Monday, March 30, 2009

7 April Yang Bersejarah

Sejarah sudah dilakarkan di Bukit Selambau. 15 calon bertarung disatu kawasan. Dulunya nama Bukit Selambau tidak sepopular manapun. Bukit Selambau tidak mendapat perhatian sewajarnya dari mana-mana wakil rakyat yang dipilih sebelum ini. Kini Bukit Selambau akan mendapatkan perkhidmatan terbaik dari wakil rakyat yang bakal bergelar Yang Berhormat selepas 7 April nanti. Bergembiralah warga Bukit Selambau.

Buiit Gantang pula mencatatkan sejarahnya tersendiri. Setelah sekian lama orang luar mewakili kawasan berkenaan di Parlimen, maka kali ini seorang anak tempatan dipilih untuk bertanding dan jika menang tertunailah hasrat warga tempatan untuk merasakan nikmat perkhidmatan anak jati Bukit Gantang. Sejarah jugalah tu. Syukurlah pengundi-pengundi Bukit Gantang. Jika dipilih Juara Demokrasi Pokok dari Kampar, maka sejarah “Anak Tempatan Yang Tidak Diterima” akan tertulis.

Batang Air apa kurangnya? Bukankah ada juga sejarah yang dicipta? Bekas wakil rakyat dari Barisan Nasional menentang parti yang pernah memayunginyanya. Bukannya sedikit tempoh Jawah Gerang mewakili Barisan Nasional….5 penggal. Itupun satu sejarah. Kini beliau mungkin merekodkan sejarah tersendiri bagi dirinya jika dapat memenangkan Pakatan Rakyat bagi menambahkan tempoh perkhidmatannya untuk penggal yang keenam.

Uncle tidak mahu memberikan sebarang komen berkaitan kekuatan dan kelemahan mana-mana pihak. Uncle menganggapkan bahawa pertandingan ini seperti suatu kes yang sedang dalam siasatan. Jika Uncle memberi komen bermakna Uncle mengganggu kelancaran siasatan.

Untuk tempoh sehingga 7 April kelak Uncle hanya akan berbicara berkaitan perkara-perkara lain selain dari pertarungan 7 April ini. Biarlah semua pihak, Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan Barisan Pakatan Bebas melakukan usaha-usaha terbaik untuk mendapatkan gelaran Yang Berhormat. Tempoh sehingga 6 April hendaklah digunakan sebaiknya kerana 20 orang calon berkenaan 7 April depan mereka bakal dibicarakan oleh rakyat.

Selamat berusaha.

Wassalam.