Monday, February 6, 2012

Faktor Perpecahan Umat Islam

Uncle suka membaca akhbar yang diterbitkan pada hari minggu (Ahad) kerana didalamnya dimuatkan rencana dan artikel hasil dari wawancara beberapa tokoh berkaitan perkara-perkara yang berlaku dipersekitaran kita.

Isi wawancara kali ini menarik perhatian kerana Uncle sering bertukar-tukar pandangan bersama sahabat berkaitan hal ehwal politik tanah air.

Pernah juga Uncle fikirkan apa yang disampaikan oleh Dr Aidit Ghazali ini dan alhamdulillah, penerangan yang beliau berikan ini adalah didalam bentuk yang mudah difahami.

Uncle mengambil peluang membuka pandangan lebih jauh faktor-faktor yang menyentuh isu perpecahan dikalangan umat Islam seperti yang dinyatakan.

Pelbagai analisis tentang perpecahan umat Islam telah dikupas oleh banyak pihak. Kebanyakannya berasas. Tidak perlu untuk mengulanginya. Tetapi faktor-faktor yang paling diyakini menjadi penyebab adalah:

Pertama

Tahap ilmu dan kemahiran menilai sesuatu perkara termasuk maklumat yang diterima, secara waras, bijaksana, berfikiran panjang dan menyeluruh.

Menerima, menilai dengan fikiran yang waras adalah satu permasalahan kepada rakyat Malaysia pada hari ini khususnya bagi mereka yang beragama Islam. Banyak rungutan dan aduan yang terdengar bahawa penghayatan umat Islam berada ditahap paling minima. Pengetahuan agama cukup rendah dan panduan yang ada tidak dimanfaatkan sebaiknya sehingga gagal mencapai keputusan yang dikehendaki sejajar kehendak tuntutan agama mereka. Ini berlaku kerana kurangnya tumpuan, kurangnya perhatian terhadap peri pentingnya mematuhi kehendak beragama yang sebenar. Jikalah ilmu agama terlalu sedikit, bagaimanakah agaknya mampu mereka mencapai sesuatu yang selaras dengan tuntutan?. Pasti ada yang tidak kena dengan pegangan Islam. Kepincangan inilah yang menjadi permasalahan utama. Untuk mengatasi masalah ini, agensi dan jabatan yang terbabit perlulah lebih pro-aktif. Gerakkan usaha untuk memberikan panduan, bahan-bahan yang sesuai kepada kesemua rakyat yang beragama Islam. Tidak boleh mengharapkan sekolah dan institusi yang berkaitan sahaja.

Terlalu jauh umat Islam tersasar dan masalah ini perlu diperbaiki sebelum kita hanyut lebih jauh dan akhirnya nilai-nilai Islam terus terhakis didalam masyarakat. Nauzubillah.

Kedua

Ketandusan ikon insan atau manusia yang boleh dijadikan ikutan dan rujukan yang diyakini tidak berbelah bagi dan yang bersifat adil serta membina dalam penilaian mereka.

Tidak ada lagi tokoh ulamak yang mereka benar-benar kagumi dan dapat dijadikan ikutan. Tokoh-tokoh seperti Tok Kenali,Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah ) Haji Abdul Fahim (Mufti Pulau Pinang) , Haji Abu Bakar Alim (Muar) , Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dan lain-lain.,

Ketiga

Masalah ketaksuban dikalangan sebahagian masyarakat terhadap tokoh dan wadah pilihan sehingga ketaksuban kepada Allah dan Rasul-Nya, serta ketaksuban terhadap kebenaran diketepikan tanpa sedar.

Ketaksuban kini telah beralih kepada tokoh-tokoh agama yang membabitkan ulama yang berada didalam kelompok pemain politik. Apabila ini berlaku maka terjadilah pengasingan mengikut kelompok dengan kepentingan yang berbeza. Dan semakin besarlah jurang yang wuijud dikalangan umat Islam. Rakyat perlu faham, sebaik manapun ideologi yang disuapkan oleh pemain-pemain politik, ia tidaklah sebaik ajaran yang terkandung didalam Al-Quran dan Hadis. Tetapi sejauh mana fahaman mereka terhadap kebenaran Islam perlu diperkukuhkan. Insyaallah, usaha yang tidak mengenal jemu bakal membuahkan hasil dan paling penting ia diberkati Allah SWT.

Keempat

Suasana yang tidak kondusif pada perpaduan akibat budaya menghasut, berdendam dan takbur bahawa diri mereka yang benar dan

Demi kepentingan politik, masing-masing mempunyai idola tersendiri yang menegakkan perjuangan mengikut halatuju berbeza. Amalan menghasut berleluasa, berdendam kerana tidak berjaya mempengaruhi individu lain dan merasakan diri mereka sentiasa berkeadaan benar sedangkan yang tidak memihak sentiasa berada didalam kemungkaran. Pemahaman begini perlu dihapuskan sama sekali jika benar ingin mengangkat Islam sebagai perjuangan. Tidak ada perpecahan yang harus timbul hanya kerana perjuangan yang bermotifkan keduniaan. Janganlah diluaskan budaya perpecahan kerana kepentingan tertentu.

Kelima

Kurangnya pilihan bagi umat Islam yang kecewa dan hilang harapan pada wadah-wadah yang sedia ada.

Tiada wadah yang sesuai lagi pada pandangan mereka (golongan yang tidak berpihak) untuk dijadikan tempat pergantungan harapan. Kelompok ini tersisih atau menyisihkan diri dari mereka yang mempunyai kumpulan.

Penyelesaiannya adalah dengan meninjau serta mengkaji sedalam-dalamnya punca pada faktor-faktor ini dan selesaikan pada punca-punca. Yang penting, usaha secara sistematik dan berterusan.

Soal bila ia akan berjaya jangan dijadikan persoalan utama kerana itu urusan Allah. Jangan terperangkap dalam membuat kerja secara gopoh sehingga akhirnya mengorbankan kualiti dan keberkatan Allah SWT dalam setiap perjuangan
.

No comments:

Post a Comment