Thursday, September 16, 2010

Selamat Hari Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.

Selamat berjumpa kembali.

Setelah berbulan Uncle mengabaikan blog ini, tergerak pula untuk aktif semula. Mungkin bersempena dengan Hari Malaysia hari ini sudah ada bahan-bahan yang mahu diperkatakan.

Selama berbulan meninggalkan ruang blog ini, Uncle terlalu asyik melayani laman sosial Facebook. Berbincang, bertukar pendapat, menambah dan membuang teman…huh. Banyak juga bertelagah apabila pendapat tidak seiring. Banyak membuat posting dan mengirimkan gambar-gambar.

Alhamdulillah, setakat ini laman sosial tersebut banyak menambah ilmu pengetahuan. Namun Uncle tidak kesempatan memberi ruang untuk menulis diblog sendiri. Terasa pula ruginya. Sempena Hari Malaysia yang diisytiharkan sebagai cuti umum ini ingin juga Uncle mengulas mengenainya.

Setelah 47 tahun ianya seolah dilupakan, maka bermula tahun 2010 ini ianya diputuskan untuk disambut sebagai salah satu hari yang bersejarah. Mungkin bagi kebanyakan rakyat Malaysia hanya mementingkan Hari Kebangsaan tetapi ramai juga sahabat-sahabat kita di Sabah dan Sarawak merasakan seolah mereka terpinggir kerana 16 September tidak diraikan sebagaimana wajarnya. Dengan pengisytiharan ini diharap kini mereka berpuashati dan bertambahlah senarai hari cuti dikalangan rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang bekerja makan gaji.

Ada yang berpandangan bahawa Hari Malaysia ini tidak perlu disambut kerana kita telah ada Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos saban tahun. Mengisytiharkan cuti pada 16 September bermakna akan berkuranglah produktiviti sehari. Namun harus diingat bahawa ada banyak lagi hari-hari dalam setahun dimana produktiviti menurun dikalangan pekerja-pekerja terutamanya mereka yang berkhidmat dijabatan Kerajaan. Tidak perlu Uncle sebutkan kerana ingin pembaca memikirkan sendiri…. (Kalau agaknya tidak juga menemukan jawapan…. Bertanyalah dilain kali…hahaha)

Rasionalnya Hari Malaysia disambut adalah kerana inilah harinya dimana negara Malaysia terbentuk secara rasmi. Penyatuan Tanah Melayu (termasuk Singapura), Sabah dan Sarawak menjadi kenyataan pada hari ini. Maka wajar ia disambut sebagai Hari Malaysia. Hari Kebangsaan juga tidak patut dilupakan kerana jika difikirkan logiknya, kerana adanya Hari Kemerdekaan tersebut maka terbentuklah Malaysia seperti yang ada hari ini. Adalah mustahil tanpa Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dapat bergabung (membuat keputusan sendiri) dengan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Negara Malaysia. Memang mustahil kerana tanpa kemerdekaan Tanah Melayu bagaimana kita boleh menyuarakan hasrat untuk bergabung dengan Negeri-Negeri yang lain?

Dari sudut lain, Uncle berpandangan bahawa inilah satu langkah bijak untuk menenggelamkan peristiwa 16 September yang digembar-gembur sebagai Hari Menawan Putrajaya oleh Ketua Umum PKR yang bercita-cita menggantikan PM Dato Seri Najib. Maka langkah ini...(menetapkan Hari Malaysia) dapat menutup cerita pengambilalihan tersebut dari terus diperkatakan.

Pada peringkat awal meraikan hari ini memang agak janggal... tetapi Uncle amat percaya akan sampai ketikanya kelak kita tidak sabar menunggu hadirnya tarikh 16 September saban tahun untuk merayakannya. Amatlah bermakna kita namakan bulan Kemerdekaan setiap tahun yang biasanya bermula dari bulan Ogos dan kemuncaknya pada 16 september setiap tahun.

Satu lagi persepsi negatif yang ditimbulkan adalah tarikh 16 September ini dikaitkan dengan tarikh lahir bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew. LKY dilahirkan pada 16 September 1923 (kalau tidak silap).

Uncle tidak langsung terpengaruh dengan cerita ini, kerana pada tarikh tersebut ribuan lagi rakyat Malaysia meraikan hari Ulangtahun kelahiran, maka mengapa Lee Kuan Yew sahaja yang dikaitkan? Dan jika diselidiki betul-betul jutaan lagi manusia didunia lahir pada tarikh yang sama. Lupakanlah itu semua.... yang penting didalam sejarah ...hari ini adalah Hari Malaysia.

Selamat Hari Malaysia. 1 Malaysia Menjana Transformasi.

Assalamualaikum.