Friday, November 13, 2009

Tuan Guru Nik Aziz: Disayangi, dihormati atau dikhianati

Apabila pemergian Nik Aziz untuk naik Haji pada tahun ini didedahkan, ramailah penyokong kuat parti PAS menuduh puak-puak UMNO dan Barisan Nasional melemparkan fitnah kepada Nik Aziz. Tidak ada langsung kebaikan dari teguran dan nasihat yang diberikan, kesemuanya berniat buruk asal sahaja hal peribadi Nik Aziz disentuh. 

Tajaan yang dikatakan berjumlah RM325,000.00 yang disumbangkan oleh syarikat Abroad Tech adalah untuk Nik Aziz menunaikan fardhu Haji atas tiket VVIP untuk membiayai Nik Aziz, Isteri, Anak dan Menantu beliau.

Berita terkini menyatakan bahawa Nik Aziz telah membatalkan pemergian beliau dan keluarganya ke Makkah diselangi tangisan kesedihan kerana terpaksa berbuat demikian. Tidak cukup dengan tangisan beliau menambah pula dengan kata-kata bahawa beliau telah difitnah dan dikhianati.

Timbul persoalan dihati saya adakah pembatalan ini dibuat secara rela hati apabila ia disusuli dengan tangisan..?

Ekoran pengumuman ini, datang pula serangan terbaru dari penyokong tegar Nik Aziz yang menyatakan bahawa puak-puak yang memfitnah Nik Aziz telah keterlaluan sehingga Nik Aziz membatalkan rancangan Haji tersebut. Malah ada yang mendoakan supaya dibalas perbuatan terhadap Nik Aziz kepada mereka yang menyebarkan fitnah.

Untuk mereka yang menyokong melulu segala perbuatan dan tingkah laku Nik Aziz, silalah renungi hadis dan firman Allah dibawah ini.

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu” ( HR Tirmizi no: 2520 )

[Sahih atTermidzi dari Hasan bin Ali bin Abi Thalib ra]

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita , menjauhi perkara yang syubhat adalah lebih baik daripada kita melakukannya kerana dibimbangi terjerumus kepada yang haram.

Firman Allah swt dalam al-Maidah ayat 2

“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan Yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang Yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang Yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, Yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.

Tidakkah pemergian Nik Aziz dengan tajaan dari syarikat yang berkepentingan tersebut mendatangkan keraguan kepada rakyat Kelantan khususnya dan masyarakat Islam Malaysia amnya? Tidakkah perbuatan ini boleh dikatakan perbuatan syubhah?

Syubhah di sini adalah apa yang bertembung dan diperselisih hukumnya antara halal dan haram. Jika seseorang mujtahid itu mentarjihkan sesuatu perkara dengan hukum halal dengan mengeluarkan ijtihadnya berdasarkan dalil-dalil yang dibawakan, maka hukum halal terhadap perkara tersebut adalah mushtabihah atau syubhah. Sifat wara’ menyebabkan dia tidak melakukan perkara tersebut kerana ada kemungkinan ianya tersalah dalam ijtihad.

Perkara ini seperti yang diisyaratkan oleh al-Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa: “Jika seseorang itu merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara sama ada halal atau haram dan tidak ada nas dan Ijma’ ulama terhadap perkara tersebut, maka para mujtahid pun berijtihad dalam perkara tersebut. Maka perkara tersebut akan dikaitkan dengan halal atau haram berdasarkan dalil-dalil syar’i. Maka jadilah perkara tersebut halal atau haram. Dan jadilah perkara tersebut tidak sunyi daripada ijtihad. Maka sifat wara’ adalah dengan meninggalkannya.

Saya sendiri dan mungkin ramai lagi umat Islam tidak langsung mempersoalkan kewibawaan Nik Aziz sebagai Ulama... namun mengambil keputusan untuk berfikir berulangkali apabila Haji VVIP dengan tajaan ini didedahkan. Bukan atas sebab hasad dengki, irihati, cemburu atau sengaja melontarkan tuduhan kepada Nik Aziz tetapi renungkanlah kembali apa yang pernah diucapkan oleh beliau berkaitan soal Islam di negara ini.

Tidak perlu saya ulang-ulang apa yang telah dikatakan oleh Nik Aziz. Pembaca-pembaca imbaslah kembali. Ambillah sedikit masa untuk menilai segala pandangan yang saya kira bercanggah dengan kefahaman kita sebagai penganut Agama Islam yang suci ini. 

Jika benar kita sayangkan Nik Aziz, sayangilah terlebih dahulu Agama kita Islam. Hormati sahajalah tindakan beliau dengan mengucap syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana akhirnya Nik Aziz terhindar dari melakukan sesuatu yang meragukan dan mengelak dirinya dari terus diperkatakan akibat dari pemergiannya kelak. 

Jika langkah yang dibuat oleh Nik Aziz itu sesuai dengan kehendak Islam hormatilah pandangan mereka yang membangkitkan isu ini. Tidak ada seiapa yang menghalang Nik Aziz menunaikan Haji seberapa kerap yang beliau mampu, tetapi janganlah sumber pembiayaan perjalanan tersebut dipersoalkan oleh rakyat terbanyak.

Sokongan membuta tuli kepada Nik Aziz menyebabkan kita buta terhadap hukum hakam agama Islam. Saya percaya kebanyakan dari penyokong Nik Aziz berpihak kepada beliau atas dasar kepentingan politik berbanding menyanjungi beliau sebagai tokoh agama...maka segala tuduhan yang dilemparkan kepada pihak yang menentang Nik Aziz lebih banyak berkisar kepada kepentingan politik beliau. Jika sokongan kepada Nik Aziz berdasar ketokohan beliau sebagai Ulama.... maka wajar kita berbalik kepada hukum hakam Islam yang kita perjuangkan.

Batas ideologi politik dan sempadan hukum Islam terlalu besar. Bukalah fikiran dan ambillah iktibar dari kerumitan ini untuk membentuk ummah yang bertaqwa.

Wallahualam. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment