden.
8.5.2 Dengan permintaan bertulis daripada dua pertiga Ahli-ahli Majlis Tertinggi
8.5.3 Dengan permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah semua

Bahagian-bahagian itu telah mengadakan mesyuarat Perwakilan Khas atas masalah yang sama..

Soalannya:

Pertama: Adakah Mesyuarat Perwakilan Khas berkenaan menepati keperluan dibawah peruntukan yang dinyatakan didalam Perlembagaan UMNO? Amat jelas peruntukan yang sama perlu digunapakai di semua UMNO Bahagian seluruh negara. Sila rujuk Fasal 8.5.3

Kedua: Sudahkah semua 26 UMNO Bahagian Johor mengadakan Mesyarat Perwakilan Khas yang membolehkan DS Khaled Nordin membuat kenyataan sedemikian? Seperti yang disebut UMNO Johor Baru dan UMNO Kulai mempunyai pendirian yang berbeza…apakah pendirian mereka? Adakah ia berbeza dengan pendirian UMNO Bahagian Pasir Gudang atau berbeza pendirian dengan UMNO Bahagian Batu Pahat?

Selagi tiada pengesahan dibuat oleh kesemua Ketua-Ketua Bahagian UMNO Negeri Johor, kenyataan oleh mana-mana individu tidak dapat diterima oleh ahli akar umbi. Berbanding inisiatif yang diambil oleh UMNO Bahagian Batu Pahat belum ada sebarang Mesyuarat Perwakilan Khas diadakan oleh lain-lain UMNO Bahagian Negeri Johor berhubung desakan peralihan kuasa atau usul menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti. Apa yang khalayak sedia maklum hanyalah perjumpaan Presiden UMNO dengan pemimpin UMNO Johor tempohari berkaitan usul yang sama yang dipersoalkan oleh banyak pihak.

DIMANA SIKAP KETERBUKAAN PRESIDEN UMNO..?

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan semua cawangan dan Bahagian menerima nasihat Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) . Saranan patut diterima dengan hati terbuka kerana Presiden UMNO telah mengaku faham dan menerima mesej yang hendak disampaikan oleh semua pihak.
Untuk kebaikan parti, ahli dan pemimpin semua peringkat adalah terbuka untuk menyampaikan pandangan. Masa yang ada kini perlu digunakan untuk membela nasib Melayu dan bangsa-bangsa lain.


Kelemahan yang ada pada PRU 12 telah dikenal pasti dan perlu segera diperbaiki.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula berkata EGM tidak membawa sebarang manfaat kerana akan membuatkan keadaan tidak menentu serta menakutkan orang khususnya pelabur.

Persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa EGM tidak boleh diadakan?

Siapakah sebenarnya yang dilanda ketakutan jika ia terus diadakan?

Setakat ini hanya 3 UMNO Bahagian yang mengadakan Mesyuarat Khas Perwakilan iaitu Cheras, Gua Musang dan Batu Pahat. Keputusan yang diambil hampir senada iaitu mahukan peralihan kuasa dilakukan secepat mungkin (sebelum Disember 2008).

Apakah keputusan ini yang menakutkan Presiden dan konco-konconya?

Presiden UMNO memberi nasihat supaya EGM tidak diadakan dengan alasan untuk menumpukan kepada kerja-kerja dan menunaikan janji-janji semasa pilihanraya sekaligus mengurangkan masa untuk kerja-kerja politik. Dapatkah alasan tersebut diterima?

Jika itulah alasan yang dinyatakan Presiden mengapa perkara ini berlaku?

Berlaku kemelut perlantikan Menteri Besar di 2 buah negeri dibawah kekuasaan BN, Perlis dan Terengganu? Ia sekaligus melewatkan proses pembentukan barisan kerajaan Negeri. Berlaku kelewatan membentuk barisan kabinet Persekutuan?

Persidangan yang menghimpunkan semua Ketua Penerangan UMNO seluruh negara?

Ramai pemimpin menjelajah negara berbanding melaksanakan tugas yang sedia menanti?

BUKANKAH SEMUA ITU KERJA POLITIK?

