Saturday, October 24, 2009

CEGHITO : KODAI DAK OLAN (1)

(Ceghito ni den buek sesajo untuk meghapu, bukan nak ngutuk oghang, bukan nak nyakitkan hati oghang…Tapi kalau sakit ati tu..makno er dah dapek..dah paham apo yang den nak sampaikan. Kalau ghaso kono topek kek batang idung… bukan salah den… tu salah ekau sobab TAK PANDAI NGELAK…)

Namo-namo kek dalam tu den main bubuh... bukan namo boto pun...takdo salah kaaaan...?

“O…Lan, bagi pakcik kopi O….kogheh skit yo”. Lan datang menghulurkan Kopi O kepada Seman…lalu ingin beredar ke dapur.

“Alahai Lan…duduk ar kojap…bukan ado orghang…boghak-boghak…..”

“Apo ceghito Pak Seman….? Den dongar kek umah malam kecoh kan main?”

“Ala…takdo…Aman tuh…NGAMUK KEK DEN…. OMAK ER PUN SAMO YO......Cekgu tanyo dio…bilo nak bagi balik Borang Besiswa sekolah tuuuuh… den kato an takyah yo lah…den bulih laie tanggung dio belaja…takyah besiswa…”

“Napo lak Pak Seman…yo oghang nak bagik apo lak tolak….?”

“Den tak mauuu tulih bangso den Melayuuuuu..... sobab den ni oghang Islam….. kek tompek bangso tu den tulihkan Islam la…apo salah ko..?”

“ Abih Pak Seman bangso apo…?”

“Islam la….”

“Tok Lah…apak Pak Seman ado cakap dio bangso apo….”

“Minaaaaang……”

“Camano lak tu Pak Seman….”

“Yo lah…dio Minang”

“Pak Seman….den nak gi dapo…ado banyak kojo nak buek….” Roslan bangun, sapu punggung…terus ke dapur.

Thursday, October 22, 2009

“ KUFUR NIKMAT NEGARA TENAT ” ( 23 OKTOBER 2009 / 4 ZULKAEDAH 1430)

(PETIKAN KHUTBAH DITERBITKAN OLEH JAKIM)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “ Kufur Nikmat Negara Tenat ”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan pemerhatian mimbar, budaya berhutang kelihatan sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca kerana sikap berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun kekurangan mempunyai wang tunai atau wang simpanan, tetapi nafsu meluap-luap untuk membeli tetap tinggi. Jika dahulu hanya golongan miskin yang biasa dikaitkan dengan berhutang kerana memenuhi keperluan terdesak, tetapi hari ini golongan kaya dan sederhana juga terbabit dengan budaya berhutang untuk hidup bermewah-mewahan.

Orang yang terlibat dengan budaya berhutang secara tidak wajar sebenarnya berada dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham tentang maksud sebenar ikhtiar. Lantaran pegangan standard kesempurnaan gaya hidup yang terlampau tinggi, mereka terpaksa mendapatkan sumber kewangan dengan cara berhutang untuk memenuhi kesempurnaan ini. Hutang dijadikan sebagai cara mendapatkan sumber bagi menyelesaikan masalah kelemahan mengurus kewangan mereka sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282:
Maksudnya: “Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah) Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Jelas, amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Dalam kehidupan, amat penting kita mempunyai kemahiran mengurus wang secara bijak kerana menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah ini dapat membimbing dan menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Media cetak pernah melaporkan beberapa agensi yang tergugat kewangannya disebabkan sikap pembayar atau yang berhutang gagal menjelaskan hutang. Antara masalah itu adalah tunggakan cukai tanah di Semenanjung Malaysia pada tahun 2008 berjumlah sebanyak RM655.4 juta dan 36.06% sahaja yang berjaya dikutip. Begitu juga tabung PTPTN, daripada seramai 1.4 juta peminjam pada 2009, 10% adalah peminjam ingkar. Manakala pinjaman MARA pula daripada 79,000 peminjam didapati 7,300 orang adalah peminjam liat membabitkan RM111 juta tunggakan. Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang mengendalikan urusan kaunseling dengan orang yang berhutang bahawa sejak akhir Jun 2008 hingga April 2009 terdapat sebanyak RM520 juta hutang tidak berbayar membabitkan seramai 23,924 peminjam.

Persoalan besar timbul ialah mengapa masih terdapat segelintir masyarakat kita begitu liat, sukar dan sengaja melarikan diri dalam menjelaskan hutang piutang mereka?. Sudahlah dikelilingi hutang sedia ada seperti hutang perumahan, kenderaan, pengajian, cukai tanah, ditambah pula dengan hutang peribadi. Akhirnya beban membayar balik hutang melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan untuk menyediakan keperluan asas keluarga. Menurut pemerhatian mimbar, antara punca yang dikenalpasti ialah masih ada yang kurang kesedaran tentang tanggungjawab untuk menjelaskan hutang dan tidak mengetahui tentang kesan sekiranya mereka gagal membayar hutang.

Mimbar mengingatkan bahawa, sikap lupa diri sesetengah daripada kita yang berhutang walaupun mampu untuk membayar dan sihat tubuh badan, amatlah dikesali. Rasulullah SAW pernah mengulas sikap manusia yang lupa diri ini sebagaimana diriwayatkan oleh Uqbah bin ´Amir yang mafhumnya: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka berkata: “Apa itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Hutang.”

Setiap yang berhutang wajib membayarnya. Sekiranya kita membayar hutang, cukai, zakat dan sebagainya, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan rumah golongan fakir dan miskin, membiayai kebajikan rakyat yang memerlukan, menyedia dan melengkapkan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya. Selain itu, tunggakan hutang yang dibayar boleh memulih sesuatu situasi selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, dan tanah runtuh dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Amalan suka berhutang membelenggu dan memberi kesan buruk kepada diri, keluarga, dan negara. Individunya juga menghadapi masalah kesihatan fizikal, mental dan emosi seperti muflis, mengalami tekanan perasaan, sakit jantung, dipandang serong, tidak suka bergaul, hilang keceriaan diri, tiada ketenangan jiwa, menjejaskan mutu kerja, terlibat dengan rasuah, pecah amanah, perceraian, bahkan ada yang tergamak bunuh-membunuh. Paling malang, masalah hutang ini berlanjutan sehingga membebankan anak cucu atau ahli waris yang lain.

Insaflah, dosa tidak membayar hutang sangat berat, selain berdosa, hilang pahala amal dan kita akan di azab oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Yusuf tentang kitaran hidup yang kadang kala senang dan ada masanya susah. Justeru, apabila kita dalam keadaan senang, berjimat cermatlah dan ingati keadaan golongan yang kurang dari kita. Manakala jika kita senang, bantulah untuk meringankan bebanan orang lain sebagai amal jariah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah sama-sama kita berfikir sejenak betapa jabatan dan agensi tertentu terpaksa menghabiskan tenaga dan ratusan ribu ringgit bagi membiayai kempen kesedaran dan iklan membayar hutang. Selari dengan kehendak ajaran Islam dan sifat orang beriman yang bersyukur, marilah kita mengubah gaya hidup dengan bersegera membayar hutang dan tidak bertangguh-tangguh membayar hutang cukai tanah, cukai pintu, pinjaman pendidikan dan seumpamanya supaya hidup kita aman, tenteram dan tidak terbelenggu dengan bebanan hutang. Mudah-mudahan dengan itu negara terus menjadi makmur.
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah, mendirikan solat dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mensyukuri.” (Surah al-Faatir: 29-30)

KHUTBAH JUMAAT 23HB OKTOBER 2009 Jabatan Agama Islam Selangor

“ BERSAMA MEMBENDUNG PERPECAHAN UMMAH ”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita meningkatkan sifat-sifat taqwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha tersebut menjadikan kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur atas segala nikmat pemberiannya. Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-‘Imran ayat 133:

