Saturday, November 7, 2009

ISU BAI'AH DALAM PAS: TALAQ TIGA ISTERI JIKA MELOMPAT KELUAR PARTI

Isu Bai'ah yang tersebar dan jadi bahan perbualan umum kini benar-benar mengejutkan. Seorang Ahli Parlimen PAS membuat pengakuan tersebut dan mendedahkannya tanpa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian secara muzakarah melalui saluran parti.

Kerana sudah tidak tertanggung bebanan yang dipikul, hal ini didedahkan. Meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan dapat diambil dan kemungkaran dapat dicegah. Mengharapkan ada jalan keluar dari ikatan bai'ah dan sumpah ini sekaligus mengelak dari dikutuk dan dikenakan tindakan oleh pucuk pimpinan.

Jika benarlah ini adalah antara syarat untuk seseorang menjadi wakil rakyat maka amat malanglah mereka yang berada didalam gerakan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. Kembali ke zaman jahiliah dengan wanita bergelar isteri dijadikan taruhan.

Tega sungguh hati calon-calon wakil rakyat sehingga perbuatan sedemikian sanggup dilakukan hanya kerana inginkan satu jawatan, mimpikan kekuasaan yang tentunya akan disusuli dengan limpahan kemewahan untuk mereka.

Dasar bai'ah talaq tiga keatas isteri khabarnya diluluskan dan direstui oleh kepimpinan sendiri.

Mengambil kira dari persoalan Bai'ah ini, saya suka memberi beberapa sebab tentang keperluan dan hasrat yang mungkin bermain didalam pemikiran pihak kepemimpinan PAS.

1. Mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi
2. Terlalu taksub dengan niat untuk menumbang dan menenggelamkan UMNO yang selama ini menjadi halangan kepada PAS untuk berkuasa
3. Pengundi dan penyokong belum sampai ketahap mempersoalkan sebarang tindakan pemimpin-pemimpin besar PAS yang kebanyakannya terdiri dari golongan Alim Ulama.

Saya tidak memperkecilkan usaha PAS untuk berkuasa (memerintah Malaysia). Apa saja jalan dan apa saja cara yang difikirkan berkesan boleh dilakukan namun haruslah berpegang kepada Perjuangan Islam sebenar. Jika ia berselisih atau bertentangan dengan hukum, ia haruslah direnung dan difikirkan kembali.

Muslim tidak menolak Islam dijadikan dasar pemerintahan sesebuah kerajaan, tetapi jika pejuang Islam sendiri yang memesongkan kaedah untuk mencapai hasrat itu mungkin keadaan sebaliknya akan berlaku. Bukan saja perjuangan yang dilakukan tidak tercapai malah kehancuran yang besar bakal berlaku kerana imej Islam itu sendiri tercalar dengan syarat-syarat yang mencurigakan atas sifat tamak dan rakus untuk berkuasa.

Saya petik antara persoalan yang dibangkitkan oleh YB Zulkifli Noordin berkenaan isu ini.
(Harap mendapat keizinan YB...sekadar berkongsi pandangan...)

Apakah apabila memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa berbai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak ta'at kepada Kerajaan?.

Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk Pakatan Rakyat memimpin dan memerintah negara jika menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan sebagai gadaian politik?.

-Apakah bai'ah saperti ini dibenarkan syara'?
-Jika ia, apakah sandaran atau nas yang membenarkannya?
-Jika tidak, apakah kesan bai'ah ini berkuatkuasa saperti satu ta'liq kepada perkahwninan mereka yang berbai'ah tersebut?
-Bolehkah pembai'ah tersebut terikat dengan bai'ah saperti ini dan perlu mematuhinya?
-Adakah cara untuk membatalkan sumpah bai'ah saperti ini? Jika ada, bagaimanakah caranya?
-Apakah mereka yang membatalkan sumpah bai'ah ini perlu membayar kaffarah sumpah?

YB Zulkifli juga mendesak supaya kepimpinan PAS segera membatalkan dasar bai'ah talaq tiga ini kerana sokongan rakyat kepada PAS khususnya dan kepada Pakatan Rakyat umumnya akan hilang.

Majlis Syura dan Dewan Ulama' PAS diminta segera memberi penjelasan isu bai'ah dan menyeru Dewan Muslimat PAS menyatakan pendirian mereka dalam mempertahankan hak isteri dan wanita Islam.

Menyedari bahawa wanita adalah majoriti pengundi dalam negara ini, YB Zulkifli bimbang Pakatan Rakyat akan dipinggirkan oleh kaum wanita yang kini meletakkan harapan untuk membawa perubahan. YB Zulkifli menyatakan pendirian bermufaraqah dan memisahkan diri daripada dasar PAS ini.

Sama-samalah kita menantikan tindakan yang bakal diambil oleh pemimpin PAS. Diharap isu ini tidak terus dipersoalkan kerana semakin lama ia diperkatakan imej PAS akan semakin terhakis tanpa dinafikan akan mencalarkan imej Islam secara keseluruhan.

Apa gunanya berpolitik sekiranya persoalan seberat ini dijadikan sebagai bahan mainan?. Perbetulkan sebarang syarat yang keterlaluan dan pikatlah hati kesemua pengundi dengan mengamalkan Islam yang sebenar-benarnya.

Allah jua yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment