Saturday, June 21, 2008

DIMANA SIKAP KETERBUKAAN PRESIDEN UMNO..?

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan semua cawangan dan Bahagian menerima nasihat Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) . Saranan patut diterima dengan hati terbuka kerana Presiden UMNO telah mengaku faham dan menerima mesej yang hendak disampaikan oleh semua pihak.
Untuk kebaikan parti, ahli dan pemimpin semua peringkat adalah terbuka untuk menyampaikan pandangan. Masa yang ada kini perlu digunakan untuk membela nasib Melayu dan bangsa-bangsa lain.


Kelemahan yang ada pada PRU 12 telah dikenal pasti dan perlu segera diperbaiki.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula berkata EGM tidak membawa sebarang manfaat kerana akan membuatkan keadaan tidak menentu serta menakutkan orang khususnya pelabur.

Persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa EGM tidak boleh diadakan?

Siapakah sebenarnya yang dilanda ketakutan jika ia terus diadakan?

Setakat ini hanya 3 UMNO Bahagian yang mengadakan Mesyuarat Khas Perwakilan iaitu Cheras, Gua Musang dan Batu Pahat. Keputusan yang diambil hampir senada iaitu mahukan peralihan kuasa dilakukan secepat mungkin (sebelum Disember 2008).

Apakah keputusan ini yang menakutkan Presiden dan konco-konconya?

Presiden UMNO memberi nasihat supaya EGM tidak diadakan dengan alasan untuk menumpukan kepada kerja-kerja dan menunaikan janji-janji semasa pilihanraya sekaligus mengurangkan masa untuk kerja-kerja politik. Dapatkah alasan tersebut diterima?

Jika itulah alasan yang dinyatakan Presiden mengapa perkara ini berlaku?

Berlaku kemelut perlantikan Menteri Besar di 2 buah negeri dibawah kekuasaan BN, Perlis dan Terengganu? Ia sekaligus melewatkan proses pembentukan barisan kerajaan Negeri. Berlaku kelewatan membentuk barisan kabinet Persekutuan?

Persidangan yang menghimpunkan semua Ketua Penerangan UMNO seluruh negara?

Ramai pemimpin menjelajah negara berbanding melaksanakan tugas yang sedia menanti?

BUKANKAH SEMUA ITU KERJA POLITIK?

Apakah Presiden UMNO jujur ketika memberi nasihat itu?

Nampaknya kini Presiden UMNO amat fobia dengan perkataan Mesyuarat Agung Luarbiasa. Keputusan yang amat ditakuti Presiden adalah apabila ianya meminta peralihan kuasa dilakukan dan sekaligus memaksa Presiden mengundur diri.

Umum sedia maklum bahawa EGM boleh diadakan pada sebarang masa, tidak perlu bergantung kepada keputusan PRU tetapi keputusan PRU yang lepas menampakkan betapa perlunya EGM diadakan. Selagi ia menepati peruntukan Perlembagaan UMNO, ia tidak boleh dihalang. Seperti apa yang disuarakan oleh Tengku Razaliegh..biarlah demokrasi berkembang subur didalam parti.

MENGAPA PERLU TAKUT MENGHADAPI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS PERWAKILAN?

Apakah terlalu sukar untuk Presiden UMNO menerima keputusan-keputusan yang bakal dibuat Mesyuarat berkenaan?

Seharusnya, Presiden UMNO menyemarakkan proses demokrasi. Ahli dan pemimpin UMNO setiap Bahagian dan Cawangan patut digalakkan mengadakan EGM bagi mencerminkan pendirian yang jelas terhadap beliau. Terimalah dengan hati terbuka terhadap sebarang keputusan. Tidakkah janggal berjuta ahli diminta menerima dengan rela nasihat Presiden sedangkan Presiden sendiri bersikap sebaliknya? Mengapa perlu ada kekangan dalam politik UMNO? Kepentingan dan hak siapa yang mahu dipertahankan?

Setiap ahli dan pemimpin perlu sedar hak dan tanggungjawab mereka. Seperti yang dikatakan oleh YABhg Tun Dr Mahathir, mantan Presiden UMNO, pemimpin-pemimpin hanya ada satu pilihan untuk mengembalikan UMNO kepada matlamat sebenar. Tiada kepentingan peribadi demi untuk bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment