Friday, June 27, 2008

Negara masyarakat majmuk, papantanda pun berkecamuk

Mentang-mentang negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum maka telah ada ura-ura untuk menggunakan tanda-tanda kewujudan masyarakat itu di papan-papan tanda di negara ini. Selama ini papan tanda hanya menggunakan Bahasa Melayu dan ini agaknya menyukarkan masyarakat terutama yang terdiri dari bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini.

Cadangan yang dikemukakan oleh ahli Majlis MPSP (Seberang Perai) hanya timbul apabila kerajaan campuran Pakatan Rakyat memerintah negeri Pulau Pinang. Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional diterajui Parti Gerakan memimpin barisan kerajaan Pulau Pinang dan tidak pernah timbul gesaan seperti ini.

Mungkin kerana kehendak rakyat yang mahukan penggunaan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di papan tanda punca kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional pada PRU12 tempohari?.

Begitulah tebalnya sentimen yang dibangkitkan oleh ahli Majlis MPSP berkaitan usaha tersebut.

Barangkali di Melaka kelak akan ada permintaan untuk menggunakan Bahasa Portugis sekiranya ada wakil rakyat dari kalangan mereka menduduki kerusi Dewan Undangan. Mungkin ia akan jadi isu hebat sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Negeri Melaka. Apakah kesannya kepada kedaulatan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Mungkin perlembagaan perlu diubah apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Persekutuan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh Penasihat PKR yang akan bermula 16 September berkaitan perkara-perkara seperti ini?

Ahli Majlis MPSP berkenaan agak keterlaluan ketika membuat saranan sehingga menolak kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Akan luputlah perjuangan mendaulatkan bahasa Kebangsaan seperti yang diperuntukkan. Selama berpuluh tahun negara ini merdeka kerajaan telah memberikan perkara-perkara yang terlalu istimewa kepada bangsa-bangsa pendatang ini dan semua itu masih tidak memuaskan hati mereka malah masih tidak mencukupi kerana mereka masih lagi tidak mengiktiraf penerimaan orang-orang Melayu terhadap mereka sebagai Bangsa Malaysia.

Apakah dengan kaedah menukar papan tanda menggunakan beberapa bahasa akan menambah jumlah bilangan pelancong dari luar negara? Nampaknya Ahli Majlis berkenaan amat prihatin kepada pelancong-pelancong khususnya dari negeri China.berbanding kehendak dan perasaan majoriti rakyat Malaysia terutamanya Bangsa Melayu. Apalagi agaknya syor dan cadangan yang bakal mengutamakan KIBLAT mereka tersebut? Tidak mustahil sekiranya banyak lagi tuntutan berkepentingan seperti itu akan diajukan atas agenda yang tidak kita ketahui.

Syor papan tanda turut guna bahasa Mandarin, Tamil

BUKIT MERTAJAM 27 Jun - Seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi hari ini mencadangkan supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di negeri ini menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.

Ketika mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat penuh MPSP di sini hari ini, beliau berkata, perubahan itu perlu dibuat bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini.

"Papan-papan tanda menggunakan bahasa Mandarin ini juga penting untuk memudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina terutamanya di Bukit Mertajam,"

Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudiannya menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Artikel 152 Perlembagaan dengan jelas menyatakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, saya fikir dalam konteks (papan tanda) ini adalah selaras dengan peruntukan itu," jelasnya.

Seang Hooi yang juga bekas guru Bahasa Melayu kemudiannya mencelah dengan menegaskan, perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa penggunaan bahasa-bahasa lain juga digalakkan sejajar dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, cadangan itu bukan sesuatu yang ganjil untuk dilaksanakan memandangkan ia sudah dilakukan di sebuah bandar di Sarawak.

Mendengar kenyataan Seang Hooi itu, Farizan berkata, pihaknya akan mengajukan cadangan itu kepada kerajaan negeri terlebih dahulu untuk perbincangan lanjut.

Ketika ini, seorang lagi Ahli Majlis MPSP, Oon Neow Soon yang menyatakan persetujuan dengan cadangan tersebut, bangkit dan meminta Farizan menjelaskan secara terperinci bila perkara itu akan diajukan kepada kerajaan negeri.

Farizan kemudiannya memberi jaminan bahawa cadangan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bulan depan.

Farizan sebagai Yang Dipertua MPSP sudah pasti berasa tertekan dengan kehendak Ahli-ahli Majlis MPSP berkenaan kerana amat pasti permintaan itu akan menjadi perhatian utama kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP.

Sama-samalah kita mengunggu dan melihat respon daripada Lim Guan Eng dalam menangani permintaan itu.