Apakah Presiden UMNO jujur ketika memberi nasihat itu?

Nampaknya kini Presiden UMNO amat fobia dengan perkataan Mesyuarat Agung Luarbiasa. Keputusan yang amat ditakuti Presiden adalah apabila ianya meminta peralihan kuasa dilakukan dan sekaligus memaksa Presiden mengundur diri.

Umum sedia maklum bahawa EGM boleh diadakan pada sebarang masa, tidak perlu bergantung kepada keputusan PRU tetapi keputusan PRU yang lepas menampakkan betapa perlunya EGM diadakan. Selagi ia menepati peruntukan Perlembagaan UMNO, ia tidak boleh dihalang. Seperti apa yang disuarakan oleh Tengku Razaliegh..biarlah demokrasi berkembang subur didalam parti.

MENGAPA PERLU TAKUT MENGHADAPI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS PERWAKILAN?

Apakah terlalu sukar untuk Presiden UMNO menerima keputusan-keputusan yang bakal dibuat Mesyuarat berkenaan?

Seharusnya, Presiden UMNO menyemarakkan proses demokrasi. Ahli dan pemimpin UMNO setiap Bahagian dan Cawangan patut digalakkan mengadakan EGM bagi mencerminkan pendirian yang jelas terhadap beliau. Terimalah dengan hati terbuka terhadap sebarang keputusan. Tidakkah janggal berjuta ahli diminta menerima dengan rela nasihat Presiden sedangkan Presiden sendiri bersikap sebaliknya? Mengapa perlu ada kekangan dalam politik UMNO? Kepentingan dan hak siapa yang mahu dipertahankan?

Setiap ahli dan pemimpin perlu sedar hak dan tanggungjawab mereka. Seperti yang dikatakan oleh YABhg Tun Dr Mahathir, mantan Presiden UMNO, pemimpin-pemimpin hanya ada satu pilihan untuk mengembalikan UMNO kepada matlamat sebenar. Tiada kepentingan peribadi demi untuk bangsa dan negara.

MENGAPA PERLU ADA SEKATAN?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah diminta tidak 'menyibukkan' diri sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memulihkan UMNO Kelantan. Senario sekarang tidak memerlukan pemimpin Kelantan itu berada di negeri lain terutamanya Johor kerana UMNO Johor tidak menghadapi sebarang masalah termasuk soal kepimpinan. UMNO Johor mempunyai tatacara sendiri untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara tanpa orang luar. Tengku Razaleigh jangan 'syok sendiri' dan tumpukan perhatian di Kelantan.

Demikianlah pandangan beberapa pemimpin UMNO Bahagian di negeri itu.Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali berpendapat khidmat Tengku Razaleigh lebih diperlukan di negeri kelahirannya itu berbanding di Johor ketika mengulas rungutan Tengku Razaleigh mengenai halangan terhadap ahli UMNO menghadiri ceramahnya di Batu Pahat dan Muar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Ali Mohamed meminta Tengku Razaleigh tidak menyalahkan pihak lain jika kedatangannya ke Johor tidak mendapat sambutan ahli-ahli UMNO. Walaupun terdapat cawangan UMNO di Johor menjemputnya tidak bermakna seluruh bahagian perlu menghadiri majlis tersebut. Kedatangannya Tengku Razaliegh tidak bersesuaian dengan masa kerana UMNO sedang giat mengukuhkan kekuatannya. Tindakan itu membuktikan beliau lebih mementingkan diri sendiri sedang berusaha meraih sokongan bagi bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Tengku Razaliegh didakwa tidak berusaha menyatukan semula serta memulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.

Begitulah nasib seorang veteran UMNO yang masih lagi memegang jawatan ketika ini. Lawatan dan ceramah yang dilakukan beliau tidak direstui oleh ahli-ahli pertubuhannya sendiri atas alasan yang rapuh.

Sekali lagi sikap keterbukaan pemimpin dan ahli-ahli UMNO boleh dipertikaikan. Menolak mentah-mentah sekaligus menyindir bekas Menteri Kewangan Persekutuan seolah-olah dijadikan budaya dan menerus menular di setiap pelusuk negara.