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada tuhan kamu dan mendapat Syurga yang luas seluas Langit dan Bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa”.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya malapetaka yang paling besar bagi umat Islam ialah apabila berlaku perpecahan dan perselisihan faham sesama mereka. Ini kerana kunci utama kekuatan umat Islam ialah apabila mereka memiliki sifat kasih dan sayang. Hanya dengan kembali melaksanakan Syariat Islam sahajalah, umat Islam akan dapat menebus kembali kegemilangan yang telah hilang sejak 3 Mac 1924 iaitu tarikh kejatuhan empayar khilafah Islam Othmaniah yang terakhir diterokai.

Kerajaan Islam zaman dahulu amat kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam hasil tarbiah Nabi bersama para sahabat. Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh khulafa ar-Rashidin dan khalifah-khalifah Islam yang selepasnya. Wujudnya perpaduan yang kukuh itu disebabkan umat Islam yang bernaung di bawah satu kepimpinan yang mendukung ketauhidan kepada Allah s.w.t dalam segenap aspek sehingga kerajaan Islam menguasai hampir 2/3 dunia.

Benarlah kata-kata As-Shahid imam Hassan al-Banna’, seorang pemimpin ulung jemaah Ikhwanul Muslimin:

“Berkasih sayanglah antara satu sama lain, berusahalah membina ikatan ukhwah yang kukuh. Ia adalah rahsia kekuatanmu dan tunggak kejayaan kamu”.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Inilah rahsia kekuatan umat yang amat digeruni oleh musuh-musuh Islam. Mereka dengan sedaya upaya berusaha untuk memecahkan kesatuan umat Islam dengan pelbagai cara termasuklah menanamkan kefahaman dan ideologi ciptaan mereka di dalam pemikiran umat Islam disamping menjauhkan jiwa dan roh mereka daripada mentaati segala perintah Allah s.w.t.

Kesannya, kita lihat kini umat Islam dihina, diinjak dan dipermain-mainkan oleh musuh Islam. Minda umat Islam disogokkan dengan kefahaman dan keyakinan bahawa kemajuan hanya boleh diperolehi dengan cara dan acuan Barat sahaja. Akhirnya wujudlah dikalangan umat Islam yang memandang tinggi tamadun Barat dan melihat tamadun Islam sebagai jumud, mundur dan ketinggalan.

Terdapat segelintir dikalangan umat Islam tidak merasakan umat Islam yang lain adalah saudara mereka. Apabila saudara seIslam kita dibunuh di Palestin, Kashmir, Afghanistan, Iraq, para wanita diperkosa, orang-orang tua diperlakukan seperti haiwan oleh musuh Islam, kita hanya mampu memandang sahaja tanpa ada sekelumit kepedulian kita terhadap nasib mereka di sana.

Lebih menyedihkan lagi, diwaktu para isteri di Iraq meratapi kematian suaminya, ibu-ibu Palestin menangisi kehilangan anak-anak dan saudara-mara mereka, ada dikalangan kita yang begitu pemurah mengalirkan air mata menangisi idolanya yang tersingkir dalam program realiti television, meratap kesedihan melihat rancangan drama dan filem. Sebaliknya, begitu mahal pula untuk mengalirkan air mata melihat keperitan yang ditanggung oleh saudara seislamnya yang tertindas dan terjajah di Negara sendiri.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Tiada jalan lain untuk kita menjadi satu umat Islam yang kuat dan dihormati melainkan dengan kita kembali melaksanakan tuntutan Islam dengan bersungguh-sungguh dalam segenap Aspek kehidupan. Dengan iltizam dan kesungguhan yang kuat, kecintaan dan keyakinan kita kepada pertolongan Allah s.w.t sahajalah akan meletakkan kita kembali sebagai satu umat yang gemilang di dunia dan akhirat.

