Friday, June 27, 2008

Negara masyarakat majmuk, papantanda pun berkecamuk

Mentang-mentang negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum maka telah ada ura-ura untuk menggunakan tanda-tanda kewujudan masyarakat itu di papan-papan tanda di negara ini. Selama ini papan tanda hanya menggunakan Bahasa Melayu dan ini agaknya menyukarkan masyarakat terutama yang terdiri dari bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini.

Cadangan yang dikemukakan oleh ahli Majlis MPSP (Seberang Perai) hanya timbul apabila kerajaan campuran Pakatan Rakyat memerintah negeri Pulau Pinang. Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional diterajui Parti Gerakan memimpin barisan kerajaan Pulau Pinang dan tidak pernah timbul gesaan seperti ini.

Mungkin kerana kehendak rakyat yang mahukan penggunaan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di papan tanda punca kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional pada PRU12 tempohari?.

Begitulah tebalnya sentimen yang dibangkitkan oleh ahli Majlis MPSP berkaitan usaha tersebut.

Barangkali di Melaka kelak akan ada permintaan untuk menggunakan Bahasa Portugis sekiranya ada wakil rakyat dari kalangan mereka menduduki kerusi Dewan Undangan. Mungkin ia akan jadi isu hebat sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Negeri Melaka. Apakah kesannya kepada kedaulatan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Mungkin perlembagaan perlu diubah apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Persekutuan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh Penasihat PKR yang akan bermula 16 September berkaitan perkara-perkara seperti ini?

Ahli Majlis MPSP berkenaan agak keterlaluan ketika membuat saranan sehingga menolak kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Akan luputlah perjuangan mendaulatkan bahasa Kebangsaan seperti yang diperuntukkan. Selama berpuluh tahun negara ini merdeka kerajaan telah memberikan perkara-perkara yang terlalu istimewa kepada bangsa-bangsa pendatang ini dan semua itu masih tidak memuaskan hati mereka malah masih tidak mencukupi kerana mereka masih lagi tidak mengiktiraf penerimaan orang-orang Melayu terhadap mereka sebagai Bangsa Malaysia.

Apakah dengan kaedah menukar papan tanda menggunakan beberapa bahasa akan menambah jumlah bilangan pelancong dari luar negara? Nampaknya Ahli Majlis berkenaan amat prihatin kepada pelancong-pelancong khususnya dari negeri China.berbanding kehendak dan perasaan majoriti rakyat Malaysia terutamanya Bangsa Melayu. Apalagi agaknya syor dan cadangan yang bakal mengutamakan KIBLAT mereka tersebut? Tidak mustahil sekiranya banyak lagi tuntutan berkepentingan seperti itu akan diajukan atas agenda yang tidak kita ketahui.

Syor papan tanda turut guna bahasa Mandarin, Tamil

BUKIT MERTAJAM 27 Jun - Seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi hari ini mencadangkan supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di negeri ini menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.

Ketika mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat penuh MPSP di sini hari ini, beliau berkata, perubahan itu perlu dibuat bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini.

"Papan-papan tanda menggunakan bahasa Mandarin ini juga penting untuk memudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina terutamanya di Bukit Mertajam,"

Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudiannya menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Artikel 152 Perlembagaan dengan jelas menyatakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, saya fikir dalam konteks (papan tanda) ini adalah selaras dengan peruntukan itu," jelasnya.

Seang Hooi yang juga bekas guru Bahasa Melayu kemudiannya mencelah dengan menegaskan, perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa penggunaan bahasa-bahasa lain juga digalakkan sejajar dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, cadangan itu bukan sesuatu yang ganjil untuk dilaksanakan memandangkan ia sudah dilakukan di sebuah bandar di Sarawak.

Mendengar kenyataan Seang Hooi itu, Farizan berkata, pihaknya akan mengajukan cadangan itu kepada kerajaan negeri terlebih dahulu untuk perbincangan lanjut.

Ketika ini, seorang lagi Ahli Majlis MPSP, Oon Neow Soon yang menyatakan persetujuan dengan cadangan tersebut, bangkit dan meminta Farizan menjelaskan secara terperinci bila perkara itu akan diajukan kepada kerajaan negeri.

Farizan kemudiannya memberi jaminan bahawa cadangan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bulan depan.

Farizan sebagai Yang Dipertua MPSP sudah pasti berasa tertekan dengan kehendak Ahli-ahli Majlis MPSP berkenaan kerana amat pasti permintaan itu akan menjadi perhatian utama kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP.

Sama-samalah kita mengunggu dan melihat respon daripada Lim Guan Eng dalam menangani permintaan itu.

Wednesday, June 25, 2008

AMARAN PAS, APA TINDAKAN UMNO DAN BN?

Assalamualaikum....

Selagi Uncle mengaku Melayu...Uncle tidak akan menolak sebarang usaha untuk memperjuangkan kedudukan bangsa oleh sesiapa juga yang berbangsa dan baragama Islam seperti Uncle. Baik mereka itu datang dari PAS, PKR, UMNO waima jika seorang Melayu atau Islam itu datang dari DAP pun Uncle akan terima hasrat mereka untuk memperjuangkan kedudukan Melayu. Uncle bukan racist tetapi terlalu ingin untuk melihat bangsa Melayu bersatu kembali dan menghentikan percakaran dalam menegakkan ideologi yang berbeza.

