Saturday, October 17, 2009

Mahu Bertaubat ...? Mari masuk PAS

Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang sudah selesai. Tan Sri Isa Samad menang dengan majoriti undi cukup besar. Tetapi kemenangan besar calon UMNO/Barisan Nasional dipersoalkan dengan isu Undi Pos yang kononnya adalah undi terpaksa dimana kerajaan memerintah mendapat kelebihan.

Setiap kali UMNO/Barisan Nasional memenangi pertandingan maka akan berkumandang nyanyian pasukan pembangkang dengan lirik yang sama. Tidak lari dari penyalahgunaan jentera kerajaan, pengundi hantu, undi pos yang memihak pemerintah, SPR yang tidak telus dan berpihak.

Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan kesemua Pilihanraya, tentu tidak akan merasa aneh apabila Pembangkang memenangi pertandingan sebelum ini. Tiada nyanyian sedemikian didengari, seolah-olah segalanya berjalan dengan baik, SPR cukup telus, pengundi cukup bijak dan pengundi telah muak dengan UMNO/Barisan Nasional. Lebih hebat lagi.... UMNO/Barisan Nasional didakwa akan berkubur tidak lama lagi.

Suasana kempen Pilihanraya Bagan Pinang adalah antara yang terburuk dalam sejarah pilihanraya di negara ini. Memang malang apabila berlaku tuduh menuduh, sebaran pelbagai maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Perang media yang dikuasai oleh sebahagian besar oleh pihak pembangkang menjadikan ruang Facebook, blog dan saluran teknologi maklumat amat sibuk kerana pada ketika itu kemudahan-kemudahan ini menjadi wadah perbahasan rakyat seluruh negara.

Pihak berkuasa Polis adalah yang paling terkesan dalam kempen berkenaan kerana ada anggotanya yang menjadi mangsa keadaan. Selain dari tugas mengawal ketenteraman pihak Polis terpaksa menggembleng tenaga dalam menangani pelbagai laporan yang dikemukakan berkaitan kejadian-kejadian dalam masa berkempen.Tidak perlu saya perjelaskan apa yang berlaku kerana semua sudah sedia maklum.

Apapun berlaku PRK telah usai.

Pihak yang tidak puashati dengan kekalahan menerbitkan pula isu perebutan kedudukan kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan. Mungkin ia bertujuan untuk melihat kekecohan seperti apa yang berlaku di Terengganu. Sebenarnya semasa kempen PRK sedang berlangsung lagi isu kerusi MB sudah mula diperkatakan. Hasrat mereka tidak lain untuk memecahbelahkan barisan kepemimpinan Negeri Sembilan.

Hasrat pembangkang untuk mengecilkan majoriti kerusi UMNO/Barisan Nasional berkecai bersama kekalahan yang dialami. Sesudah PRK ini meredakan sedikit kemelut politik Malaysia, timbul pula isu PRK terbaru yang mungkin akan berlaku lagi di Kota Seputeh. Itu akan kita ulas sekiranya ia benar-benar terjadi.

Selang beberapa hari selepas kemenangan di Bagan Pinang, ahli-ahli UMNO berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi membentuk arus perjuangan yang baru. UMNO ingin berubah. UMNO perlukan perubahan kerana janji "Wajib Berubah Jika Tidak Rebah" yang dilaungkan oleh Presiden mahu direalisasikan.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung UMNO masih lagi diganggu dengan dakwaan-dakwaan yang memang tidak enak didengar oleh sesiapa jua pun. Tan Sri Isa Samad dijadikan contoh untuk menuduh UMNO sebenarnya tidak mahu berubah. Asakan yang paling berat disuarakan oleh salah seorang Pemimpin PAS bahawa UMNO sebenarnya tidak perlu mengubah apa-apa kerana telah meletakkan calon (yang telah dipilih rakyat sebagai ADUN) yang terpalit dengan isu rasuah. Maka hasrat UMNO untuk berubah kepada mereka hanyalah retorika semata.

Tan Sri Isa Samad telah dikenakan tindakan oleh UMNO. Tetapi dimata pembangkang itu belum mencukupi. Bagi penyokong-penyokong mereka semua, kata-kata pemimpin menjadi bahan bualan dan perbincangan dimerata tempat. Isu berkenaan menjadi punca debat panjang lebar di ruang Facebook dan Blog. Percanggahan pandangan merebak kepada pelbagai isu lain selain rasuah terutamanya perkara-perkara yang menyentuh hal ehwal agama Islam.

Tan Sri Isa dimata mereka tidak boleh insaf, tidak boleh bertaubat dan tidak bersih biarpun setelah menjalankan tempoh hukuman beliau.

Sebenarnya, hasrat parti pembangkang terutama PAS adalah untuk melihat tumbangnya UMNO dan terkubur riwayat Parti Sekular Melayu di Malaysia ini... Pada ketika itulah Parti PAS akan berperanan sebagai Parti Peneraju orang Islam di Malaysia ini menolak dakwaan UMNO juga memperjuangkan Islam sebagai Agama, Melayu itu Bangsa dan Malaysia inilah negaranya.

Mungkin saya boleh merumuskan bahawa PAS ini sebagai Parti yang boleh menghapuskan dosa setiap Islam yang bersalah dan menerima TAUBAT kerana sesiapa sahaja yang berkawan, bersahabat dan bersekongkol dengan PAS akan dilihat tidak berdosa dan bersih serta suci.

Untuk menyelamatkan keIslaman orang UMNO maka keluarlah dari UMNO dan mendaftar sebagai Ahli Parti PAS. Selagi mana nama UMNO ini wujud di kalangan orang Melayu di Malaysia, maka selama itulah agaknya Melayu tidak akan diterima taubat mereka dan diragui keinsafan serta penyesalan mereka .

Selepas menganggotai Parti PAS, ahli-ahli janganlah pula persoalkan kerjasama parti itu dengan PKR dan DAP, kerana itu akan menjadi kesalahan paling besar kepada ahli kerana meragui kebijaksanaan para pemimpin yang bertaraf Ulamak dan Tuan Guru.

Ya Allah Ya Rabbi...lindungilah hamba-hambaMu dari Bencana dan Malapetaka dari kejahilan dan kebodohan kami mentadbir BumiMu ini Ya Allah. Amin.

No comments:

Post a Comment