Thursday, November 19, 2009

Artis Islam lebih minat PAS?

Zul Azhar ChaPemuda Umno Paya BesarNajib MohdPemuda Umno RaubTun Faisal Ismail AzizJerryally AllyShahrulnaim IbrahimShahrulnaim IbrahimZaharin Mohd Yasin

Terimakasih kepada rakan-rakan kerana memberi sedikit inspirasi dalam meluahkan pandangan ini.

Mari kita bincangkan pertemuan antara Dato Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan dengan penyanyi rock tersohor Amy Search. Hakikatnya apa yang dilakukan oleh PAS (Nik Aziz) seperti yang kita lihat bukanlah satu langkah terdesak. Ia adalah pendekatan yang dibuat secara terancang dan ia memang langkah yang amat bijak. Perkara ini tidak dilakukan oleh pihak UMNO kerana Pemimpin UMNO cuma akan mendekati penggiat seni dalam acara-acara yang grand dan berprestij. Didalam keadaan santai, pemimpin UMNO takut untuk bersama artis kerana imej yang perlu dijaga.


Sebenarnya... apa yang dilakukan oleh Amy hanya ingin meluahkan apa yang terbuku dihati. Dia sedang dalam pencarian dan difikirannya orang yang patut ditemui adalah Nik Aziz. Amy perlukan pembimbing dikala usianya semakin meningkat. Jika tidak ada usaha mana-mana pihak untuk mendekati beliau, maka beliau akan mencari sendiri. Jika beliau terlekat kepada Nik Aziz... pengikutnya akan menjejaki langkah beliau. Namun tidak semua yang akan berusaha seperti Amy. Maka mereka inilah yang perlu didampingi oleh kerajaan (UMNO) melalui bijak pandai agamanya. Ramai yang perlu meluahkan perasaan seperti Amy….. dan agamawan UMNO kena faham situasi ni.... barulah mereka rasa tak dipinggirkan. Ulama dalam UMNO bukan sedikit, agamawan ini harus berperanan.... aktivis seni tentu seronok jika hal ehwal mereka diberi perhatian.


Ada rakan yang berpandangan bahawa artis cenderung memilih untuk menyokong pembangkang (PAS) kerana rasa kecewa terhadap kerajaan. Mungkin kerana cetak rompak gagal dihapuskan, hasil kerja tidak memberi pulangan yang baik sebaliknya keuntungan diperolehi oleh orang lain. Artis tidak boleh cari makan, kecewa bertambah-tambah kerana tiada tindakan pembelaan berkesan yang di ambil. Malah pandangan supaya dirangka satu mekanisma yang berupaya menyelesaikan masaalah tersebut juga disyorkan.


Begitupun, saya sedikit sukar menerima alasannya adalah atas dasar kecewa. Kalau menyentuh soal cetak rompak, royalti atau ruang untuk berkarya itu tidaklah tepat. Sebagai contoh...Amy Search. Beliau tidaklah merempat seperti artis lain, beliau berjaya dalam perniagaan dan soal pendapatan bukan masalah. Tetapi Amy sedang dalam pencarian disudut keagamaan. Kita pun tahu baru-baru ini beliau bercadang membuka pusat Tahfiz... sebenarnya tujuan Amy adalah untuk berbuat amal kebajikan berlandaskan agama.


Satu contoh lain….Pernahkah kita mendengar artis terbabit dengan gerakan Ayah Pin. Ia tidak langsung berkisar tentang pendapatan yang semakin merosot. Seperti yang saya tegaskan,artis yang telah meningkat usia mula menyedari keperluan akhirat dan sedang mencari seseorang untuk membimbing. Jika artis-artis menyokong pembangkang hanya kerana kecewa, saya rasa mendekati tokoh agama tidak akan membawa sebarang perubahan kepada kerjaya mereka.

Banyak pihak cuma menganggap artis atau mereka yang terlibat dalam bidang hiburan hanya berperanan sebagai PENGHIBUR semata tanpa manfaat lain kepada negara. Golongan artis tidak berkesempatan mendekati pemimpin UMNO lebih mesra. Jika adapun artis yang didampingi hanyalah artis-artis tersohor atau artis-artis yang sudah memakai gelaran Dato' atau Datin. Fenomena lain yang banyak terjadi dikalangan kenamaan dalam UMNO adalah lebih "memandang" artis wanita dengan niat yang semua sedia maklum.


Wajib kita sedari bahawa artis amat terkenal dan punya ramai pengikut. Malah ada sebilangan pengikut memang terlalu fanatik... lihatlah jumlah peminat setia Dato' Siti Nurhaliza dan Mawi. Pergerakan Pemuda, Puteri dan juga Putera UMNO seharusnya bertindak untuk mendekati peminat artis-artis yang kebanyakannya terdiri dari pengundi di saluran 3 dan 4. Mereka yang keluar dari program realiti yang dijalankan oleh saluran televisyen seperti Astro dan TV3 juga tidak harus dikesampingkan..