Sebelum ini Mantan Perdana Menteri YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed mengalami keadaan yang lebih kurang serupa apabila tidak diterima sebagai salah seorang perwakilan di Bahagian yang pernah beliau ketuai.

Dimanakah rasionalnya alasan yang diberikan sebahagian Ketua Bahagian UMNO Johor? Sebagai benteng kukuh UMNO di Malaysia maka tidak layak lagi orang luar berada di sana? Inilah keangkuhan yang bakal menghancurkan UMNO keseluruhannya. Keangkuhan selepas Pilihanraya 2004 menyebabkan kekalahan yang tidak diduga pada Pilihanraya 2008 kecuali di Johor.

Tidak mustahil barah ini akan menular di Johor dimasa akan datang jika sikap begini diteruskan.

Apapun tujuan dan matlamat Tengku Razaliegh, tidak sesiapapun dikalangan ahli UMNO berhak menghalang. Perdana Menteri sendiri membuka ruang yang amat luas kepada ahli yang menyatakan keinginan untuk menentang beliau didalam pemilihan pada Disember ini.

Apakah erti kenyataan Perdana Menteri difikiran kepemimpinan UMNO Johor?

PRU12 baru saja berlalu dan usaha mengukuhkan UMNO Kelantan kini mungkin menjadi agenda kedua Tengku Razaliegh. Kedudukan beliau yang agak selesa di Peringkat Kebangsaan mungkin memberi kekuatan yang lebih baik dalam usaha mengukuhkan UMNO Kelantan kelak..siapa tahu?

Logiknya… apa gunanya kekuatan UMNO Kelantan ketika ini sedangkan pada Pilihanraya yang lepas UMNO hampir ditolak sepenuhnya dan kekuatan lebih diperlukan apabila berdepan PRU13 kelak. Apa faedahnya kekuatan dalam tempoh lima tahun ini sedangkan Dewan Undangan telahpun dikuasai oleh PAS?

Jika benar Tengku Razaliegh inginkan jawatan Presiden UMNO dan mementingkan diri sendiri adakah dengan kukuhnya UMNO Kelantan sesuatu yang memadai untuk menduduki kerusi Presiden? Akan cukupkah kuota yang melayakkannya sebagai calon dalam pemilihan jika hanya Kelantan sahaja tempat beliau disarankan bergerak? Salahkah Tengku Razaliegh memperjelaskan matlamat dan wawasan beliau kepada seluruh ahli UMNO disetiap Bahagian?

Ahli-ahli UMNO seluruh negara dipohon supaya bersikap terbuka terhadap semua pemimpin tanpa sikap berpilih-pilih. Jika sikap demikian ingin diamalkan maka wajar juga Paklah dilarang berada di kesemua negeri kecuali Pulau Pinang.

Apakah kedudukan UMNO Pulau Pinang terlalu kukuh berbanding Kelantan? Kawasan Parlimen Permatang Pauh seharusnya dikuasai dan dimenangi. Ini bertujuan untuk menolak Presiden Parti Keadilan Rakyat daripada menduduki kerusi Dewan Rakyat, tetapi dapatkah perkara ini dilakukan dalam tempoh 5 tahun sebelum PRU13? Mustahil.

Memadaikah kekuatan UMNO Pulau Pinang bagi usaha tersebut?

Pengukuhan UMNO tidak terletak ditangan seorang dua individu atau satu dua buah negeri. Ia perlu menyeluruh. Rungutan ahli akar umbi perlu diambil kira dalam membuat sebarang kenyataan. Ruang untuk setiap ahli apatah lagi pemimpin hendaklah dibuka untuk menyuarakan pandangan dan pendapat. Tidak perlu ada sekatan dan halangan untuk sesiapa berada dimana, atas tujuan apa dan dari mana asalnya.

BIARKAN DEMOKRASI SUBUR BERCAMBAH DIDALAM PARTI

WAJARKAH KERJASAMA ITU..?

Susulan dari titah Sultan Perak, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham membuat kenyataan bahawa Sultan tidak berhak melantik semula pegawai kerajaan termasuk di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Pertukaran serta-merta diarahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury diarah supaya ditarik balik. Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).
Pemimpin-pemimpin UMNO Perak menyatakan kesal dengan perbuatan kedua-dua orang kuat DAP dan Mohammad Nizar selaku Menteri Besar didesak menyatakan pendirian sama ada bersetuju dengan kenyataan kedua-dua pemimpin DAP tersebut.


Sebelum kenyataan ini dibuat, Karpal Singh mendedahkan bahawa dirinya telah dihalalkan untuk dibunuh oleh seorang pemuda Islam kemudian bertindak melulu menghuru-harakan Dewan Rakyat berkaitan Peraturan Mesyuarat di Persidangan Parlimen.

Tatalaku oleh Pengerusi Dap sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Mungkin teruja dengan sokongan yang meningkat kepada Parti beliau dan tidak mustahil kerana ini adalah hasil kerjasama dengan beberapa parti yang membentuk Pakatan Rakyat. Keangkuhan Karpal agak ketara semenjak DAP menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan wakil rakyat DAP mendominasi barisan anggota Exco Negeri Perak. Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koh Ham turut mengikut jejak langkah Karpal dalam tindakannya.

Apakah pendirian Mohamad Nizar, Menteri Besar Perak terhadap isu ini? Nizar dilantik dan mendapat perkenan Istana hanya kerana status bangsa dan agamanya selari dengan perlembagaan Negeri Perak.
Meskipun parti MB Nizar mewakili memenangi jumlah kecil kerusi Dewan Undangan.

Apa pandangan Presiden dan Mursyidul Am PAS, apa ulasan Presiden PKR? Inikah bentuk kerjasama yang diidam-idamkan? Jangan lupa untuk merenung kembali kenyataan YB Fairus (PKR) di Pulau Pinang?
Kewajaran penubuhan Pakatan Rakyat selepas PRU12 sudah boleh dipertikaikan.


Apakah hanya untuk kuasa, memperjuangkan masa depan bangsa Melayu,, membawa angin perubahan kepada politik Malaysia atau memberi lebih peluang kepada bangsa lain merendahkan martabat Melayu?.

Telah tiba ketikanya pemimpin Melayu menilai kembali kerjasama didalam Pakatan Rakyat. Jangan hanya kerana ingin berkuasa dan mendapatkan kedudukan segala bentuk penghinaan terhadap kedudukan Bangsa Melayu ditelan bulat-bulat. Jangan terus terlena dengan kedudukan dan kuasa. Jangan terus menjadi bidak catur mereka yang agendanya semakin jelas didedahkan.

Kerajaan Pakatan Rakyat baru lebih kurang 2 bulan memerintah namun dalam tempoh berkenaan pelbagai perkara yang menyentuh maruah dan martabat Bangsa Melayu ditimbulkan.

Bolehkah Pakatan Rakyat diberi ruang untuk berkuasa di Parlimen seterusnya menerajui Kerajaan Malaysia?Apa akan berlaku jika pemimpin Melayu didalam Pakatan Rakyat terus terleka sehingga Pilihanraya Umum Ke 13?.

TIDAK MUSTAHIL KEKUASAAN MELAYU AKAN LEBUR DAN KEDUDUKAN RAJA-RAJA MELAYU AKAN TERUS DISANGGAH.

2009….KAMI BELUM MAMPU…..

Ini janji mereka.....PKR dan Pas menerusi manifesto PRU12 berjanji untuk memberi cuti bersalin 90 hari, membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, bantuan RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan prasekolah dan memberi RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Tetapi ketika ini Kerajaan Selangor mengumumkan bahawa Pelaksanaan Janji tertakluk kepada pembentangan Bajet 2009 akhir tahun ini.

Janji-janji bertujuan meraih undi rakyat yang memungkinkan parti-parti Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Negeri Selangor. Hasrat itu tercapai dan bermulalah kajian terhadap beberapa perkara dalam usaha untuk menunaikan janji. Yang menghairankan adalah bagaimana janji-janji berkenaan boleh ditabur sedangkan kemampuan untuk melaksanakannya tidak pernah diketahui dan dikaji?

