Monday, May 18, 2009

KEPUTUSAN TERBAIK: TIADA CALON BN DI PENANTI

Calon ADUN Penanti dari kiri, Kamarul Ramizu Idris (Bebas), Mansor Othman (PKR), Nai-Khan Ari (Bebas) dan Aminah Abdulah (Bebas) mengangkat tangan selepas pengumuman calon di Pusat Penamaan Calon Pilihan raya Kecil N12 di IKBN Bukit Mertajam. - Foto Rosdan Wahid (Berita Harian)


Pada 4 Mei lalu Uncle ada membuat ulasan berkaitan pertandingan calon-calon di Pilihanraya kecil DUN Penanti melalui mykmu.net. Didalam komen tersebut Uncle menyarankan agar BN tidak bertanding merebut kerusi DUN tersebut.

Rasanya Uncle tak perlu mengupas panjang akan isu berkenaan kerana segalanya sudah tercatat didalam komen berkenaan.

Sebahagian petikan komen Uncle dari topik yang lepas:

“Re: Penanti: Biro Politik UMNO Serah Pada BN by unclejarum on Monday, May 04 @ 20:12:01 MYT

Uncle dah muak dengan Pilihanraya Kecil ni....

Yang Uncle nampak Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat ni dah ketagih sangat dengan pilihanraya. Bolehlah mereka kempen sepanjang musim. Ketagihnya dah macam orang main bola...team kampung. Takde lawan mereka cari lawan. Takde padang mereka sediakan padang.

Lawan Pakatan Rakyat sekarang adalah Barisan Nasional. Maka ada dikalangan lembu dalam PKR kena korban untuk sediakan pentas pilihanraya dengan tujuan untuk menguji kekuatan Barisan Nasional.

Mereka tidak ambil kira keputusan selepas pilihanraya kecil tu mereka kalah atau menang, yang penting semasa tempoh berkempen mereka dapat memburuk-burukkan parti lawan..... sapa lagi kalau bukan BN.

Bila Uncle dengar Najib tak mau letak calon di Penanti Uncle agak bersetuju jugak. Biarlah PR letak calon dan mungkin akan ada pertandingan kerana calon-calon bebas sekarang dah ramai. Calon bebas ni tak kisah walaupun boleh hilang wang pertaruhan.

Jadi apabila Biro Politik UMNO serahkan kepada BN maka eloklah Najib buat keputusan bagi pihak BN. Takyahlah runding-runding lagi.... TAK PAYAH LETAK CALON. Cuma bagi Parti Komponen BN faham kenapa tak perlu bertanding di Penanti.”

Keputusan yang telah diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri bahawa Barisan Nasional tidak bertanding kerusi tersebut adalah sesuatu yang amat tepat.

Sebenarnya, Wakil Rakyat kawasan tersebut tidak perlu dipilih semula melalui pilihanraya. Hanya kerana ingin menyelesaikan persengketaan dan perselisihan didalam Pakatan Pembangkang, maka pilihanraya tersebut TERPAKSA diadakan semula.

Samada ada desakan atau tidak, perletakan jawatan Mohd Fairus langsung tidak ada kena mengena dengan pengundi.

Adalah mustahil bagi seorang Wakil Rakyat dalam usia sebegitu muda yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri meninggalkan jawatan hanya kerana alasan-alasan yang begitu remeh.

Mungkin kerana Mohd Fairus tidak SEBULU dengan pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat lalu memaksa Mohd Fairus mengundurkan diri. Alasan bahawa beliau ingin melanjutkan pelajaran dan ingin menumpukan perhatian kepada keluarga adalah ciptaan bagi mengaburi mata pengundi. Terbabit dengan rasuah juga bukan alasan yang boleh diterima kerana beberapa hari selepas mengumumkan perletakan jawatan, beliau dinyatakan BERSIH dari tuduhan.

Bagaimanapun, selepas ini kita risik-risiklah dimana institusi pengajian Mohd Fairus menyambung pengajiannya untuk mempastikan kebenaran alasan yang diberikan. Jika tidak, maka terbuktilah ada lakonan dan sandiwara yang beliau mainkan.

Kita juga masih menantikan pembongkaran yang Mohd Fairus janjikan ekoran dari desakan meletak jawatan seperti yang beliau pernah nyatakan.

Bagi Pilihanraya Kecil DUN Penanti…kita juga ingin mendengar apa isu yang akan dimainkan oleh Pakatan Rakyat semasa melaksanakan kempen.

Apakah isu Altantuya, apakah isu kerajaan BN yang dikatakan haram di Perak dan kerja-kerja menghentam Kerajaan Pusat akan terus berleluasa di Penanti atau Pakatan Rakyat akan membelasah lawannya dari Bebas habis-habisan didalam setiap kempen yang diadakan..

Jika ada…apa relevannya dengan perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Apa pula reaksi dari PAS ekoran keputusan yang dibuat oleh Barisan Nasional ini?

No comments:

Post a Comment