Ukhwah Islamiah secara jelas, terang dan nyata menjadi asas perpaduan umat Islam. Rasulullah pernah bersabda yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang mukmin dari segi kasih sayang, hormat-menghormati, kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila mengadu sakit salah satu anggota daripadanya, maka seluruh tubuh akan merasa sakit dengan berjaga malam dan demam”.

Tidak syak lagi bahawa perpaduan dan persaudaraan dikalangan umat Islam memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan dan mengukuhkan keharmonian dan keamanan bagi sesebuah negara dan bangsa. Perpaduan ini jugalah yang akan menentukan kejayaan dan kemajuan tamadun umat Islam. Sebaliknya perpecahan akan menyebabkan kegagalan, kemunduran dan kemusnahan.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Hayatilah sabda rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Jagalah diri kamu dari berprasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta dan janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahan. Janganlah kamu intip-mengintip, janganlah kamu berlumba-lumba mengatasi saudaramu dan janganlah berdengki-dengkian, janganlah benci-membenci dan janganlah kamu pulau-memulaukan. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara”.

Berdasarkan hadith di atas, kita hendaklah menjaga diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan ukhwah sepertimana yang diterangkan dalam hadith di atas. Ukhwah dan perpaduan itu suatu yang tidak ternilai harganya yang wajib dipelihara. Oleh itu, Ukhwah dan perpaduan merupakan nikmat kurniaan Allah seperti yang diterangkan dalam firmannya, surah Al-Anfal ayat 63:

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Dia maha kuasa lagi maha bijaksana”.

Kita wajib menyedari bahawa iblis laknatullah, para syaitan durjana dan musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memesongkan aqidah, meracuni keimanan dan kepercayaan seorang Muslim. Apabila iman sudah rapuh, maka akan mudahlah anasir yang tidak sihat masuk ke dalam diri manusia, sekaligus akan berlakulah segala perpecahan di dalam kesatuan umat dan Negara. Kita juga akan dipergunakan oleh musuh-musuh Islam bagi memecahkan belahkan kekuatan umat Islam dari dalam. Inilah yang dirancang dan dicita-citakan oleh mereka. Mereka sebenarnya tidak akan dapat duduk diam melihat kita bersatu, maju dan berkembang.

Ketahuilah, bahawa di setiap sudut dan ruang, kehidupan umat Islam sentiasa diawasi dan di kelilingi oleh perangkap musuh-musuh Islam. Berbagai cara dan taktik diperkenalkan di dalam ruang kehidupan atas nama kemajuan dan kebudayaan. Inilah yang sering menyebabkan kita selalu lalai dan alpa, yang akhirnya memerangkap kita tanpa disedari.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Setiap diri kita wajib berperanan untuk menjadi pencetus perubahan ke arah memantapkan perpaduan sesama kita. Setiap individu Muslim akan dapat menikmati kemanisan ukhwah Islam dengan memastikan bahawa kita tidak menjadi penyebab kepada perpecahan umat. Ini dapat dilaksanakan dengan cara kita kembali bersama-sama kepada hukum Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat 65:

“Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakihatnya) belum lagi beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang telah kamu putuskan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.

Selain daripada itu, kita wajib memiliki akhlak Islam demi memelihara ukhwah dan perpaduan. Pendekatan menyerang dan menghukum perlu dielakkan. Sebaliknya pendekatan mesra masyarakat perlu diutamakan demi menunjukkan bahawa Islam adalah rahmat kepada seluruh alam dan sesuai untuk semua manusia tanpa mengira jantina, kaum dan warna kulit.
Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nahl ayat 125:

“Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalannya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Marilah kita menguatkan kembali ikatan kesatuan Islam dan memperkasakan ikatan persaudaraan kita menuju kepada matlamat yang satu iaitu mendaulatkan kembali Islam sebagai syariat yang dilaksanakan di atas muka bumi Allah ini. Hanya kepada Allah s.w.t tempat kita kembali dan memohon pertolongan agar seluruh hati umat Islam hari ini bersatu dalam satu wadah dan satu matlamat perjuangan.