Satu-satunya nikmat yang bakal diperolehi oleh rakyat Selangor adalah bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama yang bakal dilaksanakan pada 1 Jun 2008, terlewat dua bulan dari yang ditetapkan. Tiada kaedah jelas yang dapat dinyatakan bagaimana ia dapat dilakukan memandangkan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) bukan milik Kerajaan Negeri dan perundingan sedang berlangsung.

Perlaksanaaan pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial 10 peratus tidak dapat dibuat pada tahun ini kerana pembangunan ekonomi negeri belum mencapai tahap yang diinginkan.

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas perlu mengkaji semula janji menurunkan cukai itu .Tiada jaminan bila rakyat Selangor akan menikmatinya kerana ia bergantung kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan Bajet 2009. Kewangan Kerajaan Negeri tidak mencukupi kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan bajet besar untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Anggapan Tan Sri Abdul Khalid bahawa penduduk Selangor terbeban dengan cukai yang tinggi tidak tepat apabila dapat mengenalpasti bahawa nilai hartanah menjadi puncanya. Maka beban cukai yang ditanggung rakyat Selangor tahun ini berpatutan dan tidak perlu dikurangkan ..?Kajian Tan Sri Khalid menunjukkan nilai hartanah di Selangor dan Kuala Lumpur meningkat setiap hari (Harga tanah meningkat daripada RM50 sekaki kepada RM100 sekaki dalam tempoh 10 tahun) tetapi larangan pembangunan di beberapa kawasan (cerun kelas tiga dan empat, hutan simpan untuk takungan air dan kawasan hijau) dijangka dapat menurunkan harga hartanah di Selangor. Ini bermakna kemungkinan untuk mengurangkan cukai tetap ada. Sebagai seorang bekas CEO jangkaan Tan Sri Khalid hanya cakap-cakap dimulut bertujuan untuk memuaskan hati rakyat Selangor. Apakah penurunan nilai hartanah semudah mencetak manifesto pilihanraya…? Ceruk manakah di Malaysia ini yang menampakkan penurunan nilai hartanah…?

Jangan resah dan risau....rakyat Selangor masih berpeluang menikmati diskaun 70 peratus kepada denda cukai tertunggak bagi tunggakan hasil sebelum 31 Disember tahun lalu dan bagi cukai tertunggak mulai 1 Januari lalu, berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 Jun ini dan berharap rakyat dapat membentuk budaya membayar cukai pintu.

Maka rakyat seluruh Negeri Selangor perlulah menerapkan BUDAYA BARU iaitu MEMBAYAR SEGALA CUKAI kepada kerajaan dengan keistimewaan diskaun 70 Peratus. BUKAN 70 PERATUS DARIPADA TAKSIRAN CUKAI tetapi DISKAUN 70 PERATUS DARIPADA DENDA CUKAI TERTUNGGAK.

Rakyat Selangor sekali lagi diminta supaya menunaikan PERMINTAAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT sebelum KERAJAAN PAKATAN RAKYAT boleh MENUNAIKAN JANJI

PKR MENYOKONG WALAUPUN KARPAL ANGKUH..!

Apalagi yang dapat menutup mulut Karpal Singh ?

Kenyataan angkuh yang dibuat menunjukkan beliau tidak hairan dengan kecaman dan bantahan yang dibuat terhadapnya. Ini isu kedaulatan Raja-Raja Melayu dan maruah orang Melayu. Telinga bangsa Melayu sudah tidak betah bertahan terhadap sindiran sinis individu ini, namun apakan daya kuasa untuk membuat keputusan bukan ditangan Rakyat.

Laporan Polis yang dibuat dimerata tempat tidak dapat menyedarkan apalagi untuk menundukkan keegoan Peguam Tersohor ini.

Kuasa Raja-Raja telah terang dicabar oleh Karpal Singh. Maka sudah sampai masanya Raja-Raja membuktikan bahawa Institusi tersebut mempunyai kuasa terhadap salah seorang Rakyat yang engkar dan derhaka.

