Friday, March 27, 2009

BOLA TANGGUNG DARI UMNO

Assalamualaikum….

Syabas diucapkan kepada perwakilan UMNO seluruh Negara kerana telah berjaya merubah wajah pemimpin tertinggi parti sepertimana yang dikehendaki oleh Presiden baru UMNO, Datuk Seri Najib. Saf-saf yang berdiri dibelakang DS Najib mungkin memenuhi citarasa bakal Perdana Menteri itu.

Dalam meraikan pencapaian tersebut Uncle ingin memberi peringatan bahawa cabaran sebenar yang bakal dihadapi oleh barisan kepemimpinan baru ini akan bermula sebaik sahaja perhimpunan melabuhkan tirainya pada 28 Mac ini.

Uncle ingin mengajak ahli-ahli UMNO mengintai keadaan semasa yang sedang berlaku maka adalah dijangka akan ada pertarungan dibeberapa kawasan bagi kerusi DUN dan Parlimen. Perhatikanlah kemelut yang sedang berada disekeliling kita.

Ujian pertama UMNO dan Barisan Nasional pasti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai yang akan berlangsung serentak pada 7 April. Di tiga kawasan inilah ujian yang harus dilalui.

Barisan Nasional bakal mendaki puncak berduri di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan alunan ombak ganas di Batang Ai.

Untuk membuktikan parti semakin kukuh dan diterima maka hanya kemenangan yang perlu digapai. Untuk mendapatkan kemenangan tempoh kempen selama 7 hari perlu digunakan sebaik mungkin supaya kekecewaan di Permatang dan di Kuala tidak berulang.

Perkara kedua adalah berkaitan kesahihan kerajaan BN Perak yang masih menjadi pertikaian. Jika keputusan memihak Barisan Nasional maka pentadbiran akan berjalan sepertimana biasa, namun andainya keputusan menyebelahi PR maka mahu atau tidak pilihanraya baru akan diadakan untuk mendapatkan mandat terbaru dari rakyat (seperti yang dimohon oleh bekas mbmereka sebelum ini).

Kemelut di Pulau Pinang nampaknya semakin bertambah serius maka satu atau dua PRK mungkin menjadi kenyataan.

Keadaan ini perlu perhatian dan difikirkan oleh mereka yang kini berada diaras tertinggi kepemimpinan parti UMNO.

Uncle memetik sedikit dari pernyataan bekas Presiden UMNO. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya

“sikap dan gelagat Melayu tertentu mengangkat bola tanggung sehingga Melayu dan Bumiputra boleh dilibas…”

Uncle tidak mahu membicarakan perihal “bola tanggung” yang dimaksudkan oleh Pak Lah tetapi mahu menyatakan bahawa sekarang ini BOLA TANGGUNG itu sedang berada digelanggang lawan.

Mereka sedang menanti masa untuk membuat libasan dan Uncle amat pasti libasan pada kali ini jauh lebih sukar untuk dikembalikan oleh barisan pilihan Datuk Seri Najib.

Seperti kebiasaannya, pembangkang akan membicarakan isu-isu sensasi bagi meraih sokongan dan kini mereka sudah bersedia dengan bahan-bahan untuk dijamukan kepada pengundi-pengundi.

Tidak perlu Uncle perincikan isu apa yang bakal dijaja oleh pihak pembangkang ketika berkempen. Biarlah ia dicari dan dikaji oleh para pemimpin UMNO dan BN yang baru dipilih.

Uncle mengharapkan bahawa sorak kemenangan seperti yang kedengaran di Pusat Dagangan Dunia Putra bakal berulang diketiga-tiga kawasan terbabit.

Berdasarkan pemerhatian semasa, Uncle tidak dapat mengelak daripada meramalkan bahawa ketiga-tiga kerusi tersebut mampu dikuasai oleh pihak pembangkang.

Terserah kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional serta UMNO untuk mengembalikan LIBASAN MAUT pakatan pembangkang bagi memperlihatkan bahawa Barisan sudah berkemampuan menangani ancaman dari pihak lawan.

Wallahualam.