Uncle ingin melihat Melayu mencapai kata sepakat demi kepentingan dan kelangsungan masa depan Melayu. Perbalahan dan pertentangan ideologi serta fahaman menyebabkan majoriti bangsa Melayu tertinggal amat jauh kebelakang dalam pelbagai bidang. Tidak siapa pun yang dapat menolak dan menafikan hakikat bahawa tahap ekonomi, pendidikan, sosial bangsa Melayu tidak setara dengan bangsa pendatang yang lain.

Jika masih berkeadaan seperti yang ada hari ini Melayu tidak akan kemana. Usah disebut Melayu Glokal…(memetik kata Dato Seri Najib satu ketika dahulu)… usah dicanang Negara Islam (nada perjuangan PAS sejak berdekad). Ketuanan Melayu semakin terhakis dek keangkuhan PKR dan DAP di bumi yang pemilik asalnya adalah orang Melayu.

Uncle merenung kepada laungan YB Husam Musa yang berhasrat untuk mengungguli kepemimpinan dikalangan bangsa Melayu. Uncle kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Husam dan terang-terang menyentuh kredibiliti pejuang-pejuang dariUMNO sendiri. UMNO yang sinonim dengan perjuangan memperkasakan bangsa Melayu.

Jika kedua-dua elemen dari dua Parti terbesar orang Melayu ini digabungkan berjayakah Melayu mencapai hasrat berkenaan? Dapatkah Melayu bersaing dipentas yang lebih besar dan mencabar?

Melihat kepada kata-kata dan perlakuan orang UMNO sendiri yang membelakangkan semangat "Melayu" maka wajar Husam diberi ruang dan peluang untuk memperjuangkan bangsa. Mengepalai gerakan perubahan untuk bangsa Melayu.

Tetapi jika bersandarkan politik Islam PAS yang dibawa oleh Husam, Uncle tidak nampak ianya bakal berlaku.

Sebilangan besar rakyat masih belum boleh melupakan perbuatan kafir mengkafir oleh orang PAS terhadap orang UMNO. Terpahat kemas diingatan rakyat, keceluparan mulut Nik Aziz menyebut perkara-perkara negatif tentang Allah. Tidak semua rakyat faham akan kiasan dan bidalan yang dilafazkan oleh Nik Aziz.

Maka jika umat Melayu hendak digabungkan, perkara-perkara ini akan menjadi penghalang sehingga hasrat untuk bersatu diketepikan. Inilah isu-isu yang perlu ditangani terlebih dahulu oleh Husam dan Nik Aziz serta tidak ketinggalan oleh Hadi Awang sendiri.

Husam menyebut bahawa PAS ingin menggantikan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa, namun disebalik kenyataan itu kita perlu merenung juga kepada luahan hati Nik Aziz. Begitu juga dengan beberapa kenyataan oleh pemimpin PAS yang lain.

Kerjasama dengan Umno boleh menimbulkan masalah.

Mengadakan pakatan PAS dan Umno akan mewujudkan parti seperti Berjasa dan Bebas pada tahun 1970-an. Kalau berunding dengan Umno, Muktamar PAS Ogos depan akan menjadi medan amuk penyokong.

Kenyataan Nik Aziz semasa menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PAS menyebut bahawa tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan UMNO.

Menurutnya mesyuarat itu membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno. Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat dari kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu.

Pada masa yang sama didakwa bahawa tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak. Penyertaan ahli Umno bersama PAS sebenarnya bukan perbuatan melompat parti sebaliknya kembali pada ajaran Islam sebenar. Sokongan rakyat Kelantan di luar terhadap PAS mencerminkan keyakinan mereka terhadap perjuangan parti itu.

Bagaimanapun beliau tidak menolak dan tiada halangan bagi pertemuan individu di antara pemimpin PAS dan Umno dan ia terbuka bila-bila masa.

“Tanggungjawab PAS untuk ganti Umno” itu kata-kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dalam satu sesi temubual dengan beliau.

Kemenangan Pakatan Rakyat membawa harapan rakyat yang cukup tinggi sama ada kemenangan itu disebabkan manifesto yang dikemukakan atau kerana hasrat rakyat untuk berubah. Umno hanya pandai memainkan sentimen Melayu dengan membangkitkan isu rumah ibadat dan isu babi, tetapi kita melihat orang Melayu akan setia kepada kerajaan yang memerintah, Pakatan Rakyat. Orang Melayu akan setia dan sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat boleh bekerja lebih untuk menarik undi-undi terutama di kawasan 18 kerusi yang dimenangi Umno. Orang Melayu akan 'turn over' kepada Pakatan Rakyat dan mengharapkan orang Melayu yang setia dengan kerajaan dahulu, akan setia pada kerajaan hari ini. Orang India dan Cina pun 'fed up' dengan Umno sebab Umno membawa politik perkauman yang tebal. MCA merupakan 'budak suruhan' kepada Umno.

