Saturday, February 11, 2012

Pejuang Agama Yang Fajir

Uncle memetik tulisan yang diterbitkan lebihkurang 3 tahun yang lalu untuk direnungkan bersama.

Siapakah kita dan siapakah mereka yang benar-benar berjuang untuk menegakkan Islam, Bangsa dan Tanahair pada hari ini.

Semuga dengan tulisan ini kita mampu memperbaiki diri dan halatuju disamping mengukuhkan lagi keyakinan kita kepada ajaran Islam, mentaati Allah dan RasulNya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya lebih kurang:

Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir (jahat).

Hadis riwayat Bukhari.

Rasulullah s.a.w. mendedahkan satu hakikat yang wujud dalam perjuangan dakwah supaya umat Islam mengambil sikap yang bijaksana apabila hal ini terjadi kepada mereka pada bila-bila waktu. Baginda mendedahkan bahawa barisan pejuang dan pendukung Islam tidak selamanya terdiri daripada manusia mujahid mukmin yang soleh yang berjuang dengan penuh keikhlasan untuk menegakkan Islam demi mematuhi seruan Allah dan mencari keredaanNya. Di dalam barisan itu tidak jarang terdapat manusia-manusia jahat (fajir) yang bergelumang dalam maksiat, yang berjiwa munafik dan tidak beriman turut berjuang menegakkan Islam dengan motif yang bukan kerana Allah. Mereka pada lahirnya berjuang begitu gigih memperkuatkan kedudukan Islam dan Islam benar-benar mendapat kekuatan daripada perjuangan mereka. Tetapi perjuangan mereka itu walaupun pada lahirnya merupakan jasa-jasa yang baik kepada Islam, namun tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah S.W.T. kerana perjuangan dan jihad yang sebenar harus terpancar dari iman dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah dan RasulNya.

Siapakah manusia fajir atau manusia jahat itu?

Kata al-Maraghi

manusia fajir ialah orang yang melanggar undang-undang Allah dan mencabul kehormatan-kehormatannya.
Kata al-Raghib al-Asfahani

perbuatan fajir (kejahatan) ialah perbuatan mencabul kehormatan agama. Seseorang pembohong dianggap sebagai seorang yang fajir kerana berdusta merupakan sebahagian dari fajir (kejahatan).

Kata Ibn Athir pula ‘

manusia fajir ialah orang yang bergelumang dalam maksiat-maksiat dan perbuatan-perbuatan yang haram.

intisari dari takrif-takrif tersebut menetapkan bahawa yang dikatakan ‘manusia fajir’ atau jahat yang didapati berjuang menegakkan agama Allah itu ialah manusia-manusia yang mengerjakan maksiat-maksiat dan kefasikan-kefasikan yang diharamkan Islam.

Menurut al-Hafani:

Termasuk dalam golongan manusia fajir ialah orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya sedangkan orang lain mendapat faedah dan beramal dengan ilmu yang diajar olehnya.

Sementara al-Manawi pula memasukkan pemerintah yang zalim dalam golongan manusia fajir.

Menurut al-Hafani ketika menghuraikan asal-usul hadis ini bahawa Rasulullah s.a.w. telah melafazkan hadis ini ketika beliau melihat seorang perajurit berperang begitu hebat dalam pertempuran Khaibar dan berjaya mengalahkan orang-orang kafir sedangkan dia sendiri munafik lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan kepada para sahabat bahawa orang itu adalah dari penghuni neraka.

Keterangan itu telah menghairankan para sahabat kerana lelaki itu telah berjuang menewaskan orang-orang kafir dan dia sendiri mendapat luka yang parah. Apabila tiba waktu malam lelaki itu tidak juga mati lalu dia pun membunuh dirinya kerana tidak sanggup menderita, apabila berita pembunuhan dirinya disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. baginda pun bersabda:

“Aku adalah hamba Allah dan rasulNya. Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir”

Inilah peristiwa yang melahirkan hadis ini dan ia merupakan satu garis contoh yang amat jelas bagaimana seorang barmati-matian berjuang dalam barisan memperteguhkan Islam sedangkan dirinya seorang fajir yang munafik dan bagaimana perjuangan yang bermotif munafik iti tidak menyelamatkannya dari neraka dan bagaimana seorang pejuang Islam yang fajir itu memperlihatkan kelakuan-kelakuan yang bertentangan dalam perjuangannya untuk menguatkan Islam.

J. Milton Cowan ketika memberi erti kepada kata-kata ‘fajir’ dalam kamusnya telah membariskan sifat-sifat jahat dan keji seperti berikut:

Libertine, Profligate, debauchee, roué, rake adulterer, liar, Insolent, impudent, Shameless, brazen.

(Suka berzina, tidak menghormati wanita, cabul, candala, hamba nafsu, berakhlak jahat, tidak bermoral, jahat dan kejam, pembohong, kasar budi, tak bermaruah dan tak punya rasa malu dan apa yang dimaksudkan beliau itu tidak terkeluar dari kehendak-kehendak dan maksud kata-kata ‘fajir'.)

Di dalam sejarah perjuangan Islam sejak zaman dahulu hingga ke masa kini terdapat contoh-contoh yang kaya yang menunjukkan batapa manusia-manusia yang fajir itu dapat mengabui mata orang-orang Islam dengan perjuangan-perjuangan mereka yang gigih untuk menegakkan Islam, sedangkan perjuangan mereka bukanlah hasil dari dorongan iman dan motif pencari keredaan Allah dan kelakuan mereka sentiasa bergelumang dalam segala macam maksiat yang keji. Wassalam.

Petikan dari tulisan :

http://virtualfriends.net/mediabank/photo/2002/smallavatar/DilaDellila1.jpg DilaDellila

(Virtual Friends.NCT)

No comments:

Post a Comment