Dewan DiRaja Selangor telah bersuara. Institusi Raja di lain-lain Negeri perlu menyuarakan pandangan dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap Karpal Singh. Majlis Raja-Raja diharap dapat bertindak dan membuat keputusan memperlahankan rentak tari Karpal Singh. Mulutnya wajib ditutup.

"Walaupun 2,000 laporan polis, saya tak berganjak’

Itu ketegasan pendirian Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh. Walaupun 2,000 laporan polis dibuat terhadapnya, beliau akan terus berpegang kepada kenyataan bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

"Saya tidak mempersoalkan atau mencabar kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di Perak tetapi baginda tidak ada kuasa dalam hal untuk menarik balik pertukaran seseorang pegawai kerajaan," katanya.
"Jika Raja-Raja Melayu tidak boleh membuat keputusan (mengenai kedudukan pegawai jabatan agama Islam) bagaimana (baginda) hendak menjalankan fungsi tersebut"

Kata-kata itu keluar ketika membahaskan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat. Karpal mendakwa laporan-laporan polis terhadapnya yang kini mencecah 20 kes didalangi oleh UMNO dan pada ketika yang sama mempertikaikan kredibiliti Tengku Adnan Mansor yang membuat laporan polis terhadapnya.

"Saya tidak lakukan perbuatan melanggar undang-undang, tetapi ada 20 laporan polis mengenai isu Sultan Perak"

Beliau menyifatkan 20 laporan polis dibuat terhadapnya merupakan satu sejarah di Malaysia.
Karpal mempertikaikan mengapa beliau dituduh derhaka sedangkan para pemimpin UMNO pada tahun 1993 membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan mewujudkan mahkamah khas dan menjadikan sultan sama taraf dengan rakyat

"Mengapa ada double standard, mengapa saya menjadi mangsa?''

Beliau meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membuat keputusan yang adil dan tidak dipengaruhi oleh Perdana Menteri dalam menentukan bentuk tindakan susulan kepada laporan-laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Dalam hal yang berkaitan, Majlis Ahli Dewan Diraja Selangor membidas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang memberi gambaran Sultan Selangor 'campur tangan' dalam urusan eksekutif negeri tersebut.Kenyataan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab seumpamanya telah mendatangkan kebimbangan dan tidak senang kepada majlis.

Sultan Selangor berhak memberikan pandangan baginda, menasihati dan memberi peringatan kepada kerajaan negeri, berkenaan hal-hal kesejahteraan rakyat.

''Perkara itu telah termaktub di bawah Perlembagaan Negeri.

Kenyataan itu dibuat bagi menegur kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam laporan akhbar The Malay Mail pada 6 Mei lalu, yang mengatakan baginda Sultan Selangor telah mencampuri urusan para eksekutif negeri tersebut.

''Sultan Selangor tidak memihak mana-mana parti politik di negara ini,'' kata majlis tersebut

Sementara itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh melalui Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar dilapor menerima penjelasan Karpal selepas beliau mengeluarkan kenyataan mempertikaikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Kita telah berbincang dan menerima penjelasan Karpal Singh. Beliau tidak bermaksud menyinggung raja-raja Melayu"

Anwar berkata, hak dan kekuasaan Melayu atau Raja-raja di negara ini tidak terancam tetapi hanya diperbesar-besarkan oleh UMNO melalui media yang dikuasai mereka.

Politik CANGGIH Zaid Ibrahim

Tempoh 18 bulan PERTAPAAN Zaid Ibrahim dari kancah politik UMNO berjaya mengubah persepsi beliau terhadap politik semasa. Pertuduhan "Politik Wang" sewaktu pemilihan Ketua-Ketua Bahagian UMNO tidak memberi sebarang kesan terhadap kerjaya politiknya.

Satu dimensi baru wujud apabila Zaid dilantik menjadi senator dan seterusnya diberikan jawatan Menteri yang tidak kurang pentingnya didalam Barisan Kabinet Paklah. Kenyataan terbaru beliau di Tasik Titiwangsa menyerlahkan sifat taksub beliau terhadap Paklah sekaligus memberikan isyarat amat jelas kepada penentang dan pengkritik.