Pakatan boleh menandingi apa yang dilakukan Umno atau BN dengan memberi kesedaran agama kepada rakyat bagi mematangkan politik mereka. Jawatankuasa Pendidikan di bawah PAS diketuai Dr Halimah Ali banyak melakukan program pembinaan insan dan turun mendekati rakyat bertujuan mengubah masyarakat daripada segi agama, adat istiadat Melayu dan pendidikan.

'Interest' ialah untuk PAS menang kerusi Umno dan mempertahankan Pakatan Rakyat. Banyak perkara yang hendak dicadangkan agar dapat menumpukan gerak kerja kepada kerusi-kerusi Umno itu.

PAS yang boleh diterima semua peringkat wakil rakyat PAS yang menang melakukan 'engagement' dengan bangsa lain. Iskandar melihat ramai orang PAS, 'engagement' dengan orang bukan Islam semata-mata untuk mendapat undi. Pemimpin PAS perlu turun bersama bangsa lain sebagai PAS yang memimpin Malaysia. Dengan 'approach' PAS ia amat yakin diterima oleh semua parti.Ia bukan 'a new PAS with a new label' tetapi perlu menghadapi realiti, untuk menerima seluruh rakyat.

PAS akan menerima hakikat hidup di kalangan masyarakat bukan Islam. Berkaitan isu rumah ibadat, sebenarnya apakah menurut pandangan Islam mengenai rumah ibadat orang bukan Islam? Jika di Selangor kita ada had keluasan rumah ibadat. Umno buat undang-undang tersebut, tetapi dalam masa yang lain, Umno membiarkan orang Islam murtad, juga dengan judi serta maksiat.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Syapawi Abdul Rani pula mendakwa bahawa diketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memujuk rakyat dengan isu peralihan kuasa, pegawai dan kakitangan di Putrajaya pula tidak sabar-sabar lagi menunggu sebuah kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara yang ada sekarang. Bebanan kenaikan harga minyak menyebabkan pegawai dan kakitangan kerajaan persekutuan semakin hilang kepercayaan kepada kerajaan yang ada sekarang. Itu belum diambil kira dengan tarif elektrik yang akan dinaikkan kerajaan tidak lama lagi.

Pendapat kakitangan kerajaan di Putrajaya adalah peralihan kuasa di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyelesaikan masalah kerana dasar diamalkan tetap sama dan pemimpin bukan dari kelompok BN diperlukan bagi mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Perdana Menteri sejak kebelakangan ini sering membangkitkan isu peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan sentimen kemarahan ahli Umno dan rakyat ekoran kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum lalu diredakan.

Bagaimanapun penganalisis politik melihat pelan peralihan kuasa tersebut hanyalah mainan politik Abdullah bagi menyelamatkan keadaan malah ia tidak serius seperti pernah dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandaikan 16 September (tarikh tersebut dikira keramat) sebagai tarikh peralihan kuasa apabila 30 anggota parlimen BN melompat parti. Menurut Azman, proses pertukaran kerajaan di peringkat pusat akan menjadi lebih cepat lagi dengan masalah yang berlaku hari ini dan tidak sabar menunggu bulan September.

Kenyataan-kenyataan yang disampaikan oleh beberapa pemimpin PAS menggambarkan betapa seriusnya maksud kata-kata yang dilontarkan Husam. Ia bukan saja bermaksud untuk menggantikan UMNO sebagai pejuang bangsa Melayu dan memimpin Malaysia pada masa depan malah menguatkan lagi pandangan beberapa pihak bahawa PAS menyimpan dendam yang mendalam terhadap UMNO akibat dari perselisihan yang berlaku suatu masa dahulu.

Tidak kurang juga yang berpandangan bahawa selagi PAS tidak dapat menguasai politik Malaysia, selama itulah PAS akan mencari kaedah untuk menenggelamkan kekuatan UMNO dan akan melakukan apa sahaja cara untuk mencapai hasrat mereka.

Slogan untuk “Menegakkan Negara Islam dan perlaksanaan Undang-undang Syariah” akan diletakkan ketepi demi untuk mencapai cita-cita besar tersebut dan sanggup bekerjasama dengan parti-parti politik yang sudah jelas bertentangan dengan kehendak ahli sejak berdekad lamanya.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang kini amat sibuk berpolitik didalam parti tidak harus leka dan wajar mengambil perhatian. Tindakan yang salah dan terlalu lewat memperkemaskan diri akan menjadikan UMNO lemah dan dan tidak mungkin relevan dalam perjuangan untuk bangsa Melayu sepertimana yang telah dilakukan sebelum ini.

Peralihan kuasa yang dijanjikan Perdana Menteri hendaklah menjadi realiti secepat mungkin dan mulalah beralih kearah menentang usaha pengambilalihan peranan tersebut oleh PAS.

Mendirikan benteng yang lemah akan mempercepatkan kemaraan Pakatan Rakyat untuk menguasai tampuk pemerintahan Negara.