Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Saturday, February 11, 2012

Pejuang Agama Yang Fajir

Uncle memetik tulisan yang diterbitkan lebihkurang 3 tahun yang lalu untuk direnungkan bersama.

Siapakah kita dan siapakah mereka yang benar-benar berjuang untuk menegakkan Islam, Bangsa dan Tanahair pada hari ini.

Semuga dengan tulisan ini kita mampu memperbaiki diri dan halatuju disamping mengukuhkan lagi keyakinan kita kepada ajaran Islam, mentaati Allah dan RasulNya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya lebih kurang:

Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir (jahat).

Hadis riwayat Bukhari.

Rasulullah s.a.w. mendedahkan satu hakikat yang wujud dalam perjuangan dakwah supaya umat Islam mengambil sikap yang bijaksana apabila hal ini terjadi kepada mereka pada bila-bila waktu. Baginda mendedahkan bahawa barisan pejuang dan pendukung Islam tidak selamanya terdiri daripada manusia mujahid mukmin yang soleh yang berjuang dengan penuh keikhlasan untuk menegakkan Islam demi mematuhi seruan Allah dan mencari keredaanNya. Di dalam barisan itu tidak jarang terdapat manusia-manusia jahat (fajir) yang bergelumang dalam maksiat, yang berjiwa munafik dan tidak beriman turut berjuang menegakkan Islam dengan motif yang bukan kerana Allah. Mereka pada lahirnya berjuang begitu gigih memperkuatkan kedudukan Islam dan Islam benar-benar mendapat kekuatan daripada perjuangan mereka. Tetapi perjuangan mereka itu walaupun pada lahirnya merupakan jasa-jasa yang baik kepada Islam, namun tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah S.W.T. kerana perjuangan dan jihad yang sebenar harus terpancar dari iman dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah dan RasulNya.

Siapakah manusia fajir atau manusia jahat itu?

Kata al-Maraghi

manusia fajir ialah orang yang melanggar undang-undang Allah dan mencabul kehormatan-kehormatannya.
Kata al-Raghib al-Asfahani

perbuatan fajir (kejahatan) ialah perbuatan mencabul kehormatan agama. Seseorang pembohong dianggap sebagai seorang yang fajir kerana berdusta merupakan sebahagian dari fajir (kejahatan).

Kata Ibn Athir pula ‘

manusia fajir ialah orang yang bergelumang dalam maksiat-maksiat dan perbuatan-perbuatan yang haram.

intisari dari takrif-takrif tersebut menetapkan bahawa yang dikatakan ‘manusia fajir’ atau jahat yang didapati berjuang menegakkan agama Allah itu ialah manusia-manusia yang mengerjakan maksiat-maksiat dan kefasikan-kefasikan yang diharamkan Islam.

Menurut al-Hafani:

Termasuk dalam golongan manusia fajir ialah orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya sedangkan orang lain mendapat faedah dan beramal dengan ilmu yang diajar olehnya.

Sementara al-Manawi pula memasukkan pemerintah yang zalim dalam golongan manusia fajir.

Menurut al-Hafani ketika menghuraikan asal-usul hadis ini bahawa Rasulullah s.a.w. telah melafazkan hadis ini ketika beliau melihat seorang perajurit berperang begitu hebat dalam pertempuran Khaibar dan berjaya mengalahkan orang-orang kafir sedangkan dia sendiri munafik lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan kepada para sahabat bahawa orang itu adalah dari penghuni neraka.

Keterangan itu telah menghairankan para sahabat kerana lelaki itu telah berjuang menewaskan orang-orang kafir dan dia sendiri mendapat luka yang parah. Apabila tiba waktu malam lelaki itu tidak juga mati lalu dia pun membunuh dirinya kerana tidak sanggup menderita, apabila berita pembunuhan dirinya disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. baginda pun bersabda:

“Aku adalah hamba Allah dan rasulNya. Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir”

Inilah peristiwa yang melahirkan hadis ini dan ia merupakan satu garis contoh yang amat jelas bagaimana seorang barmati-matian berjuang dalam barisan memperteguhkan Islam sedangkan dirinya seorang fajir yang munafik dan bagaimana perjuangan yang bermotif munafik iti tidak menyelamatkannya dari neraka dan bagaimana seorang pejuang Islam yang fajir itu memperlihatkan kelakuan-kelakuan yang bertentangan dalam perjuangannya untuk menguatkan Islam.

