Saturday, June 21, 2008

Implikasi Cadangan Undi Tidak Percaya

WAKIL SAPP HANYA BERDUA
KONON MENURUT ARAHAN KETUA
DATUK YONG TECK LEE PUNYA ANGKARA
MENYOKONG USUL UNDI TIDAK PERCAYA

ENTAH DIMANA ASALNYA PUNCA
BOLEH KECOH SATU NEGARA
SEMUA BERCAKAP SEMUA BERSUARA
MEMBERI PENDAPAT BERMACAM RUPA

BPR SIASAT EMPUNYA DIRI
BILA MENENTANG TAK BOLEH NAK LARI
BANYAK SALAH DAN SILAP DICARI
SIAPLAH TANGAN HENDAK DIGARI

KALAU RAJIN BAWALAH MEMBACA
BANYAK RAMALAN MENJADI BERITA
BANYAK TUDUHAN CACI DAN CERCA
SERONOKLAH MEREKA MENGUMPAT MENGATA

137 Ahli Parlimen BN ikrar tolak usul

KUALA LUMPUR 21 Jun – Seramai 137 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berikrar akan menolak usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya ia dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin ini.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) juga telah mengarahkan ahli-ahlinya supaya bersiap sedia dengan fakta-fakta kukuh bagi mempertahankan Perdana Menteri sekiranya usul tersebut diluluskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai pembentangan usul tersebut.

‘‘Persidangan pada Isnin ini juga akan berjalan dengan aman dan tiada keadaan luar biasa akan berlaku,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri dikemukakan di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bersidang selama 14 hari.

Ketika ditanya mengenai sokongan dua ahli Parlimen BN yang mewakili SAPP, Bung Moktar berkata, beliau tidak tahu mengenai pendirian kedua-dua wakil rakyat itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon Bui.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin usul itu tidak akan mendapat sokongan sekiranya ia dibentangkan.

‘‘Tiada sokongan. Kalau ada hanya dua orang sahaja.

‘‘Tindakan SAPP sudah keterlaluan. Tamak dan bersifat kepentingan peribadi,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhd. Muhammad Taib berkata, beliau turut yakin wakil rakyat BN akan terus mempertahankan Abdullah selaku Pengerusi BN. Tambahnya, lagipun kesemua parti komponen BN tidak menyokong tindakan SAPP itu kerana ia bercanggah dengan semangat setiakawan parti.

‘‘Kita perlu mempertahankan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan terus membantunya,’’ ujarnya yang juga Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, beliau cukup yakin para penyokong kerajaan akan bersatu mematahkan usaha-usaha untuk melemahkan kepimpinan Perdana Menteri.

‘‘Rakyat telah memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan. Sebagai wakil rakyat kerajaan, kita perlu mempertahankan keputusan rakyat itu,’’ ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor.

No comments:

Post a Comment