Saturday, June 21, 2008

MENGAPA PERLU ADA SEKATAN?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah diminta tidak 'menyibukkan' diri sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memulihkan UMNO Kelantan. Senario sekarang tidak memerlukan pemimpin Kelantan itu berada di negeri lain terutamanya Johor kerana UMNO Johor tidak menghadapi sebarang masalah termasuk soal kepimpinan. UMNO Johor mempunyai tatacara sendiri untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara tanpa orang luar. Tengku Razaleigh jangan 'syok sendiri' dan tumpukan perhatian di Kelantan.

Demikianlah pandangan beberapa pemimpin UMNO Bahagian di negeri itu.Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali berpendapat khidmat Tengku Razaleigh lebih diperlukan di negeri kelahirannya itu berbanding di Johor ketika mengulas rungutan Tengku Razaleigh mengenai halangan terhadap ahli UMNO menghadiri ceramahnya di Batu Pahat dan Muar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Ali Mohamed meminta Tengku Razaleigh tidak menyalahkan pihak lain jika kedatangannya ke Johor tidak mendapat sambutan ahli-ahli UMNO. Walaupun terdapat cawangan UMNO di Johor menjemputnya tidak bermakna seluruh bahagian perlu menghadiri majlis tersebut. Kedatangannya Tengku Razaliegh tidak bersesuaian dengan masa kerana UMNO sedang giat mengukuhkan kekuatannya. Tindakan itu membuktikan beliau lebih mementingkan diri sendiri sedang berusaha meraih sokongan bagi bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Tengku Razaliegh didakwa tidak berusaha menyatukan semula serta memulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.

Begitulah nasib seorang veteran UMNO yang masih lagi memegang jawatan ketika ini. Lawatan dan ceramah yang dilakukan beliau tidak direstui oleh ahli-ahli pertubuhannya sendiri atas alasan yang rapuh.

Sekali lagi sikap keterbukaan pemimpin dan ahli-ahli UMNO boleh dipertikaikan. Menolak mentah-mentah sekaligus menyindir bekas Menteri Kewangan Persekutuan seolah-olah dijadikan budaya dan menerus menular di setiap pelusuk negara.

Sebelum ini Mantan Perdana Menteri YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed mengalami keadaan yang lebih kurang serupa apabila tidak diterima sebagai salah seorang perwakilan di Bahagian yang pernah beliau ketuai.

Dimanakah rasionalnya alasan yang diberikan sebahagian Ketua Bahagian UMNO Johor? Sebagai benteng kukuh UMNO di Malaysia maka tidak layak lagi orang luar berada di sana? Inilah keangkuhan yang bakal menghancurkan UMNO keseluruhannya. Keangkuhan selepas Pilihanraya 2004 menyebabkan kekalahan yang tidak diduga pada Pilihanraya 2008 kecuali di Johor.

Tidak mustahil barah ini akan menular di Johor dimasa akan datang jika sikap begini diteruskan.

Apapun tujuan dan matlamat Tengku Razaliegh, tidak sesiapapun dikalangan ahli UMNO berhak menghalang. Perdana Menteri sendiri membuka ruang yang amat luas kepada ahli yang menyatakan keinginan untuk menentang beliau didalam pemilihan pada Disember ini.

Apakah erti kenyataan Perdana Menteri difikiran kepemimpinan UMNO Johor?

PRU12 baru saja berlalu dan usaha mengukuhkan UMNO Kelantan kini mungkin menjadi agenda kedua Tengku Razaliegh. Kedudukan beliau yang agak selesa di Peringkat Kebangsaan mungkin memberi kekuatan yang lebih baik dalam usaha mengukuhkan UMNO Kelantan kelak..siapa tahu?

Logiknya… apa gunanya kekuatan UMNO Kelantan ketika ini sedangkan pada Pilihanraya yang lepas UMNO hampir ditolak sepenuhnya dan kekuatan lebih diperlukan apabila berdepan PRU13 kelak. Apa faedahnya kekuatan dalam tempoh lima tahun ini sedangkan Dewan Undangan telahpun dikuasai oleh PAS?

Jika benar Tengku Razaliegh inginkan jawatan Presiden UMNO dan mementingkan diri sendiri adakah dengan kukuhnya UMNO Kelantan sesuatu yang memadai untuk menduduki kerusi Presiden? Akan cukupkah kuota yang melayakkannya sebagai calon dalam pemilihan jika hanya Kelantan sahaja tempat beliau disarankan bergerak? Salahkah Tengku Razaliegh memperjelaskan matlamat dan wawasan beliau kepada seluruh ahli UMNO disetiap Bahagian?

Ahli-ahli UMNO seluruh negara dipohon supaya bersikap terbuka terhadap semua pemimpin tanpa sikap berpilih-pilih. Jika sikap demikian ingin diamalkan maka wajar juga Paklah dilarang berada di kesemua negeri kecuali Pulau Pinang.

Apakah kedudukan UMNO Pulau Pinang terlalu kukuh berbanding Kelantan? Kawasan Parlimen Permatang Pauh seharusnya dikuasai dan dimenangi. Ini bertujuan untuk menolak Presiden Parti Keadilan Rakyat daripada menduduki kerusi Dewan Rakyat, tetapi dapatkah perkara ini dilakukan dalam tempoh 5 tahun sebelum PRU13? Mustahil.

Memadaikah kekuatan UMNO Pulau Pinang bagi usaha tersebut?

Pengukuhan UMNO tidak terletak ditangan seorang dua individu atau satu dua buah negeri. Ia perlu menyeluruh. Rungutan ahli akar umbi perlu diambil kira dalam membuat sebarang kenyataan. Ruang untuk setiap ahli apatah lagi pemimpin hendaklah dibuka untuk menyuarakan pandangan dan pendapat. Tidak perlu ada sekatan dan halangan untuk sesiapa berada dimana, atas tujuan apa dan dari mana asalnya.

BIARKAN DEMOKRASI SUBUR BERCAMBAH DIDALAM PARTI

No comments:

Post a Comment