J. Milton Cowan ketika memberi erti kepada kata-kata ‘fajir’ dalam kamusnya telah membariskan sifat-sifat jahat dan keji seperti berikut:

Libertine, Profligate, debauchee, roué, rake adulterer, liar, Insolent, impudent, Shameless, brazen.

(Suka berzina, tidak menghormati wanita, cabul, candala, hamba nafsu, berakhlak jahat, tidak bermoral, jahat dan kejam, pembohong, kasar budi, tak bermaruah dan tak punya rasa malu dan apa yang dimaksudkan beliau itu tidak terkeluar dari kehendak-kehendak dan maksud kata-kata ‘fajir'.)

Di dalam sejarah perjuangan Islam sejak zaman dahulu hingga ke masa kini terdapat contoh-contoh yang kaya yang menunjukkan batapa manusia-manusia yang fajir itu dapat mengabui mata orang-orang Islam dengan perjuangan-perjuangan mereka yang gigih untuk menegakkan Islam, sedangkan perjuangan mereka bukanlah hasil dari dorongan iman dan motif pencari keredaan Allah dan kelakuan mereka sentiasa bergelumang dalam segala macam maksiat yang keji. Wassalam.

Petikan dari tulisan :

http://virtualfriends.net/mediabank/photo/2002/smallavatar/DilaDellila1.jpg DilaDellila

(Virtual Friends.NCT)

Monday, February 6, 2012

Faktor Perpecahan Umat Islam

Uncle suka membaca akhbar yang diterbitkan pada hari minggu (Ahad) kerana didalamnya dimuatkan rencana dan artikel hasil dari wawancara beberapa tokoh berkaitan perkara-perkara yang berlaku dipersekitaran kita.

Isi wawancara kali ini menarik perhatian kerana Uncle sering bertukar-tukar pandangan bersama sahabat berkaitan hal ehwal politik tanah air.

Pernah juga Uncle fikirkan apa yang disampaikan oleh Dr Aidit Ghazali ini dan alhamdulillah, penerangan yang beliau berikan ini adalah didalam bentuk yang mudah difahami.

Uncle mengambil peluang membuka pandangan lebih jauh faktor-faktor yang menyentuh isu perpecahan dikalangan umat Islam seperti yang dinyatakan.

Pelbagai analisis tentang perpecahan umat Islam telah dikupas oleh banyak pihak. Kebanyakannya berasas. Tidak perlu untuk mengulanginya. Tetapi faktor-faktor yang paling diyakini menjadi penyebab adalah:

Pertama

Tahap ilmu dan kemahiran menilai sesuatu perkara termasuk maklumat yang diterima, secara waras, bijaksana, berfikiran panjang dan menyeluruh.

Menerima, menilai dengan fikiran yang waras adalah satu permasalahan kepada rakyat Malaysia pada hari ini khususnya bagi mereka yang beragama Islam. Banyak rungutan dan aduan yang terdengar bahawa penghayatan umat Islam berada ditahap paling minima. Pengetahuan agama cukup rendah dan panduan yang ada tidak dimanfaatkan sebaiknya sehingga gagal mencapai keputusan yang dikehendaki sejajar kehendak tuntutan agama mereka. Ini berlaku kerana kurangnya tumpuan, kurangnya perhatian terhadap peri pentingnya mematuhi kehendak beragama yang sebenar. Jikalah ilmu agama terlalu sedikit, bagaimanakah agaknya mampu mereka mencapai sesuatu yang selaras dengan tuntutan?. Pasti ada yang tidak kena dengan pegangan Islam. Kepincangan inilah yang menjadi permasalahan utama. Untuk mengatasi masalah ini, agensi dan jabatan yang terbabit perlulah lebih pro-aktif. Gerakkan usaha untuk memberikan panduan, bahan-bahan yang sesuai kepada kesemua rakyat yang beragama Islam. Tidak boleh mengharapkan sekolah dan institusi yang berkaitan sahaja.