Pihak pertikai PM bersifat kuno

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan golongan yang mempertikaikan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berfikiran lama dan mengamalkan budaya politik lama yang tidak boleh menerima perubahan, katanya di Tasik Titiwangsa selepas merasmikan Festival Kelantan 2008.

Zaid amat setia dan terhutang budi kepada Abdullah kerana melantiknya menjadi senator dan menteri. Jadi dia menyerang ahli-ahli Parlimen BN yang dianggapnya sebagai menentang kerajaan yang atau lebih tepat menentang Abdullah.

Mereka ini adalah penentang Paklah yang berfikiran LAMA DAN KUNO mengikut tafsiran Zaid Ibrahim

Calon PAS dalam Pilihanraya 2008 Kerusi Kepala Batas - Subri Mat Arshad 12, 199 orang Pengundi yang memberikan undi kepada Subri

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed Isteri mantan Perdana Menteri Tun Dr Hasmah Mohd Ali

Anak-anak mantan Perdana Menteri Dato Mokhzani/ Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir

Tengku Razaliegh Hamzah yang menyuarakan hasrat untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada PAU Disember 2008 – bakal dicop KUNO oleh Zaid

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato' Ruhani Ahmad Exco Pemuda Umno Dato' Sazmi Miah Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Parit Sulong, Ketua UMNO Batu Pahat.

Mereka ini berfikiran lama dan kuno kerana telah atau akan menentang/ mengkritik Paklah, baik semasa pilihanraya mahupun ketika selepas berlangsungnya pilihanraya. Penyokong-penyokong MODEN DAN CANGGIH Paklah dimata Zaid Ibrahim .

Zaid Ibrahim (penyokong setia) yang digantung 18 bulan (tuduhan politik wang) dari aktiviti politik oleh UMNO kemudian dilantik menjadi menteri selepas diberikan status SENATOR oleh Paklah

Muhammad Muhd Taib yang berundur dari kerajaan Selangor (kerana kes penyeludupan wang di Australia) dilantik menjadi Senator dan Menteri oleh Paklah. Memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Ketua Perhubungan U&MNO Selangor ketika ini.

Zaid dan Mat Taib tidak hairan jika tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya kerana seorang calon yang menang belum tentu akan dipilih menganggotai kabinet Menteri. Apa yang penting adalah akur dengan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Paklah dan tidak perlu rasa malu duduk bersebelahan dengan Menteri-Menteri yang menang dalam pilihanraya. Tidak juga perlu rasa takut untuk berdepan dengan kritikan dari sesiapa terutama ahli-ahli UMNO yang menentang Paklah.

Shahrizat Jalil yang dilantik sebagai Penasihat dalam Kerajaan Paklah walaupun tewas ketika PRU12.

Ezam Md Nor yang dulunya menentang UMNO habis-habisan bersama AMK, kini diterima dengan senang hati oleh Paklah kerana ingin memerangi rasuah dalam kerajaan. Nampaknya Ezam memang senada dengan Zaid dalam isu rasuah ini walaupun Zaid sendiri terperangkap dengan rasuah (politik wang). Ada baiknya Ezam membongkar dulu kes rasuah Zaid ni sementara beliau baru hendak berkuku.

Para Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen yang bersuara memihak Paklah. Para pemimpin UMNO yang tidak langsung menyatakan pendirian (bisu) terhadap kemelut didalam UMNO.

Hadirin Majlis Makan Malam (Ahli Majlis Peguam dan Pemimpin-pemimpin Pembangkang) yang memberi ‘standing ovation’ kepada Paklah di majlis berkenaan.

Ketara sekali bahawa PESALAH DAN PENGALAH (jika boleh disebut sedemikian) mendapat tempat istimewa disisi Paklah. Budaya akur dan setia kepada pemimpin seperti saranan Zaid dan rakan seangkatan dengannya, mahu diterapkan didalam UMNO bertujuan menyatupadukan ahli-ahli dan mengukuhkan kedudukan parti sebagai usaha menenggelamkan isu kekalahan pada PRU 12 tempohari.