Masih kita ingat suatu ketika diperingkat awal penubuhan Puteri UMNO dahulu begitu ramai artis menganggotainya tetapi dimanakah mereka sekarang?. Pasti ada sesuatu yang tidak kena didalam Pergerakan itu..UMNO perlu konsisten dan mencari sebab mengapa penyertaan mereka bersama UMNO cuma sementara. Niat mereka untuk menyertai mana-mana pertubuhan politik hendaklah jelas dan berkekalan pada jangkamasa yang lama. Jika penyertaan sementara bertujuan untuk mendapat populariti atau limpahan bahang glamour, tanpa perencanaan jangka panjang maka akan jadilah seperti pepatah “hangat-hangat tahi ayam”. Kesudahannya mereka akan mengutuk pertubuhan yang pernah disertai.


Dalam usaha mendekati mereka, tumpuan hendaklah berkisar kepada Kelab Peminat, Persatuan Penggiat Seni, Karyawan, Seniman, Papita , Rumah-rumah Produksi, Studio dan sebagainya. Acara-acara besar seperti Jom Heboh, Suarasa, Anugerah Juara Lagu dan pelbagai aktiviti yang lain adalah tempat untuk menjejaki mereka. Tidak cukup dengan hanya menghantar seorang dua wakil kerajaan bagi tujuan perasmian atau penyerahan oskar dan hadiah sahaja. Itu belum lagi diambil kira taburan aktivis seni yang bergiat diserata pelusuk Negara. Siapakah yang memandang kepada mereka? Pendekatan ini juga boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada golongan pengundi muda dan baru diacara-acara berkenaan.


Kaedah mendekati mereka jangan dilakukan mengikut musim. Adakan satu pasukan khusus untuk melaksanakan misi tersebut. Sesekali. Menteri, Wakil Rakyat atau YB harus tampil bersama. Lakukan kempen menambah ahli UMNO. Salah satu usaha adalah mengadakan dialog bersama persatuan penggiat seni untuk memahami halatuju politik mereka. Jangan terlalu kedekut untuk menghulurkan sedikit derma bagi tujuan amal. Ubahlah mentaliti hanya melibatkan golongan artis bagitujuan propaganda. Rakyat akan rasa bosan dan meluat. Terfikirkah oleh YB-YB akan kepincangan ini?


Cari jalan untuk turun kebawah, mendengar luahan hati mereka sebelum mereka berpaut kepada orang lain. Inilah yang gagal kita lakukan selama ini. Gerakan merakyatkan UMNO perlu bermula segera. Ini termasuk memperbetulkan semula pergerakan Pemuda, Puteri dan juga Putera UMNO secara terancang. Ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidaklah mustahil untuk dilakukan jika berbekal keazaman yang kuat. Tanggungjawab bukan hanya terletak kepada pucuk pimpinan tetapi semua ahli diseluruh pelusuk Negara harus memikul beban ini.Jika mahukan pencapaian yang lebih baik dari sebelum ini maka ingatan harus sentiasa diberikan, pada sebilangan masa. Jangan letakkan ganjaran dan imbuhan sebagai perangsang perjuangan.


Persepsi mereka yang duduk diatas pagar adalah Islam yang dibawa oleh PAS merupakan yang terbaik berbanding Islam UMNO dan inilah yang terus digembar-gemburkan oleh para pemimpin PAS… untuk tujuan politik. Pada masa yang sama kebanyakan artis juga tidak ambil pusing keadaan Islam yang diwar-warkan dimasa lalu oleh PAS, lalu mereka lupa kejian dan kecaman PAS terhadap profesion mereka sebagai anak seni.


Perlu diingat bahawa apa saja yang telah mereka lakukan dulu atas nama seni (kerjaya) telah dihukum haram oleh PAS. Tetapi dipenghujung usia, ketika ingin menebus kembali kesilapan masa lalu, mereka mendekati PAS sebagai jalan pembersihan diri. Menyertai UMNO bagi mereka tidak akan membersihkan dosa kerana UMNO dipandang tidak membawa Islam yang sebenar


Jika masih ragu-ragu cubalah tanyakan pandangan pemimpin-pemimpin PAS pandangan mereka terhadap artis wanita dan anak-anak perempuan artis itu sendiri. Untuk sokongan pemimpin PAS sanggup berpura menerima artis yang mendekatinya. Tidak tempua bersarang rendah jika tidak dengan helah. .


Jadi jalan yang sebaiknya yang boleh diambil oleh pihak kerajaan (UMNO khususnya) adalah mendekati mereka dan membimbing mereka dari sudut kerohanian. Itulah yang mereka cari. Artis pun punya kesedaran terhadap agama serta pembalasan diakhirat dan mereka tahu keperluan memperbaiki diri sebelum terlewat.


Inilah peranan yang patut dimainkan oleh cerdik pandai agama dalam kerajaan khususnya UMNO. Kita sendiri kena terima hakikat bahawa sebilangan besar agamawan dalam kerajaan memang takut untuk mendekati kelompok artis-artis ni. Artis-artis merasakan bahawa mereka tiada tempat dihati pemimpin agama apatah lagi dipihak kerajaan....

Pihak kerajaan juga harus menjalankan tanggung jawab mereka bersungguh kerana kuasa ada di tangan mereka. Artis tu Public Figure...menjadi ikutan ramai...kebimbangan dari sudut politik sepatutnya ada... kerana jika satu artis terarah ke haluan yang meragukan (seperti kes ini) ...pasti ramai yang menjejaki langkahnya.

Kerajaan ingin berubah...kita bantu merubahnya. Insyaallah. Tapi...kaedah dan caranya biar berhemah. Bukan secara paksaan.