Terlalu jauh umat Islam tersasar dan masalah ini perlu diperbaiki sebelum kita hanyut lebih jauh dan akhirnya nilai-nilai Islam terus terhakis didalam masyarakat. Nauzubillah.

Kedua

Ketandusan ikon insan atau manusia yang boleh dijadikan ikutan dan rujukan yang diyakini tidak berbelah bagi dan yang bersifat adil serta membina dalam penilaian mereka.

Tidak ada lagi tokoh ulamak yang mereka benar-benar kagumi dan dapat dijadikan ikutan. Tokoh-tokoh seperti Tok Kenali,Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah ) Haji Abdul Fahim (Mufti Pulau Pinang) , Haji Abu Bakar Alim (Muar) , Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dan lain-lain.,

Ketiga

Masalah ketaksuban dikalangan sebahagian masyarakat terhadap tokoh dan wadah pilihan sehingga ketaksuban kepada Allah dan Rasul-Nya, serta ketaksuban terhadap kebenaran diketepikan tanpa sedar.

Ketaksuban kini telah beralih kepada tokoh-tokoh agama yang membabitkan ulama yang berada didalam kelompok pemain politik. Apabila ini berlaku maka terjadilah pengasingan mengikut kelompok dengan kepentingan yang berbeza. Dan semakin besarlah jurang yang wuijud dikalangan umat Islam. Rakyat perlu faham, sebaik manapun ideologi yang disuapkan oleh pemain-pemain politik, ia tidaklah sebaik ajaran yang terkandung didalam Al-Quran dan Hadis. Tetapi sejauh mana fahaman mereka terhadap kebenaran Islam perlu diperkukuhkan. Insyaallah, usaha yang tidak mengenal jemu bakal membuahkan hasil dan paling penting ia diberkati Allah SWT.

Keempat

Suasana yang tidak kondusif pada perpaduan akibat budaya menghasut, berdendam dan takbur bahawa diri mereka yang benar dan

Demi kepentingan politik, masing-masing mempunyai idola tersendiri yang menegakkan perjuangan mengikut halatuju berbeza. Amalan menghasut berleluasa, berdendam kerana tidak berjaya mempengaruhi individu lain dan merasakan diri mereka sentiasa berkeadaan benar sedangkan yang tidak memihak sentiasa berada didalam kemungkaran. Pemahaman begini perlu dihapuskan sama sekali jika benar ingin mengangkat Islam sebagai perjuangan. Tidak ada perpecahan yang harus timbul hanya kerana perjuangan yang bermotifkan keduniaan. Janganlah diluaskan budaya perpecahan kerana kepentingan tertentu.

Kelima

Kurangnya pilihan bagi umat Islam yang kecewa dan hilang harapan pada wadah-wadah yang sedia ada.

Tiada wadah yang sesuai lagi pada pandangan mereka (golongan yang tidak berpihak) untuk dijadikan tempat pergantungan harapan. Kelompok ini tersisih atau menyisihkan diri dari mereka yang mempunyai kumpulan.

Penyelesaiannya adalah dengan meninjau serta mengkaji sedalam-dalamnya punca pada faktor-faktor ini dan selesaikan pada punca-punca. Yang penting, usaha secara sistematik dan berterusan.

Soal bila ia akan berjaya jangan dijadikan persoalan utama kerana itu urusan Allah. Jangan terperangkap dalam membuat kerja secara gopoh sehingga akhirnya mengorbankan kualiti dan keberkatan Allah SWT dalam setiap perjuangan
.

Monday, November 9, 2009

Dr Asri memilih Pentas Politik untuk Berdakwah..?

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sedia menyertai parti politik jika tidak diberi ruang dan dihalang menyampaikan pandangan dan pemikirannya mengenai Islam kepada masyarakat.

Mohd Asri menegaskan, beliau akan bercakap di pentas politik jika pintu untuknya mengemukakan pandangan ditutup rapat pelbagai pihak dan menyatakan kesediaan menyertai perbincangan atau dialog bersama golongan yang tidak sependapat dengannya menerusi forum termasuk di televisyen bagi dinilai rakyat.

"Kalau ada pihak rasa perlu forum di televisyen, bagi kedua-dua aliran ini bercakap secara harmoni, ajar rakyat untuk berbeza pendapat secara harmoni, bukan tangkap orang,"

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kira-kira sejam dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Ia adalah kunjungan hormat selain menziarahi Nik Aziz.