“Katakanlah, ya Allah, pemilik alam kerajaan ini, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau mengambil kekuasaan itu daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, di tangan Engkau (ya Allah) segala kebaikkan, sesungguhnya Engkau maha berkuasa atas segala sesuatu”.(Ali-Imran: 26)

Monday, October 19, 2009

PERUBAHAN YANG DIPERLUKAN OLEH UMNO


"Oleh itu marilah kita BERSETIA menterjemahkan amanat YAB Presiden agar TIDAK ADA lagi diantara kita yang menjadi BATU-API, BATU RONSON, KAKI-CUCUK,TALAM DUA MUKA, PEPAT DILUAR, RENCONG DIDALAM, ...dan SI KITOL YANG LIDAH BERCABANG, langkah MENYILANG. TIDAK ada lagi perpecahan dalaman,tidak ada lagi team A-team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuhmenjatuhkan pemimpin, tidak ada lagi budaya ugut-mengugut, & tidakada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Petikan ucapan Timbalan Presiden UMNO sewaktu menggulung ucapan Presiden.

Persoalan Utama:

Benarkah kenyataan TSMY itu? Mungkin ada benarnya, kerana orang takkan bercakap sekiranya semua itu tidak pernah terjadi.

Kedua: Siapa pelakunya…..? Akui dan jalani pemulihan diri… samada dilakukan oleh mereka sendiri atau dengan bantuan dan sokongan dari parti.

Ketiga: Mampukah ahli yang terbabit mengakui kesilapan mereka…dan seterusnya bertekad untuk mengubah dan membasmi sama sekali apa yang biasa diamalkan sebelum ini.

Keempat: Apa ikrar dan iltizam mereka yang terbabit? Mahu terus bersama parti atau meninggalkan parti yang telah tercemar akibat kesilapan mereka dahulu.

Kelima: Siapa pengganti/pelapis yang bakal mengambil alih kedudukan mereka yang mengundur diri (andai berlaku demikian)? Tetapkan kriteria dan syarat yang sesuai untuk mereka. Kelayakan, Wawasan dan Sokongan yang dibawa bersamanya.

Apabila lima perkara diatas telah dibereskan maka langkah lanjut adalah:

a. Merenung kembali objektif pembentukan UMNO sejak dari mula kewujudannya.
b. Mengubah suai peraturan dan susunan Parti mengikut keperluan semasa.
c. Terapkan secara berterusan, bukan bermusim apa yang diperlukan oleh parti demi keutuhan dan kekuatan parti. Menekankan semangat kekitaan dan kesetiaan kepada parti.
d. Maklumat berkaitan aktiviti yang berlangsung, baik diperingkat mana sekalipun hendaklah sentiasa disampaikan kepada semua anggota.
e. Bekerja, berkhidmat dan memberi sumbangan bukan atas kepentingan peribadi.
f. Sebarang imbuhan atau ganjaran yang diperolehi dikongsi oleh semua yang terbabit tanpa pilih kasih dan keutamaan parti didahulukan.
g. Proses MEREMAJAKAN Parti sentiasa dilakukan, Berikan perhatian kepada mereka bukan sekadar mahukan sokongan tetapi lebih kepada membela keadaan kehidupan seharian mereka. Apabila langkah ini dilakukan tidak mustahil mereka akan memberi perhatian kepada Parti. Ketika itulah proses mengenalkan mereka kepada konsep, arahtuju dan keperluan sebenar Parti UMNO ini mereka sertai.

Langkah selanjutnya:

KEKALKAN APA YANG TELAH DIRENCANAKAN. JANGAN UBAH SEBARANG PERANCANGAN TANPA PERSETUJUAN SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT.

Insyaallah, Parti akan mempunyai daya tahan dan berdaya saing pada jangkamasa yang lebih panjang.

Semoga perubahan yang berlaku ini akan sentiasa menjadi keutamaan ahli-ahli UMNO disemua peringkat..Cawangan, Bahagian, Negeri dan Peringkat Pusat.