Beliau bagaimanapun mengakui masih banyak pihak sedia memberikan ruang kepadanya untuk terus berceramah, termasuk kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) atau yang ditadbir pembangkang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, kerana memberi kebenaran kepadanya untuk berceramah di negeri itu tanpa memerlukan tauliah.

Pandangan saya:

Kalau Dr Asri ingin terus dihormati, terus kekal sebagaimana keadaannya sekarang.
Jika memilih platform politik untuk meneruskan usaha dakwah, akibatnya beliau akan dihina dicerca oleh pihak lawan.... lebih-lebih lagi jika beliau berada didalam UMNO.
Faham-faham sajalah... kita sudah melihat apa yang berlaku kepada ilmuan agama yang berada didalam UMNO sebelum ini.
Jika Dr Asri berada didalam PAS bolehkah beliau mengelak untuk mengikut rentak Ulamak dalam PAS? Saya rasa agak mustahil.

Apa-apapun pilihan ditangannya.

Tuesday, November 3, 2009

Bahagia dunia dan akhirat

Banyak manusia yang beranggapan bahawa syurga yang akan datang itu terpisah dari kehidupan sekarang ini. Syurga yang akan datang itu tidak terkait dengan bumi ini."

Petikan itu memberikan kita pengajaran bahawa dengan melupakan kehidupan di dunia, kita tidak mungkin dapat memasuki syurga di akhirat. Ia mempunyai hubung kait yang erat, kerana kehidupan dunia dianggap sebagai jambatan kehidupan di akhirat.

Kehidupan di dunia dibahagikan kepada dunia dimensi, iaitu dimensi hubungan manusia dengan Allah SWT sebagai pencipta dan dimensi kemanusiaan, hubungan bermasyarakat kerana manusia adalah makhluk bermasyarakat. Islam meletakkan kehidupan bersosial dan bermasyarakat kerana pengekalan ummah dan kesinambungannya adalah bergantung kepada kekuatan sosial ummah yang berkenaan.

Adalah tidak tepat bagi sesiapa pun untuk menolak dunia atas alasan demi keutamaan hidup di akhirat atau menolak akhirat untuk hidup selesa di dunia. Kerana itulah Islam membahagikan corak kehidupan ini kepada dua tanggungjawab yang saling berkaitan, iaitu fardu ain dan fardu kifayah.

Fardu ain menitikberatkan tanggungjawab individu terhadap Allah SWT dan ia dinilai berdasarkan amal ibadat dan kepatuhan kepada "penyerahan diri".

Fardu kifayah pula meletakkan tanggungjawab sebagai ahli dalam kumpulan masyarakat, yang mana akan menentukan kelangsungan komuniti, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Melalui sumbangan individu sebagai ahli masyarakatlah maka terdirinya sesebuah tamadun dan kekuatan ummah.

"Umat Islam tertinggal dalam kehidupan dunia kerana umat Islam telah menceraikan iman dan akal fikiran. Dunia sebagai ladang bagi akhirat diabaikan. Padahal, fungsi akal fikiran adalah untuk menata dunia ini sebagai sarang bagi kehidupan manusia itu sendiri. Melupakan dunia bererti melupakan sarangnya.

Tanpa sarang, mana boleh bebas terbang di angkasa? Dunia adalah ladang dan akhirat merupakan tempat untuk menuai. Tanpa menggarap dunia dengan benar, bagaimana kita boleh ke syurga? Tanpa menanam, bagaimana kita dapat mengetam?"

Terdapat dua keadaan yang berlawanan. Satu kumpulan manusia hanya menumpukan perhatian untuk ke akhirat dan satu kumpulan yang lain melupakan kehidupan akhirat, hanya menumpukan seluruh kemampuannya mendapat kedudukan terbaik didunia.

Bagi kumpulan yang menumpukan perjalanan akhirat, melupakan terus bahagiannya di dunia sehingga menyingkirkan diri daripada masyarakat, tidak berusaha memenuhi keperluan hidup. Hidupnya penuh dengan ibadat dan keperluannya seharian didermakan oleh orang lain. Seluruh masanya digunakan untuk beribadat. Inilah dua golongan manusia ekstrim yang menyempitkan keluasan, kesesuaian dan keunggulan Islam.

Menurut Ibnu Arabi, dunia ini adalah tempat kita diberi pelajaran dan harus pula menerima ujian. Ambillah yang kurang daripada yang lebih, di dalamnya. Bersyukurlah dengan apa yang kamu miliki walaupun apa yang dimiliki itu masih kurang berbanding orang lain. Kekurangan itu tidak pula bermakna dunia ini terlalu buruk, ia tetap menjadi ladang bagi hari akhirat.

Nabi Muhammad SAW pernah ditanya apa erti keduniaan itu? Rasulullah SAW menjawab: "Segala sesuatu yang menyebabkan kamu abai dan melupakan Tuhanmu." Kegiatan duniawi tidaklah buruk pada dirinya sendiri, tapi keburukannya terletak pada mereka yang lupa kepada Allah SWT.

Beramal dengan amalan yang soleh ataupun melakukan kebaikan yang memberi manfaat kepada diri dan masyarakat dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun.

Sumbangan itu menjamin kehidupan yang baik seperti yang dikehendaki oleh Islam dan perlu dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain.

Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah SWT. Orang yang soleh bukanlah manusia yang panjang sujudnya tetapi ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Orang yang bertakwa tidak bererti mengabaikan kehidupan di dunia . Kehidupan dilaksanakan secara penuh bertakwa dan berhemat kerana ia yakin akan memperoleh berkat buat kehidupan di akhirat dengan memahami bahawa takwa adalah landasan kehidupan dunia dan akhirat sekaligus.

Allah SWT banyak membicarakan dalam al-Quran bahawa seseorang yang bertakwa akan memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Ini jelas berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat." Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka." Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya." (Surah al-Baqarah ayat 200-202).

Allah mengingatkan bahawa kita tidak boleh meninggalkan masalah dunia dan harus berbuat baik sebagaimana Allah SWT sudah berbuat baik kepada kita. Kita harus memahami bahawa kalau seseorang itu hanya menekankan satu aspek hidup iaitu dunia sahaja atau akhirat sahaja bererti ia sudah mengingkari perintah Allah SWT .

Allah menegaskan dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 77 : "Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan."

Kalau kita berzikir dan berpuasa di masjid, tetapi nafkah ditanggung orang lain, layakkah kita digelar mukmin sejati? Tidak ada jaminan. Ia tidak buruk tetapi itu pasti bukan cara hidup Islam yang terbaik.

Hakikatnya hari ini ada sebahagian daripada para intelektual muslim bersikap prejudis, pengecut dan enggan untuk terlibat dalam kancah politik dunia bagi tujuan memperbetulkan situasi buruk (perpecahan) dengan memilih politik uzlah atau mengisolasi diri daripada terlibat dalam masalah duniawi. Malah ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan kebaikan hidup di akhirat dicerita dan diberikan ulasan yang difahami sebagai mencela dan mencerca dunia.

Kesannya ramai di kalangan mereka yang cuai dan mengabai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bahkan lupa kepada tugas yang dia dipertanggungjawabkan. Dan kita sering mendengar perkataan yang sangat popular iaitu dengar kata-kata mereka "dunia ini seperti bangkai dan mereka yang mencari dan menuntutnya adalah anjing."

Manusia diharamkan merendahkan diri terhadap alam raya ini sebab dengan dengan demikian itu manusia telah mempersendakan rencana dan ketentuan Allah SWT yang telah memuliakan dan melebihkan manusia terhadap semua makhluk-Nya yang lain. Sikap positif terhadap dunia inilah yang telah membuat para tabii di zaman antara abad pertama hingga abad keenam menjadi pelopor dalam memajukan sains dan teknologi

Di sini dapatlah difahami bahawa definasi agama itu bukanlah ibadat ritual sahaja seperti yang disangka oleh segolongan mereka yang menolak kemajuan, malah ajaran agama itu merangkumi segala kegiatan hidup dunia dan akhirat (the way of life), hidup dan mati kita seluruhnya hanya untuk Allah Tuhan semesta 'alam.

Petikan dari blog....